[Video] Lelaki Ini Persoal Denda RM100 Kes Buli Siber, Kecewa Lihat Shalini Keluar Mahkamah Seolah Rai ‘Kemenangan’
Dia turut membandingkan perkara itu dengan kesalahan-kesalahan lain yang membawa denda lebih tinggi berbanding RM100 diterima Shalini atas kesalahan buli terhadap Esha.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Kes buli siber ke atas Rajeswary Appahu, atau lebih dikenali sebagai Esha, sehingga menyebabkan kematiannya telah mendapat perhatian ramai.
Dua individu telah didakwa di mahkamah pada 16 Julai lalu dengan pemilik sebuah rumah kebajikan, P Shalini, mengaku bersalah atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata kesat dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan.
Dia yang didakwa di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan dikenakan hukuman denda RM100 menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan orang ramai.
Baca Artikel Berkaitan: Kes Buli Siber Esha: Wanita Mengaku Bersalah Keluarkan Kata-Kata Kesat, Didenda RM100
Lelaki Persoalkan Denda RM100
Pempengaruh TikTok, Arwind Kumar (@aforarwind), mempersoalkan tanggapan yang diberi terhadap orang ramai apabila seorang individu yang mengaku bersalah melakukan buli siber sehingga membabitkan kematian hanya didenda RM100.
Katanya, dia faham bahawa emosi dan perasaan manusia tidak diambil kira oleh undang-undang dan sistem keadilan. Sebaliknya, hanya logik dan praktikal yang menjadi penentu bagi sesebuah kes.
Oleh itu dia mempersoalkan sama ada denda maksimum RM100 yang dikenakan ke atas seseorang yang membuli sehingga membabitkan kematian logik dan praktikal sama sekali.
Dia turut membandingkan perkara tersebut dengan kesalahan-kesalahan lain yang membawa denda lebih tinggi berbanding RM100 seperti:
- Buang sampah di merata tempat (sehingga RM100,000 atau penjara)
- Tidak memakai tali pinggang keledar di dalam kenderaan (RM300)
- Melanggar lampu isyarat (sehingga RM2,000)
Bapa Shalini Raikan ‘Kemenangan’ Di Mahkamah
Tambah Arwind, dia tidak berasa kecewa dengan kerajaan, undang-undang atau sistem keadilan negara kerana ia bukanlah perkara yang mengejutkan.
Namun dia amat kecewa dengan gaya Shalini keluar dari mahkamah tanpa perasaan sesal atau bersalah atas kelakuannya, walaupun telah dijatuhkan hukuman. Dia berkata itulah perkara yang paling menyedihkan kerana wanita itu telah ‘menang’.
Katanya, lebih buruk lagi apabila ibu bapa tidak memahami kepentingan mendidik anaknya. Video yang tular menyaksikan bapa kepada Shalini meraikan saat itu serta turut meminta orang ramai mengambil gambar anaknya.
Malah, dia turut mempamerkan beg tangan jenama LV kepunyaan anaknya pada jurugambar. Arwind menyifatkan tindakan ini sebagai berani untuk tidak mengambil tahu dan mengakui tentang kesakitan yang disebabkan oleh anaknya.
Anda bukan sahaja (menyebabkan kesakitan) terhadap seorang individu, tetapi juga ke atas beribu-ribu rakyat Malaysia dan mungkin negara lain.
Pempengaruh, Arwind Kumar
Shalini Keluar Dari Mahkamah Dengan ‘Bergaya’
Dia mempersoalkan jika sistem keadilan menyedari bahawa keadaan itu seolah-olah satu jenaka bagi golongan seperti Shalini.
Arwind berkata ego yang dibawa oleh wanita itu adalah sangat membinasakan dan toksik sehingga dia tidak menyedari kesalahannya.
Shalini dilihat keluar dari mahkamah dengan melakukan catwalk, bersenyum sinis serta bergelak ketawa. Dia turut berkata kepada jurugambar di lokasi bahawa mereka boleh mengikutnya sehingga ke kereta.
Dalam videonya, Arwind turut menyebut nama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar berbuat sesuatu berkenaan isu ini.
Orang Ramai Kecewa Lihat Gaya Shalini
Ternyata bahawa ramai individu yang bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Arwind. Di ruangan komen, rata-rata pengguna TikTok sedih dan kecewa melihat gaya Shalini sewaktu keluar dari mahkamah.
Ada juga yang berkata wanita itu tidak akan berubah kerana sifat ayahnya sendiri yang seperti menyokong egonya.
Beberapa individu turut membandingkan jumlah denda yang dikenakan ke atas pelaku dengan diri mereka sendiri.
“Aku naik motor tak pakai cermin, ekzos terbuka, kena denda RM600,” kata seorang pengguna TikTok.








Nampak macam dia pun tengah tahan gelak sebab lawak kot kena denda RM100 je https://t.co/5ty8NzemFR
— 5M30W (@5M30W) July 17, 2024
Hukuman RM100 Dijatuhkan Berdasarkan Bukti
Media melaporkan Kementerian Komunikasi kini dalam usaha untuk menangani isu buli siber dengan lebih baik agar pihak yang terlibat boleh dibawa ke muka pengadilan dan dijatuhkan hukuman sewajarnya.
Menteri Fahmi Fadzil, dengan kerjasama Menteri Digital Gobind Singh Deo dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, turut mengkaji semula definisi buli siber dan hukuman yang bersesuaian.
Perkara tersebut dimaklumkannya ketika memberi komen mengenai kes buli siber oleh Shalini ke atas Esha.
Saya kecewa dengan denda yang rendah itu, tetapi difahamkan oleh Jabatan Peguam Negara bahawa hukuman itu dijatuhkan berdasarkan bukti yang dikemukakan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil
Buli Siber Dilaporkan Di Malaysia Paling Banyak Berlaku Di Facebook
Tahun lepas, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) telah merekodkan 3,199 aduan berkaitan buli siber dengan 93% (2,971) daripadanya telah diselesaikan.
Facebook dikenal pasti sebagai platform pertama terjadinya buli siber (1,401 aduan), diikuti dengan WhatsApp (667), Instagram (388), TikTok (258) dan X (159).
United Nations Children’s Fund (UNICEF) sebelum ini turut melaporkan Malaysia berada di kedudukan kedua di Asia bagi buli siber dalam kalangan golongan muda.
Pada 2022, seorang pempengaruh TikTok, Sashikala Nadarajah, telah menjadi mangsa buli siber sehingga mengambil nyawanya sendiri.
Baca Artikel Berkaitan: Benarkah Banyak Kes Buli Siber Berlaku di Malaysia?
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.