Aniq Kasdan Tempat Keempat Olimpik Paris, Hanya Beza 1kg Dengan Pemenang Gangsa
Badang negara itu walau bagaimanapun berjaya memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan 130kg dalam aksi ‘snatch’.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Mohamad Aniq Kasdan, itulah nama atlet tunggal yang mewakili negara ke Olimpik Paris 2024 dalam sukan angkat berat kategori 61kg lelaki.
Pemuda yang baru sahaja berusia 22 tahun itu membuktikan kehebatannya apabila berjaya meletakkan diri di tangga keempat pentas Olimpik.
Catatan Berat Hanya Beza 1kg Dengan Tempat Ketiga
Badang negara itu walau bagaimanapun menzahirkan perasaan amat kecewa dengan keputusan itu memandangkan dia hanya kurang 1kg untuk meraih pingat gangsa berbanding mengalami kekalahan teruk.
Aniq berjanji untuk terus menampilkan prestasi terbaik dalam kejohanan akan datang dan membawa pulang pingat. Aniq bakal beraksi di Kejohanan Komanwel 2024 di Fiji dari 17 hingga 24 September akan datang.
Dia juga akan berusaha bagi menggenggam pingat di Olimpik LA 2028, “InshaAllah empat tahun akan datang, saya akan bawa balik pingat untuk Malaysia.”
“4 tahun akan datang, saya akan bawa balik pingat untuk Malaysia” – Aniq Kasdan.
— Fariha Razak (@farihaarazak) August 7, 2024
Kami sangat bangga Aniq!!! Terima kasih atas perjuangan 💪🏼🇲🇾 @ASTROARENA #KitaSemuaTeamMas pic.twitter.com/g0dN9B6KYy
Aniq Pecah Rekod Kebangsaan ‘Snatch’ 130kg
Dalam aksi ‘snatch’, Aniq memecahkan rekod kebangsaan apabila berjaya mengangkat beban 130kg, memintas rekod 129kg yang sebelum ini dipegang oleh Aznil Bidin di Kejohanan Dunia 2023.
Sebelum itu, Aniq memulakan angkatan berat dengan 126kg, usaha terbaiknya sebelum ke temasya sukan Olimpik.
Aniq merekodkan angkatan keseluruhan 297kg apabila berjaya mengangkat 167kg dalam aksi ‘clean and jerk’.
Percubaan 174kg bagi memintas Hamptom Morris dari Amerika Syarikat walau bagaimanapun gagal, sekaligus menyebabkan dia terlepas tempat pada podium.
Terdahulu, acara tersebut dimenangi oleh Li Fabin dari China yang mempertahankan pingat emas dengan jumlah angkatan 310kg (143kg OR, 167kg), Theerapong Silachai dari Thailand dengan muatan 303kg (132kg, 171kg) bagi perak dan Hampton dengan angkatan 298kg (126kg, 172kg) di tempat ketiga.
Aniq Bertukar Dari Kategori 55kg Ke 61kg
Dalam masa sama, pengurus pasukan, Amirul Hamizan Ibrahim menerangkan bahawa mereka membuat keputusan untuk lakukan percubaan 174kg kerana tahu bahawa Morris, pemegang rekod dunia 176kg, mampu mengatasi Aniq di tempat ketiga.
“Namun, saya sangat berpuas hati kerana Aniq masih muda. Ini adalah satu daripada kategori baharu untuk beliau selepas hanya setahun lepas tukar daripada kategori 55kg (yang tiada dalam Olimpik). Jika digilap dengan betul, beliau mampu menghadirkan saingan lebih baik.
“Cuma, kita berharap beliau lebih konsisten selepas ini untuk mencabar pingat dalam temasya dan kejohanan utama,” katanya.
Dhabitah Sabri Berjaya Ke Separuh Akhir
Semalam turut berlangsung tiga acara kelayakan lain melibatkan atlet Malaysia iaitu Nur Dhabitah Sabri bagi 3 meter papan anjal, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom bagi pecut lelaki, dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asridalam Keirin wanita.
Nur Dhabitah Sabri berjaya menempah tempat ke separuh akhir apabila mengutip keseluruhan 283.65 mata meletakkan dia ke tempat ke-12. Dia sebelum itu bermula agak baik apabila menyamai wakil China, Chen Yiwen di tempat kedua dalam terjunan pertama.
Datuk Mohd Azizulhasi Pecah Rekod Kebangsaan
Ketiga-tiga atlet basikal negara walau bagaimanapun terkandas di dua acara yang telah berlangsung. Namun begitu, Azizul berjaya memecah rekod kebangsaan pada pusingan kelayakan pecut.
Dia mengatasi rekod kebangsaan yang dicatatkannya pada Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia (ACC) 2023 dengan catatan masa 9.402s berbanding 9.523s.
Azizul dan Shah Firdaus akan memberi fokus kepada acara Keirin, manakala Nurul Izzah akan berjuang dalam acara pecut wanita bermula 10 Ogos.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.