Now Reading
Nenek Maut Lepas Hantar Cucu Ke Sekolah, Dipercayai Motosikal Terbabas Elak Anjing

Nenek Maut Lepas Hantar Cucu Ke Sekolah, Dipercayai Motosikal Terbabas Elak Anjing

Kejadian tersebut berlaku sekitar 7.15 pagi Isnin (5 Ogos) di Jalan Pusat Perniagaan Silibin 1, Ipoh.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Seorang warga emas dilaporkan meninggal dunia pada Isnin lalu (5 Ogos) selepas terjatuh motosikal usai menghantar cucu ke sebuah sekolah rendah di Silibin, Ipoh.

Dipercayai insiden yang berlaku sekitar jam 7.15 pagi itu terjadi apabila Rohani Nek cuba mengelak anjing yang berkeliaran.

Wanita berusia 69 tahun itu mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian di Jalan Pusat Perniagaan Silibin 1.


Anjing Kejar Motosikal Yang Lalu Lalang

Menurut anak mangsa, Sazrin Mohd Mohtar, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperolehi daripada premis perniagaan berhampiran menunjukkan Rohani ketika itu cuba mengelak anjing yang datang dari arahan hadapan.

“Berdasarkan rakaman CCTV juga terdapat beberapa ekor anjing yang mengejar motosikal yang lalu lalang di kawasan berkenaan,” katanya dipetik Awani.

Sazrin ketika ditemui di Kampung Tengku Hussein Baru, Silibin, berkata ibunya sering menghantar anak saudara yang merupakan pelajar di sekolah tersebut dengan menggunakan motosikal.


Bapa Kanak-Kanak Meninggal Dunia Akibat Kemalangan Juga

Menurut Sazrin, anak saudaranya itu, Adam Mikeil Shaizul Nizam mengalami trauma kerana baru sahaja kehilangan ayahnya sekitar lima bulan lalu akibat kemalangan jalan raya juga.

Sazrin berharap agar pihak berkenaan, terutamanya Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Jabatan Veterinar mengambil tindakan tegas agar tragedi sama tidak berulang kembali.

Kalau betul anjing-anjing itu menjaga premis perniagaan di situ, sepatutnya haiwan tersebut berada di dalam kawasan pagar, bukannya dibiarkan berkeliaran di luar.

Anak mangsa, Sazrin Mohd Mohtar

Katanya lagi, kehadiran anjing di kawasan tersebut merbahayakan murid-murid di sekolah berdekatan, terutamanya mereka yang menaiki basikal ke sekolah.


Mangsa Selalu Rindu Pada Anaknya

Dalam masa sama, cucu mangsa, Nurfarah Allyshah memaklumkan bahawa neneknya pernah mengadu sering dikejar anjing liar di kawasan tersebut.

Nurfarah juga berkata neneknya sejak kebelakangan ini kerap berasa rindu kepada ayahnya yang telah meninggal lima bulan lalu.

“Opah pernah kata dia selalu mimpi ayah dan kadang-kadang katanya ternampak macam kelibat ayah dalam rumah, mungkin dia rindu sangat,” katanya.

Tambahnya lagi, neneknya bercadang untuk menziarahi kubur arwah bapanya pada Ahad lalu (4 Ogos), iaitu sehari sebelum kejadian, namun tidak berkesempatan akibat hujan.


Kes Disiasat Di Bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin, sebelum ini telah mengeluarkan satu kenyataan berhubung insiden tersebut pada hari sama kejadian.

Menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook, hasil siasatan mendapati mangsa terbabas sendiri ke kiri jalan dipercayai akibat hilang kawalan.

Sehubungan itu, kes disiasat menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.

Polis Ipoh turut meminta saksi kejadian untuk menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Edwin Tang Chiew Song di talian 016-5506863 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd