Wakil Pingpong Wanita Bagi Chile Ini Pertama Kali Sertai Olimpik Di Usia 58 Tahun
Seawal usia 18 tahun, Zeng Zhiying dijangka akan mewakili China di Olimpik sebagai salah seorang pemain pingpong terbaik di dunia.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Temasya sukan Olimpik merupakan impian hampir kesemua atlet negara seluruh dunia.
Tidak kira tua atau muda, kejayaan menyertai Olimpik bagi mewakili negara masing-masing sudah cukup untuk menimbulkan rasa bangga.
Zeng Sertai Olimpik Pertama Kali Pada Usia 58 Tahun
Bagi wanita berusia 58 tahun ini, usia bukanlah penghalang untuknya menyertai Olimpik buat pertama kali dalam hidup.
Dia yang mewakili Chile bagi sukan pingpong dalam Olimpik 2024 di Paris, berasal dari Guangzhou, China.
Zeng Zhiying telah bermain pingpong secara profesional sejak berusia 12 tahun, dan terpilih untuk menyertai pasukan kebangsaan China empat tahun kemudian.
Seawal usia 18 tahun, dia dijangka akan mewakili China di Olimpik sebagai salah seorang pemain pingpong terbaik di dunia.
Namun begitu, Zeng terpaksa melepaskan impiannya itu pada 38 tahun lalu kerana perubahan pada undang-undang pingpong yang memberi kesan terhadap permainannya.
Bermain Pingpong Profesional Semula Ketika COVID-19
Dia yang kemudiannnya berpindah ke utara Chile pada tahun 1989 telah menerima jemputan untuk melatih kanak-kanak di sana.
Wanita itu membuat keputusan untuk bermain pingpong secara profesional ketika pandemik COVID-19. Dikenali sebagai Tania oleh rakyat di Chile, dia berjaya melayakkan diri ke Olimpik Paris pada tahun 2023.
Dia juga sebelum ini telah memenangi tempat ketiga di Pan American Games 2023.
Pada pertandingan pertamanya di Olimpik kali ini, Zeng berjaya memenangi permainan pertama sebanyak 11-4 mata. Namun dia kalah keseluruhan permainan itu dengan Mariana Sahakian yang mewakili Lebanon.
Jadi Tumpuan Wartawan Di Olimpik
Walaupun tidak berjaya menggapai kemenangan, sekitar 50 wartawan seluruh dunia telah menunggu Zeng untuk menemubualnya!
Menurut laporan CNA, Zeng kekal bersemangat walaupun berdepan dengan kekalahan tersebut.
Saya betul-betul rasa seronok hari ini. Di gelanggang, saya tidak terasa penat dan berjuang bersungguh-sungguh menentangnya (Sahakian). Tetapi dia penyabar, lebih sabar dari saya.
Pemain pingpong Chile, Zeng Zhiying
Dia turut berasa bangga kerana akhirnya dapat mencapai impian menyertai temasya sukan Olimpik.
Zeng Ingin Sertai Olimpik 2028
Kata Zeng, ramai orang di Amerika Selatan menyokongnya. Tetapi dia tidak menyangka bahawa ramai juga rakyat Eropah dan China yang turut memberikan sokongan mereka. Perkara itu menyebabkan dia berasa amat terharu dan gembira.
Apabila ditanya sama ada dia akan kembali di Olimpik Los Angeles pada tahun 2028, Zeng berkata dia akan mengusahakan perkara itu.
Saya akan terus bermain pingpong. Sukan ini memberi saya banyak kegembiraan dan saya mahu bermainnya setiap hari.
Pemain pingpong Chile, Zeng Zhiying
Zeng Salah Seorang Dari 9 Atlet Tertua Di Olimpik 2024
Zeng bukanlah satu-satunya wakil negara yang sudah agak berusia.
Berikut merupakan atlet lain di Olimpik 2024 yang berusia, malah ada yang sudah mencecah kategori warga emas.
- Juan Antonio Jiménez, 65 – Mewakili Sepanyol dalam sukan tunggang kuda
- Rolf-Göran Bengtsson, 62 – Mewakili Sweden dalam sukan tunggang kuda
- Pius Schwizer, 61 – Mewakili Switzerland dalam sukan tunggang kuda
- Mario Deslauriers, 59 – Mewakili Kanada dalam sukan tunggang kuda
- Steffen Peters, 59 – Mewakili Amerika Syarikat dalam sukan tunggang kuda
- Carl Hester, 57 – Mewakili Britain dalam sukan tunggang kuda
- Nino Salukvadze, 55 – Mewakili Georgia dalam sukan menembak
- Andy Macdonald, 50 – Mewakili Britain dalam sukan papan selaju (skateboarding)
Nino Salukvadze juga menjadi wanita pertama yang telah menyertai temasya sukan Olimpik sebanyak 10 kali.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.