Tak Tahu Bila Waktu Tidur Sesuai Untuk Anak Anda? Ini Saranan Pakar Pediatrik
Waktu tidur yang mencukupi dan konsisten penting bagi kesihatan dan tumbesaran kanak-kanak.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Tidur penting bagi manusia agar dapat berehat setelah seharian bekerja dan melakukan tugasan.
Kajian mendapati manusia meluangkan sekitar satu pertiga masa hidupnya tidur atau cuba untuk tidur. Bagi orang dewasa, purata waktu tidur adalah sekitar tujuh hingga sembilan jam satu malam.
Namun, tahukah anda kanak-kanak memerlukan waktu tidur yang lebih lama berbanding orang dewasa, malah sehingga lebih separuh hari?
Waktu Tidur Kanak-Kanak Berbeza Mengikut Kategori Umur
Mungkin sesetengah ibu bapa masih keliru tentang waktu terbaik untuk menyuruh atau mengajak anak-anak tidur.
Menurut kaunselor pediatrik, Dr Nisa Khalil, waktu tidur anak-anak berbeza mengikut umur dan keperluan mereka. Dia telah berkongsi waktu tidur yang sesuai bagi anak-anak mengikut tahap umur.
Bagi kanak-kanak kecil yang berumur satu hingga tiga tahun, waktu tidur terbaik adalah antara 7 hingga 8 malam. Merujuk kepada WebMD kanak-kanak dalam kategori ini perlu jumlah tidur antara 11 hingga 14 jam sehari.
Kanak-kanak pra-sekolah berusia tiga hingga lima tahun pula disarankan tidur pada jam 8 malam. Mereka memerlukan jumlah tidur sekitar 11 hingga 13 jam sehari.

Kanak-kanak berumur enam hingga 12 tahun yang kebiasaannya telah mula bersekolah perlu tidur antara 8 hingga 9 malam. Pastikan mereka tidur 9 hingga 11 jam sehari.
Di samping itu, anak-anak yang telah menjejak usia remaja sehingga berumur 18 tahun perlu tidur antara jam 9 hingga 10 malam. Remaja memerlukan jumlah tidur antara 8 ke 10 jam sehari.
Tambah Dr Nisa, waktu tidur yang konsisten membantu kesihatan optimum, mood dan fungsi kognitif anak-anak.

Tips Untuk Mudahkan Waktu Tidur Anak-Anak
Dalam masa sama, Dr Nisa telah berkongsi beberapa tips bagi membantu ibu bapa memudahkan waktu tidur anak-anak.
- Amalkan aktiviti rutin sebelum tidur seperti membaca buku, mandi malah menari!
- Wujudkan jadual yang konsisten dengan waktu tidur dan bangun yang sama setiap hari, walaupun ketika hari cuti.
- Sediakan ruang yang sesuai untuk tidur atau ‘sleepy space‘ dengan menutup lampu dan mengurangkan sebarang bunyi bising. Lebih elok jika anak-anak mempunyai bilik tidurnya yang tersendiri. Boleh pasangkan lampu kecil jika mereka takut dengan gelap.
- Hadkan masa menonton skrin dan elakkan sekurang-kurangnya sejam sebelum waktu tidur. Sebaliknya, lakukan aktiviti lain seperti melukis dan bermain puzzle.
- Beri kudap-kudapan yang berkhasiat sebelum tidur seperti susu dan pisang. Jangan beri mereka makan terlalu banyak sewaktu ini kerana ia boleh mengganggu tidur.
Katanya, menetapkan waktu tidur yang sekata penting buat kesihatan kanak-kanak. Waktu tidur yang konsisten juga akan membantu dalam tumbesaran kanak-kanak.
Tak Cukup Tidur Akan Buat Anak Mudah Meragam
Kadangkala, anak-anak mungkin tidak mendapat tidur yang secukupnya pada waktu malam kerana tidak boleh tidur atau terlewat tidur. Ibu bapa perlu cakna dan kenal pasti tanda-tanda anak tidak cukup tidur iaitu:
- Tertidur di siang hari
- Bersifat hiperaktif terutamanya bagi kanak-kanak kecil
- Sukar menumpukan perhatian
- Sukar melakukan atau menyiapkan kerja sekolah
- Mudah meragam, cepat marah atau tiada mood
- Mempunyai masalah tingkah laku
Namun, jangan risau jika anak tidak mendapatkan jumlah waktu tidur yang disarankan pada waktu malam. Mereka boleh tidur siang bagi mendapatkan waktu tidur yang mencukupi.

Kanak-Kanak Dengan Tidur Yang Cukup Lebih Bagus Mengawal Emosi
Pakar tidur pediatrik, Dr Vaishal Shah, berkata tidur yang mencukupi penting agar kanak-kanak dapat berfungsi dengan baik. Di samping itu, kajian mendapati kanak-kanak dengan tidur yang mencukupi menunjukkan peningkatan dalam:
- Perhatian
- Tingkah laku
- Pembelajaran
- Ingatan
- Kawalan emosi
- Kesihatan mental
- Kesihatan fizikal
- Kualiti hidup secara umumnya

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Coach Fitness Perjelas Kenapa Tidur Lambat Tak Bagus Walau Sudah Cukup 8 Jam
Baca Artikel Berkaitan: Ini Tips Terbaik Buat Ibu Bapa Pilih Taska Terbaik Untuk Anak-Anak
Baca Artikel Berkaitan: Ini 5 Cara Latih Anak Untuk Tak Jadi ‘Picky Eater’. Ibu Ayah, Boleh Cuba!
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



