Olimpik Paris 2024: Aaron Chia & Wooi Yik Raih Pingat Pertama Malaysia, Tempat Ke-3 Beregu Lelaki Badminton
Kemenangan ini merupakan rentetan kejayaan pada Olimpik Tokyo 2020.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Malam tadi negara dipenuhi sorak gempita apabila pasangan beregu lelaki badminton Aaron Chia Teng Fong dan Soh Wooi Yik meraih pingat gangsa di Olimpik Paris 2024.
Kemenangan itu sekaligus menjadikan pasangan itu wakil kontinjen Malaysia pertama yang membawa pulang pingat dari Olimpik Paris 2024.
Aaron-Wooi Yik Bangkit Di Set Kedua & Ketiga
Pingat pertama buat Malaysia dari temasya sukan ini tidak digapai dengan mudah, apabila Aaron-Wooi Yik tewas dengan gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen di set pertama 16-21.
Pada set kedua, gandingan nombor tiga dunia itu telah ketinggalan sebanyak empat mata (16-20) namun berjaya bangkit pada saat akhir dan menyamakan mata (deuce) sebelum menang 22-20.
Saingan sengit berlangsung dalam set terakhir apabila Malaysia hanya beza satu mata dengan Denmark bagi meraih pingat gangsa. Aaron-Wooi Yik menang 21-19 pada pusingan terakhir, menamatkan keseluruhan perlawanan menentang pasangan nombor dua dunia dalam masa 69 minit.
Aaron-Wooi Yik telah menentang Astrup-Rasmussen dalam 11 perlawanan dan memenangi tujuh daripadanya.
Pingat Gangsa 2 Kali Berturut Dalam Olimpik
Kemenangan Aaron dan Wooi Yik merupakan rentetan kejayaan pada Olimpik Tokyo 2020 yang turut menyaksikan pasangan itu menggenggam pingat gangsa.
Mereka ketika itu menewaskan gandingan Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia.
Di samping itu, Aaron-Wooi Yik menjadi beregu lelaki pertama negara yang memenangi dua pingat dalam temasya sukan Olimpik.
Kedua-dua anak muda dari Malaysia ini sememangnya ‘star’ dalam dunia badminton apabila berjaya berdiri di atas podium dalam hampir kesemua acara sukan utama seperti Olimpik, Kejohanan Badminton Dunia (BWF), Kejohanan Badminton Asia dan Sukan Komanwel.
Orang Ramai Kongsi Momen Aaron-Wooi Yik Menang
Jika anda menyaksikan perlawanan malam tadi, pasti anda bersorak gembira apabila bulu tangkis jatuh di gelanggang pasukan Demark bagi mencapai mata penamat 21.
Di media sosial, orang ramai berkongsi momen apabila sorakan gempita dari bangunan-bangunan kediaman dapat didengari sehingga ke jalanan.
Malah, semangat cintakan negara ini jelas ternyata apabila sekumpulan warga Malaysia bersama-sama menyaksikan set terakhir Aaron-Wooi Yik di sebuah kedai elektronik di pusat beli-belah Lalaport.
Walaupun telah melepasi waktu beroperasi, kedai tersebut masih menayangkan permainan itu menerusi kaca TV. Kudos!
Zii Jia Akan Berentap Bagi Pingat Gangsa
Dalam perkembangan lain kontinjen badminton tanah air, Lee Zii Jia bakal berentap hari ini menentang Lakshya Sen dari India bagi pingat gangsa.
Zii Jia semalam (4 Ogos) kalah 14-21 dan 15-21 dengan wakil Thailand, Kunlavut Vitidsarn, sekaligus gagal melayakkan diri ke peringkat akhir badminton lelaki.
Gandingan Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan pula menamatkan perjuangan mereka di Olimpik 2024 setelah ditewaskan oleh gandingan Jepun Nami Matsuyama-Chiharu Shida.
Namun mereka tetap mencipta sejarah apabila menjadi beregu wanita pertama negara yang layak ke peringat separuh akhir temasya sukan Olimpik.
Baca Artikel Berkaitan: Pearly-Thinaah Cipta Sejarah, Beregu Wanita Malaysia Pertama Ke Peringkat Separuh Akhir Olimpik
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.