Now Reading
Aset RM471 Juta Dikaitkan Dengan 1MDB Akan Dikembalikan Oleh AS

Aset RM471 Juta Dikaitkan Dengan 1MDB Akan Dikembalikan Oleh AS

Jumlah tersebut merangkumi aset karya seni oleh Andy Warhol dan Claude Monet, apartmen mewah di Paris serta hartanah dan simpanan bank di Hong Kong, Switzerland dan Singapura.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Terkini, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) telah mencapai persetujuan dengan ahli perniagaan dalam pelarian, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, bagi memulangkan lebih AS$100 juta (RM471 juta) didakwa digelapkan daripada dana pembangunan pelaburan 1MDB.


Aset Merangkumi Karya Seni Andy Warhol & Claude Monet

Aset bernilai AS$35 juta (RM165 juta) akan dikembalikan menerusi pencairan karya seni oleh artis tersohor Andy Warhol, ‘Coloured Campbell’s Soup Can (Emerald Green), 1965’ dan Claude Monet, ‘Vetheuil au Soleil’, serta sebuah apartmen mewah yang terletak di Paris.

Di samping itu, ia juga merangkumi hartanah dan wang tunai disimpan dalam bank bernilai dengan jumlah sekitar AS$67 juta (RM315.7 juta) yang terletak di Hong Kong, Switzerland dan Singapura.

“Perjanjian itu menyelesaikan tindakan rampasan sivil terhadap sebuah apartmen mewah di Paris dan karya seni yang terletak di Switzerland oleh artis Andy Warhol dan Claude Monet, yang dibeli Low dengan jumlah keseluruhan kira-kira AS$35 juta (RM165 juta),” kata Jabatan Kehakiman AS.


AS Capai Perjanjian Persetujuan Dengan Low & Keluarga

Kesemua aset tersebut didakwa oleh pendakwa raya mempunyai kaitan dengan wang tunai yang diperoleh bagi dana 1MDB sejak tahun 2012 dan 2013.

AS berkata pihaknya akan menyelaraskan dengan negara asing bagi tujuan pemindahan aset yang dipegang di luar negara kembali ke Malaysia.

Ini merupakan sebahagian daripada perjanjian yang dicapai antara pihaknya dengan Low, keluarga serta entiti ditubuhkannya.

Perkara itu diumumkan semalam (26 Jun) setelah Hakim Daerah Los Angeles, Dale Fischer, mengesahkan perjanjian persetujuan dengan Low dan keluarganya pada 24 Jun.

Aset yang dilepaskan itu adalah tambahan kepada hampir AS$1 bilion (RM4.7 bilion), termasuk ‘superyacht’ bernilai AS$120 juta (RM566 juta) yang dilucuthakkan sebelum ini.


Jho Low Dipercayai Tinggal Di China

Untuk makluman, didakwa lebih AS$4.5 bilion (RM21.2 bilion) telah diseleweng daripada dana negara 1MDB yang membabitkan Low.

Pendakwa raya AS dan Malaysia mendakwa wang yang digelapkan itu digunakan oleh beberapa individu tertentu bagi pembelian aset seperti hartanah mewah, jet peribadi dan karya seni yang mahal.

Meskipun masih bebas dan tidak diketahui keberadaannya, Low dipercayai menetap di China.

Menurut kedutaan AS di Kuala Lumpur, sebanyak AS$1.4 bilion (RM6.6 bilion) telah dipulangkan kepada Malaysia setakat 14 Jun lalu.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd