Wanita Kongsi Pengalaman Positif GBS Ketika Hamil, Ini Yang Ibu Perlu Tahu
Wanita yang pernah dijangkiti bakteria itu semasa mengandung dahulu akan diisytiharkan sebagai positif GBS dalam kehamilan baharu.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Semasa hamil, seorang wanita mungkin akan terdedah kepada pelbagai risiko kesihatan seperti gestational diabetes mellitus (GDM), anemia dan lain-lain.
Satu lagi risiko yang dihadapi wanita ialah jangkitan bakteria Streptococcus kumpulan B (GBS), dengan satu dari empat mempunyai bakteria ini. Ketika hamil, GBS boleh menyebabkan jangkitan pada saluran kencing, uri, rahim dan air ketuban.
Walaupun tanpa sebarang simptom pada ibu, bayi boleh terkena jangkitan bakteria itu ketika proses pelahiran (labour) dan bersalin.
Wanita Kongsi Pengalaman Positif GBS Ketika Hamil
Seorang wanita (@iffa.rahman) berkongsi di akaun TikTok pengalaman dijangkiti bakteria GBS sewaktu kehamilan pertamanya.
Menurutnya, doktor memaklumkan bahawa bakteria ini boleh menyebabkan bayi meninggal dunia pra-matang atau selepas dilahirkan. Malah, jika bayi yang dilahirkan tertelan bakteria GBS, tumbesarannya akan menjadi tidak normal atau cacat.
Terdapat dua jenis jangkitan GBS pada bayi iaitu yang bermula awal (early-onset) dan bermula lewat (late-onset).
Jangkitan awal berlaku pada minggu pertama kelahiran dengan bayi menunjukkan simptom 24 jam selepas dilahirkan. Sebaliknya, jangkitan lewat berlaku beberapa minggu atau bulan selepas kelahiran.
Keputihan Kental & Banyak Ciri-Ciri Jangkitan GBS
Menurut Iffa, bakteria GBS akan hidup apabila rahim mengembang dan duduk di pintu rahim. Sebenarnya, bakteria ini secara semula jadinya ada di dalam bahagian tertentu tubuh badan seperti usus, saluran kencing dan saluran alat kelamin.
Kebiasaannya, bakteria ini dapat dikenal pasti melalui penghasilan keputihan yang banyak dan kental dalam ibu mengandung. Ujian sampel akan dijalankan terhadap cecair ini bagi mengenal pasti jika terdapat bakteria GBS.
Iffa berkata sebaik sahaja disahkan positif GBS, ibu akan diberi antibiotik bagi mengelakkan pintu rahim daripada terkena serangan bakteria ini. Pengambilan antibiotik akan mengurangkan penghasilan keputihan.
Wanita Hamil Positif GBS Perlu Diberi Antibiotik 4 Jam Sebelum Bersalin
Tambahnya lagi, wanita hamil yang positif GBS tidak boleh bersalin secara mengejut. Mereka perlu diberi dua botol antibiotik terlebih dahulu empat jam sebelum bersalin.
Perkara ini bertujuan untuk melindungi bayi daripada terkena jangkitan bakteria. Jika terdapat bakteria GBS yang lekat pada kulit atau termasuk mulut, bayi akan segera dibawa ke ICU.
Iffa juga mengingatkan orang ramai yang bersalin di hospital kerajaan agar sentiasa mengingatkan jururawat bertugas jika disahkan positif GBS. Katanya lagi, ibu perlu meminta antibiotik setelah terasa sakit bersalin dan serviks telah mencecah bukaan 3cm.
Ibu Hamil Berisiko Dijangkiti GBS Lagi Jika Mempunyai Sejarah Positif
Iffa turut berkongsi pengalamannya ketika menghamilkan anak kedua. Pada mulanya dia menyangkakan tidak dijangkiti GBS kerana tiada keputihan. Namun disebabkan sejarah positif GBS, doktor mengisytiharkannya sebagai mempunyai bakteria itu.
Dia tiba-tiba merasai kontraksi dengan bukaan 2cm ketika kandungan hanya berusia 33 minggu. Doktor kemudiannya menjalankan ujian air kencing dan mendapati bakteria GBS telah berkumpul di pintu rahim.
Dia terus diberikan antibiotik dan menghabiskan sisa tempoh kehamilannya dengan keadaan bukaan 2cm.
Untuk makluman, selain daripada jangkitan bakteria GBS, ibu mengandung juga boleh terkena jangkitan candida atau yis. Jangkitan ini walau bagaimanapun tidak dibuktikan berbahaya buat bayi dalam kandungan.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.