Hab Kreatif GMBB Tawar Pelbagai Seni & Kraftangan Buat Orang Ramai
Beberapa bengkel pada harga serendah RM10 ditawarkan pada 3 dan 4 Ogos ini sempena pelancaran rasmi GMBB.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Tidak terkira banyaknya acara-acara kesenian yang diadakan di bandar Kuala Lumpur buat para peminat seni dan budaya tanah air.
Dari institusi Balai Seni Negara (BSN), galeri-galeri swasta, studio persembahan ke pengendali kraftangan tradisional, semuanya menawarkan tarikan yang menarik buat pengunjung sama ada tempatan mahupun dari luar negara.
Di samping itu, terdapat beberapa bangunan yang menjadi tarikan di ibu negara bagi hal-ehwal keseniaan termasuk Pasar Seni, Zhongshan Building dan terbaharu, GMBB.
Pengunjung Boleh Sertai Pelbagai Bengkel Seni & Kraftangan
Terletak di Bukit Bintang, pusat beli-belah GMBB menjadi hab unggul yang mengumpulkan komuniti kreatif dari berlainan disiplin di dalam sebuah bangunan.
Menerusi perkongsian orang ramai di media sosial, terdapat pelbagai bengkel seni dan kraftangan yang ditawarkan pada harga berpatutan. Antara bengkel tersebut merangkumi seni tanah liat (pada harga serendah RM24), lukisan, resin, malah membuat sendiri (DIY) lilin dan lipstick.
Selain itu, peminat seni juga boleh hadir ke pameran yang ditampilkan di beberapa galeri di bangunan sembilan tingkat itu seperti Emilatopia, Gaia Lapan dan Gerimis.
GMBB Tawarkan Bengkel Serendah RM10 Pada 3 & 4 Ogos
Pada hujung minggu ini, terdapat pelbagai aktiviti, pameran dan persembahan yang akan berlangsung di hab kreatif itu sempena pelancaran rasminya.
Bukan itu sahaja, pengunjung juga berpeluang menyertai bengkel-bengkel seni dan kraftangan yang ditawarkan pada harga serendah RM10!
Di samping itu, sebuah persembahan wayang kulit yang diinspirasikan daripada filem popular Star Wars akan turut dimainkan oleh Fusion Wayang Kulit. Menarik betul!
Anda boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai acara dan bengkel yang ditawarkan menerusi laman web GMBB di SINI.
GMBB Tempatkan Lebih 100 Para Kreatif
Pada mulanya dirancang sebagai sebuah pusat borong fesyen, GMBB telah diubah menjadi hab kreatif, mengambil inspirasi daripada pusat seni luar negara seperti 798 Art Zone di Beijing dan PMQ di Hong Kong.
Terdapat lebih 100 para artis, artisan dan kreatif yang bertempat di hab kreatif itu, antaranya Five Arts Centre, Fusion Wayang Kulit, dan Gangsapura.
Ia turut menempatkan beberapa pejabat di tingkat 8 dan 9 bangunan seperti platform pembelian tiket CloudJoi dan media SoyaCincau.

GMBB Dilancarkan Secara Rasmi Selepas 4 Tahun Tertangguh
Mula beroperasi sekitar lima tahun lalu, pelancaran rasmi GMBB yang pertama kali dirancang pada 2020 terpaksa ditangguhkan susulan pandemik COVID-19.
Pusat beli-belah komuniti kreatif GMBB telah secara rasminya dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Binti Mustafa petang semalam (1 Ogos).

Acara gilang-gemilang itu meraikan para artisan dan kreatif di GMBB apabila mengetengahkan produk mereka menerusi persembahan, hiasan dewan, tempat duduk bagi para VIP, serta cenderamata yang diberikan kepada tetamu.
Dr Zaliha dalam ucapan perasmiannya berkongsi keyakinan bahawa GMBB dapat menjadi ikon baharu dalam landskap seni dan budaya di Kuala Lumpur, serta menjadi tempat berkumpul para komuniti kreatif bagi perkongsian idea dan pemupukan kreativiti.
Seni adalah industri yang amat berpotensi. Ia boleh menarik kedatangan pelancong sama ada tempatan atau dari luar, serta menyumbang banyak terhadap KDNK negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Binti Mustafa

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.