Now Reading
Malaysia Cipta Sejarah Di Pertandingan Olimpiad Matematik Antarabangsa 2024, Kesemua Wakil Negara Terima Pingat

Malaysia Cipta Sejarah Di Pertandingan Olimpiad Matematik Antarabangsa 2024, Kesemua Wakil Negara Terima Pingat

Malaysia telah merangkul dua pingat perak dan empat gangsa dalam pertandingan tersebut, sekaligus meletakkan negara di tempat kedua dalam kalangan negara ASEAN.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Apabila bercakap soal Matematik, ramai orang amat tidak menggemarinya, malah ada yang sehingga mengalami aritmophobia!

Namun lain pula bagi enam orang pelajar yang menggunakan kepakaran mereka dalam bidang sains tulen ini sehingga mewakili negara.


Malaysia Terima 6 Pingat Di IMO 2024

Malaysia mencipta sejarah apabila kesemua enam pelajar yang mewakili negara berjaya meraih pingat di Pertandingan Olimpiad Matematik Antarabangsa (IMO) ke-65.

Pertandingan yang berlangsung di Bath, United Kingdom itu mengumpulkan seramai 600 ahli matematik muda terbaik dari 108 buah negara seluruh dunia.

Malaysia telah menerima dua pingat perak dan empat gangsa di pertandingan berprestij itu. Pencapaian kumpulan dari Malaysia adalah seperti berikut:

  • Daryl Lee Ker Ru – Pingat Gangsa
  • Leia Mayssa Masyerin – Pingat Gangsa
  • Ivan Chan Guan Yu – Pingat Perak
  • Loh Kwong Weng – Pingat Gangsa
  • Tan Min Heng – Pingat Gangsa
  • Wong Jer Ren – Pingat Perak
Sumber gambar: Matematik Olimpiad Malaysia

Malaysia Raih Tempat Ke-2 Di ASEAN

Menurut hantaran di Facebook Olimpiad Matematik Malaysia, ini merupakan pertama kali kesemua peserta yang mewakili Malaysia merangkul pingat.

Malah, pertandingan kali ini juga melakar sejarah apabila Masalah 1 dan Masalah 4 daripada keseluruhan enam soalan berjaya diselesaikan sepenuhnya oleh kesemua wakil Malaysia buat pertama kali.

Dengan pencapaian tersebut, Malaysia berada di kedudukan kedua dalam kalangan negara ASEAN, bersama Vietnam dan di belakang Singapura.

Malaysia juga berada di kedudukan ke-33 IMO 2024 daripada kesemua 108 negara yang mengambil bahagian. Sebagai perbandingan, Singapura berada di tangga keenam dalam pertandingan tersebut.


Wakil Negara Sertai Latihan Olimpiad Matematik Sejak 2017

Kumpulan dari Malaysia itu diketuai oleh Dr M Syafiq Johar dan dibantu Muhammad Zafree Zaharidan. Zafree berkata jurulatih Ivan Chan Kai Chin telah mengendalikan latihan buat pasukan itu selama satu tahun.

Menerusi satu temubual dengan Awani, Zafree memaklumkan bahawa Wong, Loh dan Tan telah mendapatkan latihan olimpiad matematik sejak 2017, manakala Ivan, Darryl dan Lela yang lebih muda memulakan latihan mereka pada tahun 2020.

Kesemua peserta ini terpilih menerusi IMO National Selection Test yang berlangsung sejak September tahun lepas.


IMO 2024 Berlangsung Di University of Bath

Terdahulu, kumpulan Malaysia telah tiba di Bath bagi menyertai IMO ke-65 pada 14 Julai lalu. Menerusi perkongsian kumpulan itu di Facebook, mereka turut menyertai pelbagai aktiviti lain sempena IMO.

Pertandingan Olimpiad itu telah berlangsung pada 16 Julai di University of Bath dengan Masalah 1, 2 dan 3. Manakala Masalah 4 hingga 6 bersambung pada keesokan harinya.

Kesemua peserta IMO turut dibawa melawat batu Stonehedge dan bersiar-siar di sekitar Bath City sewaktu berada di sana.

Baca Artikel Berkaitan: Soalan Matematik Terlalu Sukar, Ramai Kurang Setuju Silibus KBAT Untuk Murid Sekolah Rendah


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd