Now Reading
Syed Saddiq Akui Kesilapan Dalam 113 Triathlon Desaru 2024, Status Perlumbaan Bertukar DNF

Syed Saddiq Akui Kesilapan Dalam 113 Triathlon Desaru 2024, Status Perlumbaan Bertukar DNF

Syed Saddiq sebelum ini telah memuat naik di akaun Instagram bahawa dia telah menamatkan perlumbaan tersebut dengan keseluruhan masa lima jam 44 minit dan mendapat tempat ketiga.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, tampil memohon maaf berkenaan keputusan perlumbaan 113 Triathlon Desaru 2024 yang meletakkannya di tempat ketiga sebelum ini.

Menerusi video dimuat naik di laman X, dia menjelaskan bahawa status perlumbaannya kini telah diubah menjadi DNF (did not finish) setelah perbincangan dengan pihak penganjur.


Syed Saddiq Telah Semak Dengan Kumpulan Teknikal Sewaktu Perlumbaan

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu menjelaskan bahawa dia ketika itu berasa pelik kerana telah menamatkan perlumbaan berbasikal lebih awal berbanding masa anggaran.

Isu tersebut kemudiannya dibawa kepada kumpulan teknikal pertama yang memaklumkan bahawa tiada sebarang masalah yang timbul dan dia boleh meneruskan perlumbaannya.

Tambahnya, data terkini yang lebih lengkap diterima menunjukkan bahawa dia telah melengkapkan tiga pusingan berbasikal dan melalui kesemua ‘checkpoint’. Namun dia telah melakukan kesalahan apabila pusingan pertama yang dilengkapkan ialah bagi kategori perlumbaan Olimpik.

“Pusingan kedua dan ketiga tiada masalah, menjelaskan mengapa ia bukan dua pusingan pada 60km, tetapi tiga pusingan pada 72km,” jelasnya.


Individu Dakwa Syed Saddiq Berada Di Belakangnya Ketika Acara Renang & Berbasikal

Dalam hantaran di Instagram yang kini telah dipadam, Syed Saddiq memaklumkan bahawa dia telah menamatkan perlumbaan 113 Triathlon Desaru 2024 dengan masa keseluruhan lima jam 44 minit.

Dia juga ketika itu telah menepis dakwaan seorang pengguna media sosial bahawa dia telah menamatkan laluan berbasikal sebanyak dua pusingan sahaja.

Individu tersebut yang turut menyertai perlumbaan itu, mendakwa Syed Saddiq berada di belakangnya ketika acara renang dan berbasikal tetapi tiba-tiba berada di hadapan dalam larian.

Tambahnya lagi, Syed Saddiq menamatkan laluan berbasikal ketika perlumbaan Ironman Desaru dengan jumlah masa tiga jam 31 minit, tetapi telah mengambil masa hanya dua jam 37 minit kini. Dia turut membandingkan perkata itu dengan catatan masa dua jam 31 minit oleh pengayuh basikal paling laju dari Sepanyol.


Tunggu Data Rasmi Sebelum Semak Silang Dengan Strava

Terdahulu, orang ramai telah menggesa wakil rakyat itu agar memaparkan data yang dicatatkan dalam aplikasi penjejakan larian dan berbasikal Strava.

Syed Saddiq telah memaparkan data Strava di dalam video di X yang menunjukkan dia menamatkan perlumbaan tersebut dalam masa lima jam 47 minit.

Katanya dia tidak berkongsi perkara itu pada awalnya kerana sesetengah data tidak tepat dan dia menunggu data rasmi.

“Sebagai contoh, Apple Watch menunjukkan saya hanya berenang sejauh 100m, sementara seperti dibuktikan menerusi perlumbaan, ia adalah 2.25km,” jelasnya.

Syed Saddiq berkata perkara tersebut merupakan kesilapan dari pihaknya. Walaupun telah memeriksa semula masalah itu ketika perlumbaan dan memaklumkan kepada kumpulan teknikal, namun dia berasa perlu lebih bertanggungjawab sebagai peserta.

Dia juga telah memohon maaf kepada komuniti triathlon atas kesilapan tersebut dan akan lebih berhati-hati pada masa hadapan.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd