Now Reading
2 Kapal Dagang Berlanggar Di Perairan Kota Tinggi, Maritim Jalankan Operasi SAR

2 Kapal Dagang Berlanggar Di Perairan Kota Tinggi, Maritim Jalankan Operasi SAR

Kedua-dua kapal berkenaan telah ditemui oleh bot PERKASA 29 yang tiba di lokasi insiden pada jam 9.50 pagi.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Satu insiden perlanggaran dua kapal dagang iaitu MT HAFNIA NILE dan MT CERES 1 berlaku di 25 batu nautika Timur Laut Tanjung Balau, Kota Tinggi pada 6.55 pagi tadi (19 Julai).

Sehubungan itu, Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) atau SAR telah dijalankan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor.


Maritim, TLDM & PPM Terlibat SAR

Menurut Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim, Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) telah ditubuhkan di jeti Zon Maritim Tanjung Sedili bagi mengkoordinasikan pencarian berhubung insiden tersebut.

Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima laporan berkenaan insiden terbabit sebelum CARILAMAT diaktifkan oleh Maritim, lapor MalaysiaGazette.

“MRSC telah mengatur gerak Kapal Maritim (KM) Niah, bot PERKASA 29, bot PETIR 12 dari Maritim Malaysia, KD GEMPITA dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan bot ronda PA 9 dari Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 ke lokasi kejadian untuk tindakan CARILAMAT kedua-dua kapal tersebut,” kata Saiful.


2 Kapal Ditemui 9.50 Pagi Tadi

Menerusi kenyataan di Facebook Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Saiful berkata kedua-dua kapal berkenaan telah ditemui oleh aset Maritim Malaysia, bot PERKASA 29 yang tiba di lokasi insiden pada jam 9.50 pagi.

Tambah Saiful lagi, dijangkakan satu sidang media akan berlangsung di Tanjung Sedili esok (20 Julai).

“Perkembangan terkini dan maklumat lanjut akan dikongsikan dari semasa ke semasa,” katanya.


JAS Dimaklumkan Bagi Tindakan Lanjut Jika Ada Tumpahan Minyak

Insiden tersebut turut dimaklumkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi tindakan lanjut sekiranya terdapat tumpahan minyak.

Selain itu, Maritim Malaysia telah mengeluarkan arahan agar pegawai dan anggota bertugas di Abu Bakar Maritime Base (ABMB) melaksanakan pemantauan di sekitar kawasan tersebut.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd