Isu 19 Peserta MSSJ Jatuh Sakit, Pusat Akuatik MBJB Ditutup Hingga Dimaklumkan
Dalam pada itu, Datuk Bandar Datuk Mohd Noorazam Osman menegaskan walaupun digelar Pusat Akuatik MBJB, tetapi ia tidak diuruskan oleh majlis tersebut.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pada hujung minggu lalu, 19 individu dilaporkan jatuh sakit setelah berenang di dalam kolam renang di sebuah pusat akuatik di Johor Bahru.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah kemudiannya mengesahkan bahawa air kolam dari pusat akuatik tersebut tercemar dengan bakteria E. coli.
Sehubungan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengarahkan agar fasiliti renang itu ditutup serta-merta sehingga 6 Ogos.
Terbaharu, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) berkata pusat tersebut akan terus ditutup sehingga dimaklumkan kelak.
Datuk Bandar Datuk Mohd Noorazam Osman memaklumkan bahawa Pusat Akuatik MBJB Arena Larkin akan dibuka semula setelah disahkan selamat oleh Jabatan Kimia.
“Jabatan Kimia akan menjalankan beberapa ujian. Ujian tahap pertama telah diselesaikan, dan ujian kedua dijangkakan akan dijalankan,” katanya dipetik The Star setelah mesyuarat majlis semalam (31 Julai).
Pusat Akuatik Bukan Di Bawah Pengurusan MBJB Tapi Kontraktor Lantikan
Tambahnya lagi, dia telah memberi amaran tegas terhadap pihak pengurusan pusat akuatik itu.
Mohd Noorazam dalam masa sama turut menekankan walaupun digelar Pusat Akuatik MBJB, tetapi ia tidak diuruskan oleh majlis tersebut.
“Pusat tersebut sepatutnya diserahkan kepada MBJB, namun ia masih belum berlaku kerana pihak pemaju masih belum memenuhi beberapa kriteria,” jelasnya.
Pusat akuatik itu sebaliknya diuruskan oleh kontraktor yang dilantik oleh Damansara Assets.
MB Johor Lawat Pusat Akuatik
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum ini telah melakukan lawatan mengejut ke pusat akuatik tersebut pada Ahad (28 Julai).
Dia dilaporkan kelihatan terkejut dan marah melihat keadaan kolam di sana yang tidak dijaga dengan baik.
“Sehubungan itu, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) telah mengambil sampel air di kedua-dua kolam yang digunakan untuk dihantar ke Jabatan Kimia dan dibuat penilaian bagi melihat sama ada ia memberi kesan langsung kepada pelajar terbabit,” katanya kepada pemberita ketika itu.
Sembilan Sampel Air Dicemari Bakteria E. coli
Terdahulu, 18 orang pelajar dan seorang jurulatih renang dilaporkan mengalami pelbagai simptom termasuk muntah, demam dan kulit gatal setelah berenang di fasiliti akuatik tersebut pada 23 Julai.
Kesemua individu terlibat merupakan sebahagian daripada 900 peserta Kejohanan Akuatik Majlis Sukan Sekolah Johor (MSSJ) 2024 yang berlangsung dari 23 hingga 25 Julai lalu.
Pada 30 Julai, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah menyatakan bahawa air kolam dari pusat akuatik tersebut disahkan tercemar dengan bakteria E. coli.
“Ringkasnya, Jabatan Kimia sudah menjalankan analisis terhadap sembilan sampel air yang dikumpul, termasuk kolam renang utama, kolam terjun, tandas dan tangki takungan. Berdasarkan laporan Jabatan Kimia, kesemua sembilan sampel mendedahkan yang ia tercemar dengan bakteria E. coli,” katanya.
Pusat Akuatik MBPJ telah dibina sempena Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 yang telah ditangguh akibat pandemik COVID-19.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.