Now Reading
Teater ‘Najis Jadi Teman’ Sempena Ulang Tahun Ke-30 IWK, Penonton Jadi ‘Pekerja Baharu’ [Review]

Teater ‘Najis Jadi Teman’ Sempena Ulang Tahun Ke-30 IWK, Penonton Jadi ‘Pekerja Baharu’ [Review]

Kesemua hasil jualan tiket disalurkan kepada Yayasan Chow Kit (YCK), memberi penonton peluang untuk menyumbang kepada organisasi bukan kerajaan itu (NGO).

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Anda semua pasti tahu bahawa air kumbahan dari rumah akan dirawat di loji rawatan kumbahan. Namun, adakah anda tahu bahawa mereka yang bekerja di loji rawatan kumbahan mungkin terdedah kepada 3D (dangerous, dirty, difficult)?

Pada 21 dan 22 Jun lalu, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd telah menjalankan pementasan teater ‘Najis Jadi Teman’ sempena ulang tahunnya yang ke-30 dengan kerjasama Wayang Kitchen dan Yayasan Chow Kit (YCK).

Team TRP turut dijemput untuk menghadiri malam pembukaan pementasan tersebut yang turut dihadiri beberapa individu kenamaan iaitu Ketua Pegawai Eksekutif IWK Narendran Maniam, Pengerusi IWK Ahmad Johnie Zawawi, patron dan pemegang Amanah YCK Yang Amat Mulia Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tunku Muhriz, serta pengasas YCK Datuk Dr Hartini Zainudin.


Penonton ‘Lakonkan’ Watak Pekerja Baharu Di Hari Orientasi

Menerusi teater yang bersifat imersif itu, penonton didedahkan dengan sejarah, proses serta pekerjaan di loji pembentungan. Lebih menarik lagi apabila kami menjadi sebahagian daripada pementasan dan ‘berlakon’ sebagai pekerja di hari pertama orientasi IWK.

Sumber gambar: Sharifah/ TRP

Kami juga diberi topi keselamatan berwarna putih yang selalunya dipakai oleh jurutera dan tag nama dipercayai mewakili para pekerja sebenar di sana. Teruja betul dapat merasa jadi ‘jurutera’!

Mesti anda tahu bukan, sewaktu kewujudan sistem pempaipan dan loji rawatan kumbahan, terdapat individu yang ditugaskan bagi mengambil dan membuang najis di dalam baldi. Ketika pementasan, ada watak yang ‘menyimbah’ air kumbahan kepada penonton! Jangan risau, nasib baik baldi tersebut tiada isi.

Malah, kami mulai menghidu sesuatu yang kurang mengenakkan di tengah pementasan. Ketika itulah salah seorang pegurus loji meminta penonton untuk menghidu bunga rampai yang diberikan sebelum masuk ke dewan. Rupa-rupanya bau sebeginilah yang pekerja di loji rawatan perlu berdepan setiap hari.

Selain itu, kami turut didedahkan dengan proses yang terlibat dalam merawat bahan kumbahan iaitu penyaringan, pengudaraan dan pembasmian. Baru kami tahu bahawa ada tiga jenis bakteria yang akan ‘ditugaskan’ bagi merawat bahan kumbahan ini!


Jangan Buang Bahan Bukan Organik Dalam Sinki, Jamban Atau Longkang

Penceritaan teater tersebut juga turut dilakukan menerusi nyanyian oleh ketiga-tiga pelakon utama yang sungguh merdu. Rasa macam tengok teater ‘broadway’ pula.

Menerusi nyanyian muzik dan paparan video pada skrin, penonton didedahkan dengan risiko 3D (bahaya, kotor dan sukar) yang dihadapi para pekerja serta kepentingan rawatan kumbahan buat alam sekitar.

Untuk makluman, segala bahan kumbahan dari rumah (dapur dan bilik air) serta longkang akan dihantar ke loji rawatan kumbahan. Terdapat penapis yang akan mengasingkan bahan pepejal dengan air.

Jika anda membuang bahan bukan organik, ia boleh menyebabkan sekatan pada loji rawatan dan mendedahkan pekerja kepada air kumbahan yang bertakung.

Oleh itu, jangan buang sampah merata-rata di dalam longkang mahupun di dalam lubang jamban ya? Minyak masak juga tidak harus dibuang ke dalam sinki dapur kerana ia akan menyukarkan proses rawatan kumbahan.

Sumber gambar: Sharifah/ TRP

Teater Tampilkan 10 Kanak-Kanak Cilik Dari YCK

Teater arahan Razif Hashim itu menampilkan barisan pelakon hebat Atilia Haron, Phraveen Arikiah dan Alfred Loh sebagai pengurus loji serta 10 kanak-kanak cilik dari YCK sebagai rekrut kejuruteraan baharu.

Kesemua hasil jualan tiket disalurkan kepada YCK, memberi penonton peluang untuk menyumbang kepada organisasi bukan kerajaan itu (NGO) yang menawarkan makanan, aktiviti dan program pendidikan kepada kanak-kanak serta remaja berisiko.

Penonton juga berpeluang menyertai acara kuiz menerusi Kahoot! yang bertanyakan soalan berdasarkan maklumat dikongsi sepanjang pementasan. Kumpulan kami telah berjaya mendapat markah tertinggi dan pulang dengan sepaket sabun pencuci serbuk.

Para penonton juga diberi ‘sludgecake’. Ia bukan makanan ya! Tetapi adalah bahan yang dihasilkan daripada proses terakhir rawatan dan digunakan sebagai baja.

Sumber gambar: Sharifah/ TRP

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd