12 Kawasan Seluruh Negara Rekod Cuaca Panas Tahap Berjaga-Jaga
Cuaca panas tahap berjaga-jaga melibatkan negeri Perak, Kedah, Kelantan, serta Sabah dan Sarawak setakat 6 pagi tadi.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Malaysia merekodkan cuaca yang panas kebelakangan ini berikutan fenomena angin monsun Barat Daya yang berlangsung dari Mei hingga September.
Setakat 6 pagi tadi (29 Julai), Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menerusi laman Facebook memaklumkan terdapat 12 kawasan di seluruh negara yang berada pada tahap berjaga-jaga (Tahap 1).
Sebanyak tiga daerah di Semenanjung berdepan cuaca panas Tahap 1 iaitu Larut dan Matang di Perak, Kuala Muda di Kedah dan Kuala Krai, Kelantan.
Sementara itu, satu kawasan di Sabah (Beaufort) turut berada pada Tahap 1, manakala lapan kawasan di Sarawak membabitkan Kuching, Sri Aman, Lubok Antu, Kapit, Sibu, Miri, Telang Usan dan Marudi.
6 Kawasan Rekod Panas Tahap 1 Semalam
Semalam (28 Julai), METMalaysia mendapati enam kawasan telah merekodkan cuaca panas Tahap 1 iaitu ketiga-tiga daerah di Semenanjung seperti di atas, Pasir Mas di Kelantan, serta Bintulu dan Sri Aman di Sarawak.
Ini menunjukkan peningkatan sebanyak enam kawasan yang merekodkan tahap berjaga-jaga seluruh negara hari ini berbanding semalam.
“Tahap berjaga-jaga ini adalah suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut,” katanya.
Cuaca Panas Dijangka Hingga Tengah September
Ketua Pengarah METMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah, sebelum ini menerangkan cuaca panas terjadi di negara susulan Monsun Barat Daya sejak 17 Mei lalu.
Dia berkata Malaysia dijangka mengalami taburan hujan yang rendah hingga fasa peralihan monsun bermula. Sehubungan itu, negara mengalami cuaca lebih panas dan kering hingga pertengahan September.
Monsun Barat Daya Sebabkan Hujan Lebat Di Beberapa Negara Asia
Seperti Monsun Timur Laut di Pantai Timur Malaysia, Monsun Barat Daya juga sebenarnya menyebabkan hujan lebat melibatkan beberapa negara di Asia seperti India dan Thailand.
Seorang ahli fizik, Zamir Mohyedin, menerangkan bahawa fenomena ini terjadi ketika musim panas di rantau Asia. Suhu di daratan yang lebih tinggi ketika musim panas menyebabkan udara di sekeliling berkembang dan naik ke langit.
Keadaan ini menyebabkan kurangnya udara di daratan, sekaligus membentuk kawasan tekanan rendah separa tetap.
Malaysia Tiada Hujan Kerana Dihalang Banjaran Barisan Di Sumatera
Dalam keadaan tekanan rendah ini, angin dan udara sejuk dari Lautan Hindi dan rantau Indonesia-Australia, akan ditarik merentasi Khatulistiwa. Udara lembab tersebut terhasil apabila air laut menyejat dan akan membentuk awan serta hujan di kawasan daratan.
Penerangan sama jugalah yang menyebabkan hujan lebat di kawasan Pantai Timur Malaysia sewaktu Monsun Timur Laut.
Jadi, mengapakah Malaysia mengalami cuaca panas melampau pula ketika fenomena Monsun Barat Daya? Ini kerana Semenanjung di Pantai Barat khususnya tidak menerima angin lembab dari Lautan Hindi akibat dihalang oleh Banjaran Barisan di Sumatera.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



