Now Reading
[Video] Darah Haid Terlalu Banyak, Mungkin Ada Fibroid Yang Boleh Sukarkan Kehamilan

[Video] Darah Haid Terlalu Banyak, Mungkin Ada Fibroid Yang Boleh Sukarkan Kehamilan

Antara perkara yang menyebabkan darah haid keluar terlalu banyak ialah ketumbuhan fibroid, sista ovari dan kanser.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Haid merupakan kitaran semula jadi yang akan dilalui oleh para wanita setiap bulan.

Kebiasannya haid berlangsung antara dua hingga tujuh hari dengan jumlah purata 30 hingga 60 mililiter bagi satu kitaran.

Namun jika haid yang keluar terlalu banyak dan berpanjangan (menoragia), ini bermakna anda mungkin mengalami masalah di bahagian rahim.

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Period 2 Hari Normal Atau Tidak? Ini Penjelasannya


Fibroid Mungkin Punca Darah Haid Terlalu Banyak

Seorang pempengaruh yang juga doktor perubatan, Dr Aen Saari, berkata salah satu punca darah haid banyak mungkin kerana terdapat fibroid di dalam rahim.

Katanya, fibroid merupakan suatu ketumbuhan di rahim tetapi bukanlah sejenis kanser. Berbeza dengan sista ovari yang dipenuhi dengan air, fibroid sebaliknya mengandungi tisu di dalamnya.

Menurut National Health Services United Kingdom (NHS UK), fibroid adalah masalah yang biasa dan dialami oleh dua per tiga wanita. Ia biasanya terjadi pada wanita berusia 30 hingga 50 tahun.

Masalah ini dipercayai berlaku lebih banyak dalam kalangan wanita dengan berat badan berlebihan atau obes kerana keadaan itu meningkatkan tahap estrogen dalam badan. Sebaliknya, wanita yang telah melahirkan bayi mempunyai risiko rendah mengalami fibroid.

Sumber gambar: Healthdirect

Simptom Fibroid Berkurang Selepas Menopaus

Dr Aen menjelaskan bahawa wanita dengan masalah fibroid akan mempunyai perut yang lebih besar di bahagian ari-ari, haid yang lebih lama, dan darah haid banyak.

Malah, mereka turut mengalami senggugut ketika haid dan mungkin juga terdapat pendarahan pada tempoh bukan haid.

Baca Artikel Berkaitan: Adakah Senggugut Atau ‘Period Pain’ Yang Teruk Ketika Haid Merupakan Perkara Biasa?

Simptom lain termasuk rasa sakit atau tekanan pada bahagian pelvis atau belakang, hubungan kelamin yang menyakitkan, kerap buang air kecil dan sembelit. Kesemua simptom ini biasanya akan berkurangan setelah wanita menopaus.

Tambahnya, ketumbuhan ini terjadi disebabkan oleh ketidakseimbangan hormon serta faktor lain seperti pemakanan.

Berdasarkan laman web Healthdirect, punca sebenar ketumbuhan fibroid tidak dikenal pasti tetapi dapat dikaitkan dengan hormon estrogen dan progesteron.

Ia kebiasaannya muncul ketika tahun pembiakan seorang wanita dan berkemungkinan akan mengecut selepas menopaus.


Fibroid Boleh Sukarkan Kehamilan

Dr Aen berkata fibroid boleh menjadi salah satu punca yang menyebabkan seorang wanita itu sukar untuk hamil kerana perubahan pada struktur mekanikal rahim.

Ini terjadi apabila telur (ovum) yang telah disenyawakan tidak dapat atau sukar melekat pada dinding rahim kerana dihalang oleh ketumbuhan tersebut.

Namun Dr Aen meyakinkan bahawa terdapat juga wanita yang mengalami masalah ini dan telah mengandung. Kerana itulah terdapatnya kes fibroid di dalam rahim walaupun ketika seorang wanita sedang hamil.

Sumber gambar: Unsplash

Untuk merawat fibroid, dia menjelaskan bahawa ketumbuhan akan diawasi menerusi imbasan. Jika ketumbuhan terlalu besar atau mendatangkan komplikasi serius terhadap wanita, ia akan dibuang melalui pembedahan.

Di samping itu, doktor juga akan memberi ubat untuk mengurangkan haid yang terlalu banyak agar wanita tidak mengalami masalah anemia.


Banyak Faktor Lain Yang Boleh Sebabkan Menoragia

Selain fibroid, terdapat beberapa lagi faktor lain yang boleh menyebabkan menoragia. Dr Aen menyenaraikan beberapa punca iaitu:

  1. Sista ovari
  2. Ketumbuhan polip
  3. Adenomiosis (ketumbuhan tisu endometrium di luar dinding rahim)
  4. Penggunaan alat perancang kehamilan IUD
  5. Kanser rahim atau pangkal rahim

Dr Aen berkata bagi wanita yang telah berusia atau menopaus, para doktor akan cuba untuk mengecualikan kanser terlebih dahulu. Perkara ini boleh dilakukan dengan memeriksa dinding rahim atau melakukan prosedur pap smear.

Katanya lagi, mereka yang mengalami masalah haid terlampau banyak atau berpanjangan boleh mengenal pasti keadaan ini berdasarkan kekerapan menukar tuala wanita.

Wanita juga mungkin merasa pening disebabkan telah kekurangan sel darah merah atau mengalami anemia.

Di akhir videonya, Dr Aen telah menasihati para wanita yang aktif secara seksual agar menjalani ujian pap semar setiap tahun.

Baca Artikel Berkaitan: Ini 5 Jenis Makanan Anda Boleh Ambil Untuk Kecutkan Cyst


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd