Now Reading
Lelaki Ini Kongsi 5 Perkara Yang Dianggap Biadap Di Jepun

Lelaki Ini Kongsi 5 Perkara Yang Dianggap Biadap Di Jepun

Antara perkara yang tidak patut dilakukan ketika melawat Jepun adalah penggunaan penyepit makanan yang salah, membuat bising di dalam pengangkutan awam dan memotong barisan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Apabila melancong ke sesuatu negara, kita perlu cakna tentang budaya setempat agar tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan masyarakat di sana.

Salah satu destinasi pelancongan yang menjadi pilihan pada masa kini ialah Jepun. Negara yang padat dengan budaya itu mempunyai kepercayaan dan tradisinya yang tersendiri.

Jika anda ingin melancong ke Jepun, baca dahulu artikel ini agar tidak tersalah langkah.


5 Perkara Tak Boleh Dilakukan Di Jepun

Seorang pempengaruh Malaysia yang telah menetap di Jepun selama 10 tahun, Kamal Zharif, berkongsi lima perkara yang dianggap biadap jika dilakukan di Jepun.

#1. Beri bayaran tip

Jika tip merupakan sesuatu yang dinanti-nantikan oleh pekerja di sesetengah negara, lain pula di negara matahari terbit itu. Budaya Jepun menerapkan integriti yang tinggi dalam urusan harian dan perkhidmatan mereka.

Oleh itu, segala caj perkhidmatan telah dinyatakan di dalam bil dan tiada sebarang ‘hidden fees’. Setiap baki bayaran akan dipulangkan kembali kepada pelanggan, walau lima sen sekalipun.

Memberi tip merupakan satu penghinaan buat masyarakat Jepun dan mereka amat tidak gemarkan perkara itu.

Sumber gambar: charlesdeluvio/ Unsplash
#2. Pakai kasut di dalam bangunan

Seperti budaya di Malaysia, masyarakat Jepun tidak memakai kasut di dalam rumah dan tempat-tempat tertentu.

Menurut Kamal, selipar khas akan disediakan di bangunan tertentu seperti rumah, tempat suci dan sekolah. Oleh itu pengunjung akan diminta untuk membuka kasut dan memakai selipar yang disediakan.

Tambah Kamal, selipar tersebut pula tidak seharusnya dipakai apabila memasuki ke dalam bilik yang mempunyai tikar tatami. Sesetengah rumah juga menyediakan selipar khas untuk digunakan di dalam tandas.

Di samping itu, memakai stokin dengan selipar dianggap lebih sopan dalam budaya Jepun.

Tempat meletak kasut akan disediakan di sesetengah tempat (Sumber gambar: sugar jet/ Pexels)
#3. Bermain dengan chopstick

Penyepit atau chopstick merupakan peralatan makanan utama di negara-negara Asia Timur termasuk Jepun. Dalam menggunakannya, terdapat beberapa perkara yang dianggap tabu dan perlu dielakkan.

Mungkin ada di antara anda yang biasa memacakkan chopstik pada mangkuk nasi, namun perkara ini sebenarnya menyamai ritual kematian. Sebaliknya, letakkan chopstick di atas pemegang khas.

Colok dipacakkan ke dalam beras dalam ritual kematian (Sumber gambar: Flickr)

Selain itu, jangan ambilkan makanan untuk orang lain menggunakan chopstick peribadi. Ini kerana ia menyerupai ritual kematian di mana sisa jenazah yang dibakar, seperti tulang, dipindahkan dari seorang ke seorang lain sebelum dimasukkan ke dalam kendi (urn).

Mungkin ada sesetengah perkara ini anda biasa lihat di dalam drama, namun setiap negara mempunyai pantang larang yang berbeza dan tidak harus disamaratakan.

Chopstick yang juga digelar ‘hashi’ tidak seharusnya dibuat main, seperti mengetuk meja, melambainya atau menunjukkan sesuatu menggunakannya.

Pantang larang ketika menggunakan chopstick di Jepun (Sumber gambar: Japan.ASE/ Facebook)
#4. Makan di sembarangan tempat

Tidak berbeza dengan Malaysia, masyarakat Jepun juga melarang memakan sambil berjalan.

Di samping itu, orang ramai dilarang memakan di dalam kenderaan awam. Ini kerana sesetengah makanan mempunyai bau yang kuat dan dapat mengganggu penumpang lain.

Makanan atau minuman juga tidak seharusnya dibuka di dalam kenderaan awam secara umumnya kerana ia berisiko tertumpah dan mengotorkan kenderaan tersebut.

Jangan makan berdiri di Jepun walaupun hanya onigiri atau aiskrim (Sumber gambar: Unsplash)
#5. Memotong barisan

Masyarakat Jepun amat terkenal dengan sifat disiplin mereka yang tinggi. Oleh itu apabila anda melawat negara itu, jangan memotong barisan walau apa jua keadaan.

Bukan hanya ketika membeli makanan, tetapi mereka juga beratur ketika hendak memasuki ke dalam kenderaan awam atau menghadiri sebarang festival.

Malah kata Kamal, penduduk di sana tetap beratur bagi mendapatkan bantuan kecemasan ketika dilanda tsunami.


Jangan Bahasakan Diri Sendiri Dengan ‘San’

Selain perkara yang dikongsikan oleh Kamal, sebenarnya banyak lagi perkara yang tidak seharusnya dilakukan apabila anda melawat ke Jepun.

Contohnya, apabila menaiki kenderaan awam, terdapat beberapa etika yang harus anda patuhi seperti:

  • Tidak bercakap dengan kuat atau membuat bising
  • Bercakap telefon
  • Meletakkan beg di tempat duduk
  • Duduk di tempat khas
Sumber gambar: Unsplash

Selain itu, jika anda ingin cuba berkomunikasi dalam bahasa Jepun asas, gunakan bahasa formal dan bukan seperti yang dilihat di dalam anime atau drama.

Ini kerana bahasa tersebut mungkin agak kasar dan anda akan dilihat tidak menghormati individu yang baru sahaja anda kenal. Sebagai contoh, ‘saya’ dalam bahasa Jepun formal ialah ‘watashi’ dan bukannya ‘ore’ yang agak kasar.

Ingat juga, apabila memperkenalkan diri anda, jangan tambahkan ‘san’ pada hujung nama. Sebaliknya ‘san’ merupakan gelaran hormat seperti Tuan atau Puan yang patut digunakan apabila memanggil orang lain.

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Tak Banyak Surau & Masjid, Lelaki Kongsi Tips Solat Ketika Bercuti Di Jepun

Baca Artikel Berkaitan: Wanita Jepun Hasilkan Tudung Dari Kimono, Dapat Idea Setelah Lihat Wanita Berhijab Di Malaysia

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Lelaki Kongsi Rutin Pekerja Di Jepun Pada Awal Pagi, Berdiri Secara Serentak & Bersenam


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd