Now Reading
Doktor Kongsi Info Herpes, Boleh Berjangkit Secara Oral Jika Kongsi Barangan Makeup!

Doktor Kongsi Info Herpes, Boleh Berjangkit Secara Oral Jika Kongsi Barangan Makeup!

Terdapat dua jenis virus Herpes Simpleks iaitu HSV-1 yang berlaku di bahagian mulut dan HSV-2 yang menyebabkan jangkitan pada alat sulit.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Baru-baru ini, media melaporkan kes jangkitan human immunodeficiency virus atau HIV dalam kalangan pelajar universiti semakin meningkat.

HIV merupakan salah satu daripada penyakit seksual atau STI/STD yang dijangkiti menerusi aktiviti seksual.

Selain daripada HIV, terdapat banyak lagi jangkitan seksual lain seperti herpes, klamidia, gonorea dan sifilis yang disebabkan oleh virus atau bakteria.


Doktor Jelaskan Tentang STI Herpes

Seorang pempengaruh yang juga doktor perubatan, Dr Aen Saari, telah menjelaskan mengenai jangkitan seksual menerusi video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya.

Katanya, STI berlaku melalui aktiviti seksual dan boleh terjadi sekiranya seseorang bertukar-tukar pasangan serta melakukan hubungan rawak dengan orang tidak dikenali tanpa menggunakan alat perlindungan seperti kondom.

Dr Aen berkata orang ramai perlu cakna mengenai jangkitan seksual memandangkan gejala sosial yang semakin meningkat. Tambahnya lagi, masalah STI perlu diberi rawatan dengan segera agar tidak memberi kesan terhadap kesihatan.

Baca Artikel Berkaitan: Boleh Ke Dapat Jangkitan HIV Dari Peralatan Di Salon Kuku?

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Khuatir Kes HIV Makin Tinggi, Doktor Minta Orang Ramai Hentikan Hubungan Sejenis


Herpes Boleh Dijangkiti Di Bahagian Alat Sulit Atau Mulut

Menerangkan lebih lanjut mengenai herpes, Dr Aen berkata terdapat dua jenis Virus Herpes Simpleks (HSV) iaitu HSV-1 dan HSV-2. HSV-1 atau herpes oral adalah jangkitan yang berlaku di bahagian mulut, manakala HSV-2 atau herpes alat kelamin akan menyebabkan jangkitan pada alat sulit.

Menurutnya, herpes oral kebiasannya tidak berlaku akibat aktiviti seksual, sebaliknya HSV-2 sudah tentu dijangkiti menerusi hubungan seksual.

Bercakap tentang simptom herpes, Dr Aen berkata individu yang dijangkiti akan terasa seperti demam sedikit pada awal jangkitan sebelum timbulnya ulser pada bahagian mulut (bibir, lidah, gusi dan lelangit) atau alat kelamin.

Ulser tersebut akan berasa sangat pedih antara satu hingga dua minggu. Tambahnya lagi, mereka yang dijangkiti virus itu buat kali pertama akan berasa lebih sakit dan mengambil masa yang lama untuk pulih.


Virus Herpes Akan Kekal Di Dalam Badan Selamanya

Seseorang yang dijangkiti penyakit ini akan mempunyai virus herpes di dalam badannya buat selama-lamanya. Ini bermakna mereka mungkin akan mengalami masalah ulser pada masa akan datang.

Namun begitu, Dr Aen berkata ia mungkin tidak terasa sakit seperti kali pertama. Pesakit juga diingatkan agar tidak melakukan hubungan seksual ketika mempunyai ulser kerana ia akan menjangkiti pasangan.

Bagaimana untuk pastikan sama ada anda dijangkiti virus herpes? Jelas Dr Aen, jika terdapat ulser pada kawasan kemaluan, segera ke klinik untuk melakukan ujian darah.

Walaupun virus herpes ada di dalam badan sepanjang hidup setelah dijangkiti, namun ia tidak melemahkan imun sistem dan memerlukan rawatan berpanjangan seperti HIV. Masalah herpes hanya menyebabkan ulser yang akan timbul semula selepas satu atau beberapa tahun kemudian.

“Sebenarnya ramai yang ada herpes tetapi dia tidak tahu kerana ia tidak aktif iaitu tidak menunjukkan sebarang gejala,” kata Dr Aen.


Kongsi Alat Make Up Boleh Sebabkan Jangkitan Virus Herpes Oral

Walaupun herpes sering dikatakan sebagai jangkitan seksual, namun herpes oral boleh terjadi menerusi perkongsian peralatan solek seperti gincu.

Perkara ini berlaku apabila terdapat rekahan pada bibir dan gincu dipakai setelah baru sahaja digunakan oleh pembawa virus herpes. Oleh itu, bersihkan dahulu gincu di kedai makeup sebelum memakainya.

Dr Aen menerangkan bahawa virus memerlukan hos untuk hidup dan tidak dapat bertahan lama pada permukaan. Virus herpes hanya dapat bertahan selama beberapa jam di luar hos. Namun, ia dapat hidup sehingga lapan minggu dalam keadaan yang kurang kelembapan dengan suhu yang berpatutan.

Sumber gambar: Pexels

Bayi Boleh Mendapat Jangkitan Herpes Dari Ibu

Selain itu, virus ini juga boleh dijangkiti daripada ibu kepada bayi dikenali sebagai ‘vertical transmission’. Jangkitan boleh terjadi ketika bayi dalam kandungan, sewaktu bersalin atau selepas dilahirkan.

Memetik Centers for Disease Control and Prevention (CDC), Dr Aen menjelaskan bahawa hampir mustahil bagi virus herpes dijangkiti menerusi tempat duduk tandas, kolam dan berkongsi perkakas makanan.

Sumber gambar: Pexels

Namun begitu, merujuk kepada Healthline, wujudnya risiko jangkitan jika berkongsi sesuatu yang telah terkena air liur mengandungi virus herpes terutamanya ketika timbulnya ulser.

Menjawab persoalan individu yang menyatakan bahawa dia serta suaminya tidak pernah mempunyai pasangan lain walaupun sebelum berkahwin dan masih dijangkiti herpes, Dr Aen berkata jangkitan itu mungkin didapati daripada ibu atau bapa.

Ibu bapa perlu ingat ya, herpes oral juga boleh dijangkiti menerusi kucupan. Oleh itu, jangan biarkan sesiapa yang menunjukkan simptom herpes oral mencium bayi anda walaupun pada pipi!

Sumber gambar: Pexels

Baca Artikel Berkaitan: Jangkitan Kuman Ketika Hamil Tingkatkan Risiko Anak Hidap Autisme – Pakar


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd