Now Reading
Love Is A Motion Picture: Bawa Kelainan Gunakan ‘Film Snippets’ Dalam Persembahan Pentas [Review]

Love Is A Motion Picture: Bawa Kelainan Gunakan ‘Film Snippets’ Dalam Persembahan Pentas [Review]

LIAMP berlangsung bermula 25 Julai hingga 28 Julai ini di Studio Ramli Hassan, Bukit Tunku.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Kisah cinta berbeza bagi setiap pasangan. Ada yang menggapai bahagia sehingga ke penghujung hayat, namun ada juga yang terhenti di tengah jalan akibat pelbagai konflik yang timbul.

Dalam mengharungi kesedihan akibat hubungan yang terputus, seseorang mungkin mencari ketenangan dengan pelbagai cara termasuk beriadah, berjumpa dengan keluarga dan rakan-rakan, malah menonton filem kegemaran.


LIAMP Gabungkan Seni Teater & Filem

Sebuah pementasan berjudul Love Is A Motion Picture (LIAMP) tampil dengan kelainan apabila menggabungkan elemen teater dan filem di dalam satu persembahan pentas.

Ia mengisahkan tentang seorang lelaki yang menggunakan filem-filem romantik kegemarannya sebagai satu medium ‘escapism‘ dalam mengharungi detik kesedihan.

Pementasan yang dibawa oleh Main Theatre ini mengajak penonton merentasi sempadan antara fiksyen dan bukan fiksyen, meneroka bagaimana seseorang boleh terkesan dengan karakter dan kisah dalam filem.


Review Love Is A Motion Picture Oleh Team TRP

Team TRP telah dijemput ke malam pratonton media pada 24 Julai lalu dan kami berpeluang menyaksikan sendiri pementasan yang ‘lain daripada yang lain’ ini.

Perjalanan cerita itu bermula agak perlahan, namun ia memberi peluang kepada penonton untuk memahami segenap inci ruang sebelum fokus pada jalan cerita pementasan.

Jika teater ‘one man show’ selalunya berbentuk monolog, lain pula yang dibawa oleh LIAMP apabila pelakon, Fahad Iman, seolah-olah memainkan watak lelaki yang berinteraksi dengan pasangan mereka di dalam filem-filem tersebut.

Walaupun berseorangan di atas pentas, Fahad tidak kekok apabila berjaya menyampaikan ‘rasa’ kepada penonton.

Mungkin ada yang berasa agak terganggu dengan tayangan filem di dalam pementasan itu, namun sebenarnya penting untuk memerhatikannya kerana ia menceritakan ‘kisah’ sebenar yang sedang dimainkan pelakon.

Nasihat kami bagi mereka yang bakal menonton teater ini, berikan fokus sepenuhnya dari awal pementasan agar anda tidak terlepas pandang sebarang babak dan ‘klu’ penting.

LIAMP juga boleh disifatkan sebagai sebuah media pop-culture apabila turut menampilkan ‘easter eggs’ yang berkaitan dengan filem-filem dipamerkan.

Sumber gambar: Sharifah/ TRP

Pengakhiran Cerita Terbuka Pada Tafsiran Penonton

Boleh dikatakan penulis telah mengolah semula babak dari filem-filem yang terpilih ke dalam bentuk teater. Seperti teknik montaj, babak tertentu filem dipotong sebelum disambungkan dengan penceritaan dalam bentuk persembahan pentas.

Di samping itu, pakaian yang ditukar oleh pelakon menjadi petunjuk apabila penceritaan berubah dari satu babak ke babak yang lain. Pengarah juga bijak menggunakan pencahayaan bagi menunjukkan perubahan waktu dalam pementasan terbabit.

Dengan pengakhiran yang terbuka kepada tafsiran penonton, pementasan ini sesuai bagi mereka yang gemar berfikir dengan lebih mendalam tentang satu-satu kisah.

Pada akhir pementasan, hadirin boleh memerhatikan set persembahan dengan lebih dekat bagi memahami segala isi yang tersirat padanya.

Teater ini secara keseluruhannya menarik dan berjaya menonjolkan kelainannya!

Sumber gambar: Sharifah/ TRP

Ambil Masa 3 Bulan Untuk Siapkan Skrip

Bercakap dengan penulis skrip, Arshad Adam, pemilihan filem dilakukan berdasarkan minat peribadi serta fiksyen popular merangkumi genre romantik, sci-fi, komedi, malah animasi yang menggarapkan kisah cinta di dalamnya.

Terdapat sekitar 18 ‘film snippets’ yang dipaparkan di sepanjang pementasan itu. Tambahnya, proses menulis skrip mengambil masa sekitar tiga bulan, termasuk menonton kesemua filem yang terlibat bagi memilih babak serta dialog yang bersesuaian.

Idea bagi konsep ini timbul daripada perasaan yang dirasai semua orang apabila menonton sesebuah filem yang dirasakan seperti tentang kehidupan mereka sendiri. Ia menggabungkan interaksi antara individu dan karakter fiksyen, menawarkan perspektif yang segar dan menakjubkan dalam penceritaan.

Penulis skrip, Arshad Adam

Penerangan Arshad ini mengingatkan kami kepada kata-kata seorang pemuisi terkenal, Oscar Wilde, “Kehidupan meniru seni jauh lebih banyak berbanding seni meniru kehidupan (life imitates art far more than art imitates life).”

Dari kiri: Penulis skrip Arshad Adam, pengarah Nawfal Zamri dan pelakon Fahad Iman (Sumber: Sharifah/ TRP)

Ada Dialog Pada Filem Yang Beri Impak Pada Manusia

Pengarah, Nawfal Zamri, berkata dia ingin tampil dengan sebuah persembahan solo, namun bukan dalam bentuk monolog yang tidak menjadi minatnya.

Begitulah bagaimana idea asal naskah ini tercetus, dan dipercayai inilah pertama kali media filem popular digunakan dalam persembahan pentas dengan gaya sedemikian.

“Inspirasi tersebut timbul setelah menonton filem yang sama berulang kali sehingga menghafal dialog yang memberi impak penting pada hidup saya,” katanya.

Nawfal yang juga merupakan seorang pensyarah sambilan berkata LIAMP merupakan pengarahan pertamanya yang membabitkan kisah cinta, lain daripada kebiasaan apabila dia sebelum ini banyak membawa kisah keluarga berbentuk thriller.

Saya merasakan kisah yang dipamerkan di dalam filem dapat berhubung dengan manusia. Ia akan mencetuskan emosi, mengingatkan seseorang tentang masa lampaunya, dan memberi dorongan kepadanya untuk melakukan sesuatu.

Pengarah LIAMP, Nawfal Zamri

Lakonan Teater Solo Pertama Fahad Iman

Menurut pengarah, Fahad terpilih untuk memainkan watak solo itu memandangkan pelakon itu yang paling dekat dengan karakter yang ingin ditonjolkannya.

Jelas Fahad, ini merupakan kali pertama dia melakonkan persembahan pentas seorang diri. Namun, dia ternyata berjaya dalam mengekalkan momentum dan tenaga di sepanjang pementasan.

Apabila berlakon dengan watak lain, tenaga boleh dilantunkan antara satu sama lain bagi mengekalkan momentum persembahan. Tetapi kali ini, pelakon terikat pada karakter di dalam filem itu sendiri.

Pelakon, Fahad Iman
Sumber gambar: Sharifah/ TRP

Keseluruhan persedian bagi pementasan ini mengambil masa sekitar satu tahun. Produksi juga telah meminta izin bagi penggunaan serta mengolah filem-filem tersebut bagi mengelakkan pelanggaran hak cipta.

Disokong oleh Dana Kreatif Perak dan PORT, serta dengan kerjasama Masa Kini Theatre Company dan Bleenk Media, LIAMP berlangsung bermula 25 Julai hingga 28 Julai, di Studio Ramli Hassan, Bukit Tunku.

Pembelian tiket boleh dilakukan di sini dan sebarang maklumat lanjut boleh didapati daripada laman Instagram @maintheatre.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd