Ini Antara Habuan Bagi Pemegang Pingat Emas Olimpik Di 8 Negara Asia
Antara habuan yang pernah diterima pemenang emas sukan Olimpik ialah kereta, sebidang tanah, rumah dan makanan percuma seumur hidup.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Temasya sukan Olimpik Paris 2024 sedang berlangsung menyaksikan para atlet bagi beberapa acara masih lagi bertungkus-lumus berjuang bagi membawa pulang pingat ke negara masing-masing.
Walaupun Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) tidak menawarkan hadiah berbentuk wang kepada pemegang pingat, namun banyak negara menawarkan insentif kepada para atlet mereka.
Pemenang Olimpik Paris 2024 secara rasmi menerima pingat, anak patung maskot Olimpik dan sebuah kotak ‘misteri’ yang mengandungi poster acara rasmi.
Persoalannya, apakah hadiah yang sudah/akan diterima oleh atlet yang berjaya mengharumkan nama negara masing-masing di sesi Olimpik kali ini? Jom kami kongsikan hadiah mengikut lapan negara di Asia ini.
#1. Malaysia
Bagi Olimpik kali ini, atlet Malaysia yang membawa pulang pingat emas akan diberi ganjaran wang hampir RM1 juta.
Selain itu, mereka turut dijanjikan sebuah pangsapuri mewah bernilai RM1 juta oleh Top Residency serta kereta Chery SUV kepada pemenang mana-mana pingat.
Bukan itu sahaja, atlet yang berjaya menempah tempat pada kedudukan di podium juga akan menerima pencen seumur hidup dari RM1,854 hingga RM5,100 sebulan.
Negara telah menyaksikan dua pingat gangsa dibawa pulang dalam acara badminton oleh Lee Zii Jia dan pasangan beregu Aaron Chia-Wooi Yik. Kejayaan ini memberikan mereka sebuah kereta Chery Tiggo 7 Pro setiap seorang.
Baca Artikel Berkaitan: Malaysia Negara Ke-4 Dunia Tawar Ganjaran Paling Mewah Buat Atlet Pemenang Emas Olimpik 2024
Baca Artikel Berkaitan: Lee Chong Wei & Michelle Yeoh Ucap Tahniah Atas Kemenangan Lee Zii Jia Di Sukan Olimpik 2024
#2. Indonesia
Indonesia pula menawarkan hadiah berbentuk wang tunai sebanyak IDR5 bilion (RM1.4 juta) bagi pemenang pingat emas Olimpik.
Sebelum ini, pasangan beregu wanita badminton Indonesia, Apriyani Rahayu dan Greysia Polii, telah meraih pingat emas di Olimpik Tokyo 2020.
Mereka ketika itu dijanjikan ganjaran rumah baharu oleh pemaju perumahan, restoran bakso daripada seorang pempengaruh media sosial, tiga kilogram emas dari PT Pegadaian dan percutian percuma di lima destinasi pelancongan utama dalam negara.
Malah, Antara melaporkan Apriyani dijanjikan lima ekor lembu, sebidang tanah dan sebuah rumah daripada ketua wilayah kampung halamannya yang terletak di Sulawesi.
Apriyani yang bergabung dengan Siti Fadia Silva Ramadhanti dalam Olimpik kali ini walau bagaimanapun kecundang di peringkat saingan kumpulan dan gagal membawa pulang sebarang pingat.
#3. Filipina
Atlet gimnastik Carlos Yulo dari Filipina telah memenangi dua pingat emas pada Olimpik Paris.
BBC melaporkan pelbagai ganjaran ditawarkan buat Carlos termasuk kondominium tiga bilik yang lengkap dengan perabot, wang tunai 10 juta peso (RM780 ribu) oleh kerajaan Filipina serta konsultasi dan rawatan kolonoskopi percuma seumur hidup.
Malah, beberapa rangkaian makanan turut menawarkan ramen, ‘mac and cheese’ dan ayam panggang percuma seumur hidup buat Carlos.
Pada Tokyo 2020, atlet angkat berat Hidilyn DIaz yang membawa pulang pingat emas dihadiahkan dua hartanah serta dinaikkan pangkat kepada Staff Sergeant dalam Angkatan Tentera Filipina.
#4. Singapura
Kerajaan republik ini menawarkan SGD1 juta (RM3.38 juta) bagi pemenang pingat emas, manakala Singapore Airlines menjanjikan perjalanan percuma sejauh satu juta batu.
Pada Olimpik 2016 di Rio, sejarah terlakar apabila Joseph Schooling mengalahkan Michael Phelps dalam acara renang 100m kuak kupu-kupu.
Ekoran kejayaannya itu, dia dan keluarga ditawarkan pengangkutan percuma oleh Grab selama setahun.
#5. Korea Selatan
Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Korea Selatan menawarkan 63 juta won (RM205.8 ribu) pada pemegang pingat emas. Selain itu, 90 mata pencen dengan pencen bulanan sebanyak 1 juta won (RM3,267) atau bayaran 67.2 juta won sekaligus turut dihadiahkan (RM210.6).
Pelbagai persatuan dan persekutuan sukan juga menjanjikan ganjaran wang tunai bagi mereka yang membawa balik pingat.
Di samping itu, atlet dari Korea Selatan yang memenangi sebarang pingat pada Olimpik, dapat dikecualikan daripada terbabit dalam latihan khidmat tentera yang diwajibkan.
Bukan sahaja bagi Olimpik, atlet yang meraih pingat emas dalam Sukan Asia juga dapat menikmati kelebihan itu, seperti bintang bola sepak Korea Selatan, Son Heung Min, pada tahun 2018.
Di Olimpik Tokyo 2020, enam pemanah Korea Selatan telah menerima kereta tajaan Hyundai setelah merangkul empat daripada lima emas yang dipertandingkan.
#6. Hong Kong
Hong Kong menjadi negara nombor satu di dunia yang menawarkan ganjaran wang paling banyak buat pemenang emas Olimpik iaitu HK$6 juta (RM3.46 juta).
Selain itu, pemegang pingat turut dijanjikan tiket percuma bagi MRT di bandar raya sepanjang hidup mereka.
Syarikat penerbangan Cathay Pacific pula menjanjikan perjalanan kelas perniagaan percuma selama setahun buat semua pemenang pingat.
#7. India
Atlet India yang berjaya membawa pulang pingat emas akan menerima 7.5 juta rupee (RM404.5 ribu) dari kerajaannya. Manakala Indian Olympic Association menawarkan wang tunai berasingan sebanyak 10 juta rupee (RM535.3 ribu).
Sebelum ini, atlet Neeraj Chopra yang memenangi emas dalam acara merejam lembing di Tokyo, dijanjikan penerbangan percuma tanpa had selama setahun oleh syarikat penerbangan IndiGo.
Dia turut menerima sebuah kereta SUV tujuh kerusi baharu dari seorang ahli perniagaan.
#8. Iraq
Bagi negara ini, layak ke Olimpik sahaja sungguh cukup untuk diberikan ganjaran. Pemain bola sepak pasukan Iraq menerima lebih 9 juta dinar (RM30.9 juta) dan sebidang tanah setiap seorang.
Manakala atlet angkat berat Ali Ammar Yasser diberi sebuah kereta, sebidang tanah, serta gaji bulanan.
Mereka juga dijanjikan ganjaran berjuta dolar jika berjaya membawa pulang sebarang pingat Olimpik.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.