Masjid JAKIM & JAWI Bakal Laksanakan Solat Jenazah Ghaib Buat Ismail Haniyeh
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata dia akan mengarahkan masjid terlibat untuk mengadakan solat ghaib setelah jenazah dimandikan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pagi ini (31 Julai), masyarakat dunia dikejutkan dengan perkabaran mengenai kematian pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh yang dibunuh oleh rejim Zionis.
Sehubungan itu, solat jenazah ghaib bagi Allahyarham akan ditunaikan di kesemua masjid seluruh Malaysia di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar, arahan tersebut telah dikeluarkan kepada Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail.
“Saya kini berada di Kaherah dan arahan telah dibuat. Kita dapatkan maklumat dulu. Jika dah dimandikan, saya minta semua Masjid JAKIM dan JAWI untuk mengadakan solat ghaib,” katanya dipetik Astro Awani.
Ismail Syahid Di Kediamannya Di Tehran
Terdahulu, Ismail dilaporkan gugur syahid dalam satu serangan oleh rejim Israel di kediamannya di Tehran, Iran. Turut terbunuh adalah pegawai peribadinya.
Pengawal Revolusi Iran (IRGC) memaklumkan bahawa sasaran ke atas Ismail dilakukan semasa beliau menghadiri majlis angkat sumpah Presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian.
Baca Artikel Berkaitan: Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh Maut Dibunuh Di Iran
Solat Jenazah Ghaib Untuk Jenazah Yang Berada Jauh Dengan Kita
Sebagai info, solat jenazah ghaib bermakna solat yang ditunaikan di negeri lain yang berada jauh dari negeri asal yang menempatkan jenazah.
Pensyariatannya adalah berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نَعَى النَّجَاشِيَّ فِي الْيَوْمِ الَّذِي مَاتَ فِيهِ، خَرَجَ إِلَى الْمُصَلَّى، فَصَفَّ بِهِمْ وَكَبَّرَ أَرْبَعًا
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW memberitahu akan berita kematian al-Najasyi ketika hari kematiannya. Baginda SAW keluar ke musolla, membuat saf dan bertakbir sebanyak empat kali.”
Riwayat al-Bukhari (1245) dan Muslim (951)
Sunat Lakukan Solat Jenazah Ghaib Setelah Mendapat Berita Kematian
Merujuk kepada laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, solat jenazah ghaib boleh dilakukan setelah berita kematian diterima dan sehingga hari ketiga. Hal ini kerana ketiga-tiga hari itu dianggap sebagai tempoh bertakziah.
Terdapat juga pendapat bahawa solat ini sunat dilakukan pada bila-bila masa setelah mendengar berita kematian, walaupun sudah sebulan lamanya dan mayat telah dikebumikan.
Namun pendapat yang muktamad adalah harus solat jenazah ghaib selama mana beliau adalah ahli solat ketika kematian berlaku.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Perkara yang mengesahkan solat jenazah ghaib termasuk dilakukan di negeri yang berlainan dengan tempat terletaknya jenazah serta ditunaikan setelah mayat dimandikan.
Solat jenazah ghaib juga tidak diharuskan bagi kematian yang tidak ditemui jasadnya, memandangkan jenazah tidak dapat dimandikan.
Cara Tunaikan Solat Jenazah Ghaib
Pelaksanaan solat jenazah ghaib adalah sama dengan solat jenazah yang biasa.
Pertama, bertakbiratul ihram sambil berniat solat Jenazah. Lafaz niat adalah seperti berikut:

Maksudnya: “Sahaja aku solat ke atas mayat [nama arwah] yang ghaib, empat kali takbir fardu kifayah kerana Allah Ta’ala.”
Setelah bertakbir, bacakan surah al-Fatihah seperti solat fardu. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Talhah bin Abdullah bin `Auf:
صَلَّيْتُ خَلْفَ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِىَ اللهُ عَنْهُمَا عَلَى جَنَازَةٍ فَقَرَأَ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ قَالَ لِيَعْلَمُوا أَنَّهَا سُنَّةٌ
Maksudnya: “Aku bersolat Jenazah di belakang Ibn Abbas R.A, dia membaca Fatihah. Kemudian katanya: Supaya mereka tahu itulah sunnah.”
Riwayat al-Bukhari (1335)
Setelah membaca al-Fatihah, takbir buat kali kedua sambil mengangkat kedua-dua tangan hingga ke cuping telinga. Kemudian, letakkan semula tangan ke dada dan mengucapkan selawat ke atas Rasulullah SAW. Afdal membacakan selawat Ibrahimiyah seperti mana yang dibacakan ketika tahiyat akhir.

Selepas selesai berselawat, takbir buat kali ketiga sebelum mendoakan jenazah. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Umamah bin Sahal RA, berdoa untuk jenazah merupakan makna utama solat tersebut:
أَنَّهُ أَخْبَرَهُ رَجُلٌ مِنْ أَصْخَابِ النَّبِيِّ أَنَّ السُّنَةَ فِي الصَّلاَةِ عَلَى الجَنَاَزَةِ أَنْ يُكَبِّرَ الإِمَامُ، ثُمَّ يَقْرَأُ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ بَعْدَ التَكْبِيْرَةِ الأُوْلَى سِرًّا فِي نَفْسِهِ ثُمَّ يُصَلِّى عَلَى النَّبِيِّ وَيُخَلِّصَ الدُّعَاءَ لِلْجَنَازَةِ فِي التَكْبِيْرَاتِ وَلاَ يَقْرَأَ فِي شَيْءٍ مِنْهُنَّ ثُمَّ يُسَلِّمَ سِرًّا فِي نَفْسِهِ
Maksudnya: “Bahawa dia telah diberitahu oleh seorang lelaki di kalangan sahabat Nabi SAW bahawa solah jenazah menurut sunnah ialah imam bertakbir, kemudian membaca al-Fatihah dengan perlahan selepas takbir pertama, seterusnya berselawat ke atas Nabi SAW dan mendoakan jenazah semata-mata dalam takbir-takbir tersebut tanpa apa-apa bacaan yang lain, kemudian mengucapkan salam dengan perlahan.”
Riwayat al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra, 4/39
Doa yang paling ringkas boleh dibacakan adalah seperti berikut:
اللَّهُمَّ ارْحَمهُ أوِ اغْفِرلَه
Maksudnya: “Ya Allah! Rahmatilah dia. Atau Ya Allah! Ampunilah dia.”
Seteusnya, bertakbir buat kali keempat iaitu yang terakhir, dan bacakan doa ini:
اللَّهُمَّ لاَ تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلاَ تَفْتِنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَلَهُ
Maksudnya: “Ya Allah! Janganlah Engkau tahan pahalanya daripada kami dan janganlah timbulkan fitnah kepada kami selepas kematiannya serta ampunilah kami dan dia.”
Riwayat Abu Daud (3201)
Akhir sekali, ucapkan salam sebanyak dua kali seperti ketika menunaikan solat lain.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.