Now Reading
Harga Servis Vet Swasta Mahal Kerana Tidak Dikawal Oleh Kerajaan

Harga Servis Vet Swasta Mahal Kerana Tidak Dikawal Oleh Kerajaan

Antara perkara yang menyebabkan harga servis klinik veterinar swasta tinggi ialah saingan bagi mendapatkan graduan veterinar dan harga ubat dari luar negara mahal.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Bagi pencinta haiwan peliharaan, pasti menjadi rutin tahunan untuk membawa mereka ke klinik veterinar bagi tujuan pemeriksaan kesihatan dan suntikan vaksin.

Walaupun Malaysia mempunyai klinik haiwan kerajaan, tetapi sering kali pelanggan harus menunggu lama untuk mendapatkan servis kerana bilangan orang yang ramai. Malah, haiwan tidak boleh dibawa ke sana dalam kes kecemasan kerana perlu melakukan temujanji terlebih dahulu.

Baca Artikel Berkaitan: “Kenapa Tak Bawa Ke Vet Kerajaan?” – Individu Dedah Pengalaman Bawa Haiwan Ke Vet Kerajaan

Perkara ini menyebabkan pencinta haiwan tidak mempunyai pilihan lain selain membawa anak-anak bulus mereka ke klinik haiwan swasta.

Namun begitu, pelanggan membuat aduan bahawa harga vet tersebut terlalu mahal. Malah, mereka mempersoalkan perbezaan kos yang ketara antara satu klinik dengan yang lain.


Harga Vet Tidak Dikawal Kerajaan

Tidak seperti Perintah Kemudahan Dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Pindaan) 2013, yang mengawal harga rawatan perubatan, tiada undang-undang kawalan harga bagi servis vet.

Oleh itu, pelanggan mendakwa sesetengah doktor haiwan yang memiliki dan menguruskan klinik veterinar kecil (bagi kucing, anjing dan lain-lain yang bukan haiwan liar, unggas atau ternakan) meletakkan caj yang tidak masuk akal.

Apabila dihubungi oleh media The Star, seorang ketua unit di Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) memaklumkan bahawa jabatan tersebut tidak mempunyai kuasa untuk mengawal harga perkhidmatan veterinar. Ini kerana tiada sebarang undang-undang berkenaan perkara ini.

“Kami hanya boleh mengawal harga jika undang-undang diluluskan. Tanpa sebarang undang-undang, kami tidak boleh masuk campur dalam operasi klinik veterinar swasta.

“Dan jika kami mengawal klinik serta harganya, kami perlu melakukannya menerusi Majlis Veterinar Malaysia (MVC) yang belum bersedia untuk menggalas tugasan itu,” katanya.

Sumber gambar: Unsplash

Tiada Undang-Undang Kerana Industri Vet Masih Baru

Menurut bekas Timbalan Pengarah Kanan DVS, Dr Saravanakumar S Pillai, undang-undang berkenaan harga perkhidmatan veterinar masih belum digubal kerana industri tersebut masih baru.

Klinik veterinar baru banyak dibuka dengan doktor haiwan mulai merawat pelbagai kesakitan dan penyakit. Sebelum itu, ia hanya menyediakan servis rawatan minor seperti pengembirian (kasi) dan suntikan vaksin.

Bekas Timbalan Pengarah Kanan DVS, Dr Saravanakumar S Pillai.

Kini bersama Humane Society International, Dr Saravanakumar, berkata haiwan peliharaan pada masa ini merupakan sebahagian daripada keluarga. Oleh itu, pemiliknya akan berusaha sedaya upaya bagi merawat mereka.

Sumber gambar: Unsplash

Doktor Haiwan Mula Merawat Penyakit Lebih Serius

Tambahnya, permintaan agar haiwan peliharaan yang sakit terus hidup selama mungkin telah menyebabkan klinik veterinar mendapatkan peralatan diagnostik yang canggih.

Doktor veterinar kini merawat penyakit yang tidak pernah dilakukan sebelum ini seperti kanser, diabetes, masalah buah pinggang dan hati, penyakit jantung dan lain-lain.

Bekas Timbalan Pengarah Kanan DVS, Dr Saravanakumar S Pillai.

Menurutnya, terdapat juga doktor haiwan yang melakukan pembedahan tulang belakang dan lain-lain ortopedik.

Sumber gambar: Unsplash

Saingan Untuk Dapatkan Graduan Veterinar & Harga Ubat Tingkatkan Kos

Dr Saravanakumar berkata klinik veterinar perlu menjana pendapatan untuk menampung gaji pekerja serta sewa dan bil utiliti yang tinggi, lapor The Star.

Di samping itu, terdapat permintaan yang tinggi bagi graduan veterinar oleh DVS, klinik haiwan, industri makanan haiwan, pengilang vaksin haiwan dan ladang besar. Oleh yang demikian, mereka harus menawarkan gaji yang kompetitif.

Harga tinggi klinik vet swasta juga berlaku disebabkan oleh nilai Ringgit yang rendah, lebih-lebih lagi apabila ubat-ubatan dibeli dari luar negara.

“Banyak ubat yang diperlukan untuk merawat haiwan tiada atau tidak didaftarkan di sini. Ubat generik juga tiada di Malaysia. Jadi kami tiada pilihan lain selain memesan daripada Singapura,” kata seorang veterinar yang tidak mahu dikenali.

Tambahnya lagi, kos pengangkutan juga boleh mencecah RM522 untuk membawa ubat-ubatan dari Singapura ke dalam negara.


Pengilang Ubat Haiwan Enggan Ikut Syarat NPRA

Dia berkata bahawa syarikat pembuat ubat haiwan tidak berminat untuk mendaftarkan produk mereka di Malaysia kerana syarat-syarat yang ditetapkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Mereka merasakan tidak berbaloi mengikut syarat tersebut seperti menggunakan label dalam Bahasa Melayu serta meletakkan label keselamatan hologram, kerana pasaran kita terlalu kecil bagi mereka,” katanya.

Menurut Presiden Malaysian Small Animal Veterinary Association (MSAVA), Dr Tan Check Nam, sebab utama harga yang berbeza antara klinik ialah kerana standard servis berlainan yang ditawarkan.

Sesetengah klinik mempunyai kelengkapan secukupnya dan doktor berusaha sepenuhnya untuk mendiagnosis haiwan, sebaliknya terdapat juga yang tiada peralatan dan diuruskan oleh seorang individu sahaja.

Presiden MSAVA, Dr Tan Check Nam.
Sumber gambar: Unsplash

MSAVA Sediakan Garis Panduan Harga Buat Ahli

Menurut ahli majlis eksekutif MSAVA dan veterinar veteran, Datuk Dr Vellayan Subramaniam, pihaknya telah menghasilkan garis panduan harga beberapa tahun lepas.

“Kami kini sedang melihat semula dan mengubah suai garis panduan harga bagi ahli-ahli kami,” katanya.

Namun begitu, dia memaklumkan bahawa perkara itu tidak dapat banyak membantu memandangkan bukan semua klinik haiwan merupakan ahli MSAVA.

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Kucing Boleh Kena Sawan Jika Pakai Ubat Kutu Botol Hijau – Klinik Veterinar

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Ini Rupanya Cara Untuk Hilangkan Gam Pada Bulu Kucing. Take Note!


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd