Cameron ‘Santorini’ Diroboh Kerana Dibina Tanpa Kebenaran
Difahamkan bahawa tempat pelancongan terbabit telah dibina di atas tanah berstatus pertanian yang disewa daripada pihak Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Cameron Highlands yang mempunyai banyak tempat tarikan menjadi salah satu lokasi pilihan rakyat Malaysia untuk melancong dalam negara.
Dengan cuacanya yang sejuk, rakyat tempatan dapat merasa seolah-olah melancong ke luar negara apabila melawat ke pelbagai tempat seperti ladang teh, taman bunga, dan ladang biri-biri.
Digelar Cameron Santorini, sebuah kawasan menjadi tarikan ramai apabila mengambil ilham daripada seni bina di Santorini, Greece.
MDCH Robohkan Cameron Santorini
Semalam (5 Ogos 2024), Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) telah melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap Cameron Santorini.
Menerusi laman Facebook, MDCH memaklumkan bahawa tempat pelancongan tersebut telah dibina secara haram.
Sehubungan itu, tindakan diambil menurut Seksyen 70 (1) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974, iaitu mendirikan bangunan tanpa kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa tempatan.
Operasi yang berlangsung dari 9 hingga 11.30 pagi itu turut melibatkan jabatan dan agensi lain iaitu Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Cameron Highlands (PDTCH), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Jabatan Kerja Raya Daerah Cameron Highlands (JKR) dan Tenaga Nasional Berhad ( TNB).
MDCH juga berharap agar tindakan ini menjadi iktibar dan peringatan kepada pihak lain agar mematuhi peraturan berkaitan dalam melaksanakan projek pembangunan.
Pembinaan Akan Dikenakan Kompaun
Pembinaan tempat pelancongan tersebut yang dilakukan tanpa kebenaran pihak berkuasa termasuk kebenaran merancang, akan diberi notis kompaun.
Difahamkan juga bahawa Cameron Santorini dibina di tanah berstatus pertanian yang disewa daripada pihak Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands, lapor Kosmo.
Menurut Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Azri Ramli, operasi ke atas kawasan tersebut berjalan dengan baik dan lancar.
“Tiada kekecohan dan tiada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku sepanjang tindakan penguatkuasaan dilaksanakan dan kawasan berkenaan kini ditutup,” katanya.
Sultan Pahang Zahir Kebimbangan Tentang Tanah Di Pahang
Terdahulu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kebimbangan apabila pendatang asing telah mula ‘menjajah’ tanah di Pahang secara terang-terangan.
Titahnya lagi, ini terjadi kerana kurangnya nilai integriti dalam kalangan penyewa di negeri itu.
Sebagai contoh, warga asing telah menyewa tanah-tanah di Cameron Highlands yang pada mulanya dipajak dan disewa kepada petani-petani serta pengusaha, titahnya.
“Demi hanya mengikut nafsu dan mementingkan wang ringgit, kita sanggup menggadai integriti dan membiarkan tanah di negeri ini diratah oleh bukan pemiliknya.
“Lebih mendukacitakan lagi, warga asing tersebut telah mengambil alih peranan sebagai ‘tauke’ yang mengawal bekalan dan harga dalam industri pertanian, mengakibatkan wujudnya kartel-kartel yang merosakkan ekonomi negeri dan negara secara keseluruhannya,” titah baginda.
Cameron Santorini Baru Dibuka 4 Bulan Lalu
Terletak di Brinchang, Cameron Santorini yang dibuka pada 4 April lalu menjadi tempat tarikan yang boleh dikunjung oleh orang ramai.
Ia memaparkan bangunan seakan-akan di Santorini, Greece yang dikelilingi taman bunga. Terdapat juga kolam renang di sana, namun tidak pasti jika ia boleh digunakan oleh pengunjung.
Pengunjung harus membuat bayaran masuk sebanyak RM40 bagi dewasa dan RM20 bagi kanak-kanak berumur lima hingga 12 tahun.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.