Pearly-Thinaah Cipta Sejarah, Beregu Wanita Malaysia Pertama Ke Peringkat Separuh Akhir Olimpik
Gandingan hebat itu telah menewaskan lawan dari Korea Selatan dalam acara badminton beregu wanita di Olimpik Paris 2024, sekaligus melayakkan mereka ke peringkat separuh akhir.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Malaysia mencipta sejarah apabila skuad kebangsaan badminton beregu wanita (WD) buat pertama kalinya layak ke peringkat separuh akhir di temasya sukan Olimpik.
Kejayaan itu dicapai menerusi gandingan hebat Pearly Tan-Thinaah Muralitharan menewaskan Kim So Yeong-Kong Hee Yong dari Korea Selatan dengan mata 21-12 dan 21-13 di suku akhir hari ini (1 Ogos).
Kedua-dua srikandi negara itu juga memecah rekod apabila menjadi beregu wanita pertama Malaysia yang berjaya layak ke separuh akhir sukan Olimpik.
Berjaya Harungi ‘Kumpulan Maut’
Duo yang digelar PearThin itu sebelum ini ditempatkan dalam ‘group of death’ apabila terpaksa berdepan dengan lawan hebat dari Indonesia (no 9 dunia), Jepun (no 6) dan China (no 1) pada peringkat kumpulan.
Dalan perlawanan pertama, kedua-dua wakil negara itu telah digagalkan oleh skuad China dengan 17-21 dan 20-22.
Mereka kemudiannya bangkit menewaskan skuad Jepun dan Indonesia, sebelum berdepan dengan pasangan dari Korea Selatan di suku akhir.

PearThin Kalahkan Korea Selatan Dalam ‘Straight Sets’
Kini berada pada kedudukan ke-12 dunia, duo PearThin mengambil masa 37 minit untuk mengalahkan lawan dari Korea Selatan.
Pasangan dari Korea itu sebelum ini telah memperolehi pingat gangsa di Olimpik Tokyo 2021.
Pada acara di Porte De La Chapelle Arena, pasangan ini telah mendahului 7-0 dalam masa empat minit di set pertama, memenanginya dengan 21-11.
Walaupun lawan yang berada di tempat ke-10 dunia mendahului 2-0 pada set kedua, aksi pukulan tepat dan smash oleh Pearly dan Thinaah meletakkan Malaysia di kedudukan selesa 11-8 sebelum rehat.
Skuad Malaysia itu menamatkan set kedua dengan 21-13, sekaligus melayakkan mereka ke peringkat separuh akhir.
Peminat sukan badminton tanah air pastinya tidak sabar menyaksikan gandingan hebat PearThin yang sekali lagi bakal menentang beregu wanita badminton pertama dunia dari China, Chen Qingchen dan Jia Yifan.
PearThin Menang Pingat Emas Di Sukan Komanwel 2022
Sebelum ini, tular video di media sosial menyaksikan pasangan tersebut mempunyai gerakan yang ‘sync’ dengan satu sama lain.
Kedua-dua wakil negara itu pertama kali berganding dalam skuad beregu wanita badminton pada tahun 2019.
Mereka telah mewakili negara di Swiss Open 2021, French Open 2022, malah membawa pulang pingat emas di Sukan Komanwel Birmingham 2022.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.