Now Reading
Isu Penswastaan MAHB, Adalah Wajar & Berhemat Untuk Tolak BlackRock – NGO Malaysia

Isu Penswastaan MAHB, Adalah Wajar & Berhemat Untuk Tolak BlackRock – NGO Malaysia

22 NGO tersebut dalam satu kenyataan bersama berkata, penting untuk kerajaan tidak membenarkan entiti yang terlibat dalam kekejaman di Palestin bertapak di Malaysia.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sebanyak 22 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menolak penglibatan BlackRock di dalam pemilikan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Gabungan NGO tersebut dalam satu kenyataan bersama berkata, penting untuk kerajaan tidak membenarkan entiti yang terlibat dalam kekejaman di Palestin bertapak di Malaysia.

Tegas mereka, ini bagi mengekalkan konsistensi pendirian dan tindakan perdana menteri dan Malaysia terhadap situasi yang berlaku di Palestin.

“Umum mengetahui bahawa BlackRock telah dikenal pasti terlibat dalam pelanggaran hak asasi manusia yang berterusan di Gaza. Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam satu kenyataan bertarikh 20 Jun 2024, secara jelas menamakan BlackRock sebagai institusi kewangan yang melabur dalam syarikat-syarikat pengeluar senjata yang membekalkan senjata kepada Israel.

“Menurut kenyataan tersebut, kegagalan BlackRock untuk memutuskan hubungan dengan pengeluar-pengeluar senjata tersebut bermakna BlackRock terbabit secara langsung dalam kesalahan pelanggaran hak asasi manusia di Gaza.”

Malaysia harus ambil kira seruan PBB

Gabungan NGO yang terdiri daripada Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) Malaysia, MAPIM, Palestinian Progressive Association Malaysia (PPA-M) dan banyak lagi turut berkata, Malaysia sebagai negara anggota PBB harus mengambil kira seruan PBB.

“Tersirat dalam kenyataan PBB ialah kewajipan bagi negara anggota untuk memberikan tekanan, dengan apa-apa cara yang ada, kepada pihak yang terlibat dalam atau membolehkan jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, agar menghentikan tindakan mereka serta-merta,” kata kenyataan itu lagi.

22 NGO yang mengeluarkan kenyataan bersama itu adalah:

  1. BDS Malaysia
  2. Palestinian Progressive Association Malaysia PPA-M.
  3. KDMRS Muslim
  4. Allied Coordinating Council of Islamic NGOs Malaysia (ACCIN)
  5. Pertubuhan Kembara Kesukarelawanan Malaysia
  6. Centhra Malaysia
  7. Friends of Palestine (FoP)
  8. Quds Foundation Malaysia (QFM)
  9. Persatuan Academia IKRAM Malaysia
  10. Persatuan Cakna Palestin Malaysia
  11. SEJAGAT
  12. Muslim Care Malaysia
  13. Palestinian Forum Malaysia
  14. HALUAN
  15. Pertubuhan Agenda Wanita Malaysia (AGENDA)
  16. ⁠Viva Palestina Malaysia
  17. Muslim Volunteer Malaysia
  18. Yayasan Amal Malaysia
  19. Persatuan Cinta Gaza Malaysia
  20. Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia cawangan Malaysia (KUMS)
  21. IKRAM
  22. MAPIM

Tegas mereka apa yang berlaku di Gaza ketika ini adalah satu pembunuhan beramai-ramai atas dasar perkauman dan bermotifkan penjajahan.

“Untuk menghentikan kekejaman ini, semua pihak yang bencikan kezaliman mesti bertindak secara kolektif untuk menyekat entiti Zionis ini dari terus melakukan jenayah kemanusiaan terhadap warga Palestin.

“Salah satu cara yang boleh dilakukan ialah dengan tidak mengadakan sebarang kerjasama atau melabur dalam entiti yang terlibat dalam jenayah Israel. Ini sepatutnya menjadi asas yang jelas kepada keputusan untuk tidak membenarkan BlackRock terlibat dalam MAHB, iaitu sebuah aset negara kita yang strategik.”

Ada jaminan yang BlackRock tidak campur tangan? – BDS

Dalam pada itu, Pengerusi BDS Malaysia, Prof Dr Mohd Nazari Ismail turut menyoal sama ada terdapat sebarang jaminan yang BlackRock tidak akan campur tangan dalam penstrukturan semula MAHB selepas memiliki 25% saham MAHB.

“Sekarang memang dia (BlackRock) tak terbabit sebab belum ada pemilikan. Akan datang bila dah milik 25% ada ke jaminan mereka tidak mahu campur tangan?”

“Lebih penting lagi, soalan yang sudah kami ajukan berulang kali mengapa kamu mahu menjemput sebuah pertubuhan pro Zionis yang bersubahat membunuh 37,000 rakyat Palestin untuk memegang kepentingan dalam syarikat Malaysia?”.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas laporan media yang memetik kenyataan Global Infrastructure Partners (GIP) bahawa BlackRock tidak pernah sama sekali terlibat dalam sebarang transaksi berhubung penstrukturan semula kepentingan MAHB.

Siapakah BlackRock?

Sebagai info BlackRock adalah syarikat kewangan dan syarikat pengurusan pelaburan global terbesar di dunia yang berpusat di New York, Amerika Syarikat.

Ia membantu menguruskan aset pelaburan milik individu, institusi dan kerajaan-kerajaan antaranya saham bon dan hartanah.

Memetik laporan media tempatan, pelaburan BlackRock di negara ini bukanlah baharu, malah ia sudah melabur di Malaysia sejak berpuluh-puluh tahun lalu terutamanya dalam pasaran ekuiti dan bon syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat korporat.

Nama syarikat pelaburan antarabangsa itu mula menjadi sebutan selepas media melaporkan pembabitan GIP dalam Gateway Development Alliance (GDA), sebuah konsortium yang mengumumkan tawaran bagi mengambil alih Malaysia Airport Holding Bhd (MAHB) pada 15 Mei lalu.

Ini menimbulkan kritikan orang ramai memandangkan GIP sedang dalam proses untuk diambil alih oleh BlackRock dengan transaksi tersebut dijangka dimuktamadkan pada suku ketiga 2024.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitterThreads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd