Zy Lee Kher Terus Jalani Latihan Persediaan Paralimpik 2024 Walau Mungkin Tidak Ke Paris
Dalam masa sama, Zy turut mengemukakan permohonan maaf terhadap mereka yang terkesan dengan tindakan ayahnya, Walter Lee, dalam mencari kebenaran.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Dalam meraikan temasya sukan Olimpik Paris 2024, tidak harus dilupa bahawa sukan Paralimpik 2024 akan berlangsung dalam masa beberapa minggu lagi.
Malaysia telah membuat persediaan memilih para-para atlet dari kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) bagi mewakili negara ke peringkat antarabangsa ini.
Dalam masa sama, timbul isu apabila atlet renang para, Zy Lee Kher, tidak terpilih untuk mewakili Malaysia ke Paris.
Namun begitu, Zy berkata dia akan meneruskan latihan dalam program persiapan ke sukan Paralimpik walaupun kemungkinan besar tidak akan mewakili negara ke Paris.
Zy ‘Top 10’ Dalam Beberapa Acara Dunia
Dalam satu hantaran di Facebook, Zy berkata dia akan menyelesaikan apa yang telah dimulakan dan tidak akan mengaku kalah.
Tambahnya, dia telah menyertai banyak acara renang para dalam tempoh lima tahun lalu. Dia yang menyertai acara di bawah kategori kecacatan fizikal (S5 dan SB4) turut menjadi perenang para 10 terbaik dunia dalam beberapa pertandingan.
Saya memakai bendera Malaysia dengan pernuh hormat dan berbangga dengan pencapaian saya.
Atlet renang para, Zy Lee Kher
Zy berkata kejayaannya dapat digapai dengan sokongan dan kepercayaan daripada ramai orang, terutama sekali ibu bapanya. Bapanya telah menunjukkan kepada Zy yang walaupun dia dilahirkan berbeza, dia masih boleh melakukan perkara luar biasa.
“Ketiga-tiga Perenang Para Sepatutnya Ke Paris” – Zy Lee Kher
Mengenai isu pemilihan perenang untuk ke Paris, Zy berasa hebat apabila seramai tiga perenang para dari Malaysia layak untuk ke sukan Paralimpik 2024.
Dalam masa sama, dia percaya bahawa dia telah mendapat tempat dalam kontinjen negara dan ketiga-tiga mereka sepatutnya mewakili Malaysia ke Paris. Bagi Zy, temasya sukan Olimpik atau Paralimpik adalah impian setiap atlet.
Saya berasa terkejut dan amat kecewa apabila mendapat tahu bahawa saya tidak akan ke sana (Paris).
Atlet renang para, Zy Lee Kher
Zy Mohon Maaf Jika Mana-Mana Pihak Terkesan
Mengulas tindakan bapanya, Walter Lee, Zy berkata seorang bapa akan melakukan perkara yang sama.
Dia berkata bapanya memperjuangkan serta ingin mencari jawapan dan kebenaran berkenaan hal pemilihan perenang para ke Paris.
Walter sebelum ini telah membandingkan prestasi antara perenang lain dengan anaknya bagi memahami keputusan yang dirasakan tidak adil.
Dalam pada itu, Zy menegaskan bahawa dia mahupun bapanya tidak berniat untuk menyakitkan hati mana-mana pihak, terutamanya rakan sepasukan sendiri, dalam mencari keadilan.
Perenang berusia 17 tahun itu turut mengemukakan permohonan maaf pada mana-mana pihak yang terkesan.
Tiada Atlet Harus Lalui Kekecewaan Seperti Zy
Sebagai seorang ahli sukan, Zy percaya pada keadilan yang penting agar setiap pengorbanan para atlet tidak menjadi sia-sia.
Zy menjelaskan bahawa tiada mana-mana atlet para patut melalui apa yang dihadapinya ketika ini. Oleh itu, dia ingin mencari jawapan untuk memahami keadaan itu bukan hanya bagi dirinya sendiri, tetapi masa depan kesemua perenang para.
Saya akan tetap berlatih dan berenang selama mungkin untuk negara saya, Malaysia.
Atlet renang para, Zy Lee Kher
Walter Persoalkan Keputusan PREPMA
Sebelum ini, Walter mendakwa bahawa slot sukan Paralimpik telah diberikan kepada atlet dengan rank lebih rendah berbanding anaknya.
Dia yang mempersoalkan keputusan Persatuan Renang Para Malaysia (PREPMA) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) meminta agar PREPMA menjelaskan kriteria yang digunakan bagi memilih atlet ke Paris.
Baca Artikel Berkaitan: PREPMA Harus Telus, Perjelas Kriteria Pilih Atlet Ke Paralimpik Paris 2024 – Bapa Zy Kher Lee
Malaysia hanya menerima dua slot ke Paris yang diisi oleh Muhammad Nur Syaiful dan Imaan Aiman Redzuan. Zy yang dimasukkan ke slot bipartite (wild card) walau bagaimanapun tidak terpilih untuk menyertai Paralimpik 2024.
Untuk makluman, Zy telah memenangi enam pingat pada peringkat antarabangsa, termasuk dua pingat gangsa dalam Sukan Para Asia di Hangzhou tahun lepas.
Malah, Walter berkata Zy telah memecahkan rekod Asia pada tahun 2023, sekaligus melayakkannya ke Olimpik, di mana dia layak dalam tiga acara di Paralimpik Paris 2024.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.