Now Reading
Budak Perempuan 7 Tahun Diumpan Masuk Grup WhatsApp Pedofilia Menerusi ‘Online Game’

Budak Perempuan 7 Tahun Diumpan Masuk Grup WhatsApp Pedofilia Menerusi ‘Online Game’

Menurut ibu bapa kepada kanak-kanak tersebut, dia secara tidak sengaja menekan link jemputan yang secara automatik membawanya masuk ke grup berkenaan sewaktu sedang bermain game.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Bermain permainan dalam talian merupakan perkara biasa yang dilakukan oleh kanak-kanak bagi mengisi masa lapang.

Namun bagi seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun, tidak menyangka perkara itu akan menyebabkan dia terdedah dengan perkara yang tidak senonoh.

Berdasarkan satu hantaran di Reddit, pengguna ‘SoFarSoFail’ menceritakan pengalaman pahit apabila anak perempuannya secara tidak sengaja menekan link jemputan yang secara automatik membawanya masuk ke satu grup WhatsApp dipercayai dari negara jiran sewaktu bermain game.

Amat mengejutkan apabila ia bukanlah satu kumpulan biasa.


Grup WhatsApp Sasar Kanak-Kanak Bagi Tujuan Pedofilia

Ibu bapa kanak-kanak tersebut tidak lama kemudiannya mendapat tahu bahawa kumpulan itu dipenuhi dengan kandungan yang tidak senonoh dan bersifat pedofilia serta menjadikan kanak-kanak sebagai sasaran.

Mereka menghantar gambar yang tidak senonoh kepadanya dan cuba menggoda dia. Ia berlaku dengan cepat dan saya tidak menyedarinya hanyalah sehingga setengah jam kemudian.

Pengguna Reddit, SoFarSoFail

Tidak berhenti di situ sahaja, mereka menjadi lebih terkejut sebaik mengetahui terdapat ramai lagi kanak-kanak yang turut menjadi sasaran di dalam grup yang penuh dengan kandungan tidak senonoh itu.

Bertekad untuk mengambil tindakan dan mengelak perkara ini daripada terjadi kepada orang lain, keluarga itu tidak serta-merta mengeluarkan anak mereka daripada kumpulan itu.

Sebaliknya, mereka mendapatkan sokongan dari komuniti dalam talian serta nasihat bagi membawa pelaku ke muka keadilan dan mencegah kanak-kanak suci lain daripada menjadi mangsa.


Orang Ramai Sokong Keluarga Laporkan Kepada Pihak Berkuasa

Insiden tersebut telah mencetuskan kemarahan dan kerisauan masyarakat, dengan ramai yang meminta keluarga tersebut agar menghubungi pihak berkuasa dengan segera.

“Saya harap anda dapat menghubungi pihak polis. Syaitan-syaitan ini patut dipenjara seumur hidup,” kata seorang pengguna.

Beberapa individu lain berkongsi pandangan untuk menyimpan bukti dengan cara mengambil tangkap layar skrin, menyimpan kesemua maklumat berkaitan sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa, dan melaporkan kes tersebut kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

Kisah keluarga ini menjadi peringatan agar kita semua sentiasa berjaga-jaga, bersuara menentang kekejian itu, dan bekerjasama bagi mewujudkan persekitaran dalam talian yang selamat buat anak-anak.


Ibu Bapa Perlu Waspada Dengan Akses Dalam Talian Anak-Anak

Insiden ini merupakan satu peringatan keras buat ibu bapa agar sentiasa memerhatikan akses anak-anak terhadap WhatsApp dan lain-lain aplikasi telefon pintar. Suka atau tidak, kesemua kemudahan teknologi komunikasi ini boleh mendedahkan mereka kepada bahaya dan pemangsa jahat.

Tiada kanak-kanak yang patut melalui apa yang dialami mangsa. Malah, masyarakat harus memastikan bahawa keadilan ditegakkan dan tiada lagi kanak-kanak yang menjadi mangsa kekejian pemangsa dalam talian.

Kita bertanggungjawab terhadap anak-anak, kemurnian serta masa hadapan mereka untuk memperjuangkan dunia di mana mereka boleh meneroka, belajar dan membesar dalam talian tanpa kerisauan menjadi mangsa.


Kes Pedofilia Bukan Masalah Terpencil Dalam Negara

Kes ini walau bagaimanapun bukanlah merupakan sesuatu yang terpencil memandangkan telah terdapat beberapa kali sebelum ini ketika mana kanak-kanak menjadi mangsa dalam talian.

Dalam satu kes baru-baru ini, beberapa orang saksi termasuk murid-murid dan para guru dari sebuah sekolah di Kota Bharu, Kelantan, telah dipanggil bagi membantu siasatan ke atas dakwaan seorang pendidik terbabit dengan aktiviti pedofilia menerusi WhatsApp.

Amat menyedihkan kerana kes sedemikian menunjukkan bahawa kanak-kanak terdedah kepada ancaman eksploitasi walaupun dari orang yang dipercayai seperti guru, yang sepatutnya memelihara dan menjaga mereka.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd