Wanita Jepun Hasilkan Tudung Dari Kimono, Dapat Idea Setelah Lihat Wanita Berhijab Di Malaysia
Setelah pulang dari Malaysia, wanita Jepun itu telah mengubah kimono kegemarannya menjadi tudung.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Tudung merupakan pakaian yang penting buat muslimah untuk memenuhi tuntutan syariah dalam menutupi aurat. Di Malaysia, terdapat pelbagai rekaan tudung yang dihasilkan oleh jenama tempatan antaranya Naelofar Hijab, Sugarscarf, duCKScarves, Tudung Ruffle dan Ariani.
Kita biasa melihat tudung dengan pelbagai motif tempatan seperti batik, bunga raya malah mercu tanda negara. Tetapi bagaimana pula tudung dengan corak motif budaya lain?
Dapat Idea Setelah Pertama Kali Lihat Wanita Berhijab
Seorang wanita di Jepun, Kaori-san, telah menghasilkan tudung yang diperbuat menggunakan kimono. Menarik sekali, idea tersebut timbul setelah dia pertama kali melihat wanita Muslim memakai tudung ketika berkunjung ke Kelantan lapan tahun lalu.
Dalam video dimuat naik di TikTok oleh Navito (@navito_halal), Kaori yang pada waktu itu seorang pelajar merasakan wanita berhijab sangat cantik dan telah mengubah kimono kegemarannya menjadi tudung setelah pulang ke Jepun.
Penghasilan KimonoXHijab itu pada mulanya dilakukan sepenuhnya oleh dia sendiri. Namun setelah permintaan meningkat, dia mendapatkan bantuan sekumpulan individu kurang upaya (OKU) yang berbangga kerana terlibat dengan penghasilan produk ‘Made in Japan’.
Ingin Papar Kecantikan Budaya Jepun & Islam
Mereka menghasilkan tudung tersebut dengan memotong kimono yang dijahitkan dengan kain bagi membentuk tudung berbentuk petak (square) ataupun panjang (shawl).
Namun mereka tidaklah menggunakan kimono yang tebal, sebaliknya yang bersifat nipis dan lembut serta mudah dibersihkan jika terkena peluh.
Kaori yang juga pengasas Xiaxia Hijab berkata penghasilan produk tersebut memaparkan kecantikan budaya Jepun menerusi kimono dengan Islam.
Saya ingin berkongsi dan menyampaikan mesej kepada dunia tentang kecantikan budaya Jepun (kimono) dan Islam.
Pengasas Xiaxia Hijab, Kaori-san
Di dalam video tersebut, mereka telah melawat kedainya yang terletak di Harajuku Tourist Information Center, Tokyo. Terdapat dua lagi kedai lain di bandar itu serta produk boleh didapatkan secara dalam talian.
@navito_halal 📍Location Harajuku Tourist Information Center @xiaxiahijab 【Address】 JAPAN 〒150-0001 Tokyo, Shibuya City, Jingumae, 1 Chome−19−11 はらじゅくアッシュビル1階 原宿ツーリストインフォメーションセンター内 【Operation hour】 MON, TUE, WED, THU, FRI, SAT, SUN 10AM – 6PM Follow for more information! #islam #kimono #hijab #harajuku #japan #tokyo ♬ Ghibli-style nostalgic waltz – MaSssuguMusic
Hanya 6 Tudung Dihasilkan Dari Satu Kimono
Membawa nama Xiaxia Hijab, pengasas jenama itu pada mulanya tertarik dengan tekstur lembut, kenipisan dan kecantikan lilitan tudung, yang mengingatkannya kepada kimono musim panas yang digelar ‘xia’.
Dalam perkongsian menerusi akaun TikTok Xiaxia Hijab (@xiaxiahijabjapan), difahamkan bahawa penghasilan semula tudung bercorak sama adalah sukar memandangkan tiada kimono yang sama. Menurutnya, hanya lima hingga enam tudung yang boleh dihasilkan daripada sepasang kimono.
Bagi corak popular, ramai pelanggan sering bertanya kepada kami bilakah ia akan dihasilkan semula.
Pengasas Xiaxia Hijab
Harga KimonoXHijab Mencecah Hampir RM600
Xiaxia Hijab walau bagaimanapun telah mendapatkan bantuan artis kimono dalam menghasilkan semula tudung dengan corak sama menerusi teknik tradisional mewarna Yuzen dan teknologi digital moden.
Tudung kimono yang dihasilkan menerusi teknik ini digelar sebagai KimonArt Hijab.
Menjenguk ke laman web Xiaxia Hijab, harga bagi tudung tersebut boleh mencecah sehingga ¥20,000 (RM592). Mungkin kedengaran mahal, namun bagi peminat budaya Jepun, ia tidaklah mengejutkan memandangkan kimono itu sendiri memang tinggi nilainya.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



