Ini 7 Ciri-Ciri Autisme Pada Orang Dewasa
Antara ciri-ciri tersebut ialah perbezaan pada komunikasi sosial, fikiran yang monotropik dan masalah dengan sensori di sekelilingnya.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Gangguan Spektrum Autisme (ASD) adalah salah satu daripada gangguan perkembangan neuro yang sering berlaku. Mereka yang mengalami autistik kebiasaannya akan terganggu dari segi interaksi sosial.
Apabila berbicara soal autisme, rata-rata orang akan mengaitkan keadaan neurologi dan perkembangan itu dengan kanak-kanak.
Namun sebenarnya autisme bukan hanya terhad kepada kanak-kanak, tetapi turut boleh dikesan dalam seseorang setelah menginjak usia dewasa.
7 Ciri Pada Dewasa Autistik
Seorang ahli psikologi, Fatimah, yang mewakili The National Autism Society Of Malaysia (NASOM) Setia Alam telah menggariskan tujuh ciri-ciri autisme yang terdapat pada seorang dewasa.
#1. Perbezaan komunikasi sosial
Cara sesetengah individu autistik berkomunikasi adalah berbeza. Mereka boleh bersifat sangat ‘direct’ dengan semua orang tidak kira ahli keluarga, rakan sekerja, mahupun orang asing.
Ketika berkomunikasi, individu autistik mungkin bercakap sesuatu secara ‘straight forward’ dan tidak berlapik. Kebanyakan masanya, apa yang diucapkan hanya mengandungi perkara tersurat dan tiada sebarang makna tersirat.
#2. Perbezaan komunikasi bukan lisan
Apabila berkomunikasi, kita bukan sahaja melakukannya menerusi lisan, tetapi juga secara bukan lisan seperti gerakan tangan dan pandangan mata.
Bagi individu autistik, mereka dapat lebih fokus ketika berkomunikasi apabila tidak memandang tepat ke arah mata seseorang.
Dalam masa sama, mereka juga mungkin mempunyai suara yang senada atau monotone. Individu autistik boleh bercakap dengan suara yang sangat kuat, namun tidak disedari olehnya.
Selain itu, mereka seringkali bercakap secara berlebih-lebihan atau ‘exaggerated’.
#3. Sukar kekalkan hubungan sosial
Disebabkan oleh perbezaan dalam cara berkomunikasi individu autistik, mungkin terjadi banyak salah faham dalam persahabatan antara mereka dan individu bukan autistik.
Oleh itu, hubungan ini sukar dikekalkan walaupun individu autistik itu sendiri yang menginginkannya.

#4. Kesukaran menamakan perasaan/ emosi
Secara umumnya, orang ramai tidak mengalami masalah bagi menjelaskan perasaan yang dirasainya pada sesuatu masa seperti gembira, sedih atau kecewa.
Namun, tidak bagi individu autistik yang mungkin hanya memahami emosi berdasarkan perkara fizikal. Contohnya, menangis maksudnya sedih.
Perasaan yang dirasai seperti gembira, patah hati dan sebagainya sukar digambar dan diluahkan, sebaliknya hanya dirasai dalam dirinya sendiri.
Sebanyak 45% hingga 60% individu autistik mengalami kesukaran menamakan emosi atau alexithymia.
#5. Kerap tertekan dan gelisah kerana menyembunyikan simptom
Keadaan ini berlaku apabila individu autistik melakukan ‘masking’ atau cuba menyembunyikan simptomnya untuk menjadi seperti seorang yang ‘normal’.
Individu autistik sebenarnya kerap melakukan ‘stimming’ atau sebarang struktur lain bagi pengawalan diri.
Jika mereka tidak melakukannya, ia akan meningkatkan risiko mengalami lain-lain masalah mental.

#6. Fikiran monotropik
Tidak seperti orang lain, individu autistik kebiasaannya mempunyai fikiran monotropik, iaitu fokus seperti terowong.
Ini bermakna walaupun minatnya sedikit dan terhad, namun mereka amat terperinci tentang perkara yang diminati.
Perkara ini juga menjadi sebab mengapa individu autistik seringkali terlepas untuk memikirkan perkara di luar ‘attention tunnel’ tersebut.
#7. Isu atau perbezaan sensori
Orang ramai pasti tahu bahawa individu autistik sangat sensitif dengan sensori tertentu. Ini bermakna ada daripada mereka yang tidak gemarkan bunyi yang bising, cahaya yang terlampau terang malah tekstur makanan.
Dalam masa sama, ada juga dari kalangan mereka mencari input-input sensori (sensory seeking). Salah satu bentuk mencari sensory ialah stimming iaitu melakukan pergerakan yang berulangan.
Pergerakan atau bunyi-bunyian yang berulang, serta ‘fidget’ boleh membantu individu autistik untuk kekal tenang, mengurangkan tekanan atau menghalang input sensori yang tidak selesa.

Fatimah walau bagaimanapun berkata ketujuh-tujuh perkara ini hanyalah ciri-ciri secara umum, memandangkan setiap individu autistik itu unik dan mungkin mempunyai sifat berbeza.
@nasomsetiaalam Ini adalah 7 ciri autisme dewasa. Ciri-ciri ini hanyalah ciri autism secara umum. Setiap individu autistik adalah unik dan mungkin mempunyai traits yang berbeza dari video ini. Jika anda boleh relate dengan ciri-ciri autisme dewasa ini, tak semestinya anda ada autisme. Boleh dapatkan keterangan lanjut dari pakar psikologi. #autisme #autism #autisticadult #autismedewasa
♬ Vlog – Soft boy
Majoriti Kes Autisme Di Malaysia Dalam Kanak-Kanak Bawah 12 Tahun
Setakat 30 Jun 2022, statistik mencatatkan terdapat 36,601 individu di Malaysia yang disahkan mempunyai autisme. Daripada angka itu, 24,748 (67.6%) ialah kanak-kanak di bawah 12 tahun, manakala selebihnya (32.4%) merangkumi julat umur lain, termasuk dewasa.
Kanak-kanak yang mengalami autisme juga boleh dikenal pasti berdasarkan ciri-ciri tertentu yang boleh dikesan seawal usia 18 bulan.
Seperti orang dewasa, kanak-kanak autistik juga mengalami gangguan pada kemahiran pertuturan dan komunikasi. Keadaan ini menyebabkan mereka sukar memahami percakapan, bertutur dan menyatakan kehendak.
Mereka juga sukar bergaul dengan kanak-kanak lain dan sering bermain sendirian akibat masalah kemahiran interaksi sosial.

Kanak-Kanak Dengan Autisme Ada IQ Rendah, Tetapi Tak Jadi Penghalang Kejayaan
Dari segi sensori, terdapat juga kanak-kanak autistik yang sensitif terhadap bunyi yang kuat, sentuhan dan rasa. Ini menyebabkan mereka tidak gemar apabila disentuh atau dipeluk.
Kebanyakan kes autisme dalam kanak-kanak sering dikaitkan dengan kelewatan pada perkembangan kognitif. Ini menyebabkan ramai daripada mereka mempunyai tahap IQ lebih rendah berbanding kanak-kanak lain.
Namun begitu, keadaan ini tidak menjadi halangan buat sesetengah individu autistik untuk berjaya dalam melakukan perkara yang sukar. Malah, ada yang sehingga menggapai peringkat PhD dalam pendidikan tinggi.
Baca Artikel Berkaitan: Remaja Autisme Ini Hafal 30 Juzuk al-Quran Dalam Masa 18 Bulan Sahaja
Baca Artikel Berkaitan: [Video] “Dia Cuma Tak Matang” – Lelaki Autisme Miliki PHD Terangkan Tentang Fiqh Autism Raih Pujian Ramai
Baca Artikel Berkaitan: Jangkitan Kuman Ketika Hamil Tingkatkan Risiko Anak Hidap Autisme – Pakar
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.