[Video] Wanita Kongsi Cara Guna ‘Washcloth’ Untuk Bersihkan Badan Ketika Mandi
Berbanding washcloth, bakteria akan berkumpul pada berus badan atau loofah yang ditinggalkan di dalam bilik air dalam keadaan lembap.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Mandi merupakan satu ‘ritual’ yang penting bagi manusia kerana ia bukan sahaja dapat membersihkan kita dari sebarang kotoran, tetapi turut memberikan kesegaran.
Pelbagai produk mandian yang digunakan ketika mandi termasuklah sabun, syampu dan peralatan mandi lain.
Span badan atau loofah pula digunakan bagi menggosok dan membuang sebarang daki pada badan. Ia juga berfungsi membuang sel mati, seterusnya menjadikan kulit kelihatan lebih bersih dan mulus.
Baca Artikel Berkaitan: Influencer Ceddy Selar Dakwaan Bangsa Cina Tak Mandi Pagi Kerana Mahu Buang ‘Ong’
Bakteria Boleh Terkumpul Pada Berus Badan & Loofah
Seorang wanita yang dikenali sebagai Riha Jamil telah membuat perkongsian di TikTok (@momsyrellsy) berkenaan penggunaan ‘washcloth’ ketika mandi. Menurutnya, terdapat pelbagai jenis kain yang boleh dijadikan washcloth antaranya microfiber.
Riha berkata dia tidak menggunakan berus badan atau loofah kerana apabila ditinggalkan di dalam bilik air dalam keadaan basah, bakteria akan berkumpul padanya.
Apabila peralatan mandi yang dipenuhi bakteria ini digunakan semula, badan akan dinaiki jerawat.
Berbeza dengan berus mandi dan loofah, washcloth yang telah dipakai boleh dibasuh sebelum digunakan semula. Malah, washcloth boleh dimasukkan ke dalam mesin basuh tanpa merosakkannya.
Gosok Washcloth Pada Seluruh Badan
Kedengaran macam lebih bersih menggunakan washcloth, bukan? Jadi, bagaimana nak gunakannya?
Mula-mula, anda hanya perlu basahkan sahaja kain tersebut. Setelah keseluruhan kain basah, letakkan sabun padanya. Boleh juga letak sabun terus ke atas kulit.
Pastikan kulit anda dibasahkan terlebih dahulu sebelum menyental washcloth pada seluruh tubuh badan. Gosok juga pada bahagian celahan seperti ketiak, celah peha, leher dan belakang telinga. Ini bagi memastikan kesemua daki yang terkumpul dapat disingkirkan.


Jangan Lupa Bersihkan Kaki
Riha juga mengingatkan orang ramai agar tidak lupa membersihkan kaki ketika mandi. Letakkan kaki di atas mangkuk jamban atau bangku kecil untuk memudahkan proses sentalan.
Celahan jari kaki perlu digosok bagi membuang sebarang daki dan kotoran. Riha turut menasihati agar memerhatikan pada bahagian tapak kaki sekiranya terdapat sebarang luka.
Dia mengaitkan perkara itu dengan masalah kencing manis yang boleh menyebabkan kaki dipotong. Katanya, penghidap kencing manis mungkin tidak berasa sakit sekiranya terdapat luka kerana sarafnya telah rosak disebabkan oleh kandungan tinggi gula dalam darah.
Apabila luka tersebut dibiarkan, bakteria akan masuk ke dalam saluran darah dan menyebabkan jangkitan kuman. Jangkitan ini seterusnya akan merebak ke tulang sehingga kaki tidak dapat diselamatkan.
Jika Guna Loofah, Gantungkan Hingga Benar-Benar Kering
Dia berkata washcloth berkesan dalam menyingkirkan daki dan sel mati di atas kulit. Bagi mereka yang mempunyai kulit sensitif dan kering, Riha mencadangkan agar menggunakan sabun yang melembapkan (moisturizing).
Tambahnya, walaupun washcloth akan menggelupaskan (exfoliate) kulit, namun ia tidaklah terlalu kasar.
Jika anda ingin exfoliate kulit badan dengan secukupnya, lebih sesuai jika menggunakan berus badan atau loofah. Namun Riha meminta orang ramai agar berhati-hati memandangkan kedua-dua peralatan mandi ini senang dipenuhi bakteria.
Di ruangan komen, dia berkata berus badan dan loofah perlu digantungkan sehingga benar-benar kering untuk mengelakkan pembiakan bakteria. Lebih elok sekiranya dijemur di bawah cahaya matahari bagi mematikan kuman.

Jangan Kongsi Berus Badan, Loofah & Washcloth
Menurut LovelySkin, menggunakan washcloth mahupun loofah sebenarnya mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.
Dengan menggunakan washcloth, kulit badan dapat digosok lembut atau kuat mengikut kekuatan sentalan seseorang. Sebaliknya, loofah bersifat lebih kasar dan mungkin kurang sesuai bagi mereka dengan kulit sensitif.
Kedua-dua peralatan mandi ini boleh menjadi tempat pembiakan bakteria jika tidak dikeringkan atau dibasuhkan dengan betul. Washcloth perlu ditukar setiap hari dan boleh dipakai semula, manakala loofah harus dibuang dan digantikan setiap tiga hingga empat minggu.
Diingatkan juga supaya tidak berkongsi washcloth mahupun loofah dengan sesiapa mahupun ahli keluarga. Ini kerana ia boleh menyebabkan jangkitan seperti sakit mata (pink eye) dan bakteria staphylococcus. Malah, mereka yang mempunyai masalah kulit seperti ekzema dan psoriasis lebih berisiko dijangkiti atau mengalami kerengsaan.

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.