Keluarga Di Singapura Sanggup Tanggung Kos Rawatan Hampir RM244 Ribu Rawat Kanser Otak Pembantu Rumah
Bukan itu sahaja, mereka turut menaja perjalanan suami dan abang kepada pembantu rumah untuk datang ke Singapura dari Indonesia.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Sesetengah keluarga yang berkemampuan akan mengupah pembantu rumah bagi melakukan kerja-kerja di rumah.
Malang sekali, kita sering didedahkan dengan cerita yang negatif antara pembantu rumah dan majikan seperti kes dera, kecurian, melarikan diri dan macam-macam lagi.
Lain pula dengan sebuah keluarga di negara jiran yang melayan pembantu rumahnya seperti ahli keluarga mereka sendiri.
Baca Artikel Berkaitan: RM50K ‘Hangus’, Pembantu Rumah Disyaki Ceroboh Akaun Bank Majikan
Pembantu Rumah Didiagnosis Dengan Kanser Otak Di SGH
Amat menyentuh hati apabila sebuah keluarga di Singapura menyumbang kos rawatan sejumlah S$70,000 (RM243,582.36) bagi pembantu rumah mereka yang didiagnosis dengan kanser otak.
Majikan Chen Daimei berkata pembantu rumahnya, Purwati atau lebih mesra dipanggil Wati, telah bekerja bersama keluarganya kira-kira 13 tahun setelah datang dari Indonesia.
Kanser otak tersebut dapat dikesan, apabila pada hari pertama Tahun Baharu Cina (10 Februari), wanita berusia 50 tahun itu mengalami sakit kepala yang teruk sehingga tidak dapat berdiri tegak.
Chen berasa terkejut dengan kejadian itu kerana Wati sebelum itu sihat sahaja. Dia menghubungi suaminya dan bergegas membawa pembantu rumahnya itu ke Jabatan Kecemasan di Hospital Besar Singapura (SGH).
Keluarga Taja Lebih Separuh Kos Rawatan Kanser Otak
Doktor di hospital tersebut menemui tumor sebesar 2.9 cm jauh di dalam otak Wati yang menyebabkan dia harus menjalani kraniotomi keesokan harinya.
Selain itu, satu lagi pembedahan telah dilakukan, beserta rawatan elektroterapi dan kemoterapi bagi kanser tersebut.
Kos keseluruhan rawatan di SGH mencecah S$130,000 (RM452,382.76), namun sebanyak S$60,000 (RM208,792.04) dapat dituntut dari insurans.
Chen berkata, dia dan suaminya membuat keputusan untuk menaja baki S$70,000 (RM243,582.36) dari jumlah kos rawatan itu.
Bukan itu sahaja, keluarga yang penuh kasih sayang itu turut mengupah seorang pembantu rumah dari Myanmar untuk menjaga Wati dan membantu melakukan kerja rumah.
Chen Taja Abang & Suami Wati Untuk Melawatnya Di Singapura
Wati berkata dia amat bersyukur dengan kebaikan majikannya, lapor Shin Min.
Di samping itu, Chen telah menaja perjalanan abang dan suami Wati dari Indonesia bagi menjaganya selepas pembedahan pertama. Kedua-dua ahli keluarga Wati itu juga ditumpangkan di rumah Chen ketika di Singapura.
Malah, mereka ditaja kali kedua setelah pulang ke tanah air untuk melawat Wati sekali lagi di republik itu.

Chen Jadi Saksi Ketika Perkahwinan Wati Di Indonesia
Tambah Wati, Chen rapat dengannya dan dia melayannya boleh dikatakan seperti seorang anak.
Hubungan rapat antara pembantu rumah dan majikannya itu dapat dilihat apabila Chen telah bersama-sama Wati pulang ke kampung halamannya di Jawa Timur pada tahun 2012. Perkara itu dilakukan ketika Wati hendak berkahwin, sehingga Chen tinggal selama lima hari di sana serta menjadi saksi bagi majlis tersebut.
Kebaikan Chen tidak terhenti di sana. Wati dapat mengadakan ‘perkahwinan yang paling mewah di kampung halamannya’ melalui sumbangan dari Chen.
Chen Dapat Inspirasi Melihat Biarawati & Paderi Ketika Kecil
Chen berkata dia mengambil keputusan untuk membantu Wati mengikut keupayaannya dan merasakan ia hanyalah satu ‘kebaikan yang kecil’.
Tambahnya, dia mendapat inspirasi apabila melihat biarawati dan paderi meninggalkan rumah dan menghabiskan seluruh hidup mereka di negara luar yang miskin ketika zaman kanak-kanaknya.
Sehingga kini, saya amat terkesan dengan ingatan ini. Saya juga seorang Kristian dan berharap untuk menyebarkan kasih sayang dengan apa cara yang termampu.
Chen Daimei
Apabila ditanya mengapa dia menaja ahli keluarga sehingga dua kali untuk ke Singapura, Chen berkata dia percaya seorang pesakit paling memerlukan teman dan sokongan dari keluarganya.
“Ayah saya dahulu jatuh sakit di Taiwan, tetapi saya tidak dapat melawatnya akibat pandemik. Itu adalah sesuatu yang amat saya kesali, tidak dapat melawatnya secepat mungkin,” jelasnya.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.