Now Reading
Wanita Ini Kongsi 6 Mitos Masalah Kesihatan Mental & Fakta Sebenar

Wanita Ini Kongsi 6 Mitos Masalah Kesihatan Mental & Fakta Sebenar

Antara mitos yang sering dikaitkan dengan kesihatan mental adalah mereka yang mengalami masalah itu pemalas, tidak menggunakan media sosial dan sentiasa bersedih.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Jika dahulu topik kesihatan mental seolah-olah merupakan satu tabu (taboo) dalam kalangan masyarakat. Walau bagaimanapun, orang ramai kini sudah semakin cakna dan terbuka dalam isu tersebut.

Lebih ramai mereka yang mengalami masalah kesihatan mental berani mendapatkan pertolongan. Pun begitu, masih terdapat banyak salah faham atau mitos yang wujud menyelubungi masalah kesihatan mental.


Lebih 200 Masalah Kesihatan Mental Berbeza

Seorang penyokong kesihatan mental yang dikenali sebagai Edd (@eddthinksdesign) telah berkongsi enam mitos yang sering dikaitkan dengan kesihatan mental di laman X.

Dia turut menjelaskan fakta sebenar berkaitan mitos tersebut.

Katanya terdapat lebih 200 masalah kesihatan mental yang berbeza dengan pelbagai simptom dan tingkah laku. Menurut Cleveland Clinic, gangguan kesihatan mental yang biasa berlaku ialah:

  • Keresahan
  • Gangguan Hiperaktif Defisit Perhatian (ADHD)
  • Kemurungan, bipolar dan lain-lain masalah mood
  • Kecelaruan makan
  • Gangguan Obsesif Kompulsif (OCD)
  • Kecelaruan Stres Pascatrauma (PTSD)
  • Skizofrenia
  • Kecelaruan personaliti termasuk antisosial dan kecelaruan personaliti pinggiran (BPD)

6 Mitos & Fakta Sebenar Masalah Kesihatan Mental

Berikut merupakan enam mitos dan fakta sebenar berkenaan masalah kesihatan mental yang dikongsikan olehnya:

#1. Pesakit Mental Tidak Menggunakan Media Sosial

Seperti individu lain, mereka yang mempunyai isu kesihatan mental tetap menggunakan media sosial. Edd berkata aplikasi TikTok menghiburkan buat pengguna, manakala banyak perkongsian maklumat dimuat naik di laman X.

Hanya kerana mengalami masalah kesihatan mental, ia tidak bermakna mereka tidak mengikuti perkembangan semasa.

Sumber gambar: Pexels.
#2. Individu Kemurungan Hanya Akan Terperuk Di Bilik

Kemurungan merupakan salah satu masalah kesihatan mental yang kerap terjadi. Mereka yang mengalami gangguan ini akan berasa murung serta tidak lagi berasa gembira atau berminat untuk melakukan sebarang aktiviti bagi tempoh masa lama.

Namun, ini tidak bermakna mereka tidak akan keluar dari bilik atau rumah sama sekali. Mereka yang mengalami kemurungan masih perlu keluar dan bergaul dengan orang ramai seperti di sekolah, tempat kerja malah sewaktu membeli barangan.

Akan tetapi masalah kemurungan boleh menimbulkan masalah di sekolah dan di tempat kerja disebabkan oleh perubahan tingkah laku pesakit.

#3. Individu Kemurungan Sentiasa Bersedih

Walaupun individu dengan kemurungan mungkin bersedih bagi jangka masa panjang, namun ia bukanlah satu-satunya perasaan yang dialami. Edd berkata kesedihan hanyalah sebahagian daripada kemurungan.

Sebaliknya, individu tersebut akan gagal untuk berfungsi dengan normal.

Antara simptom lain adalah masalah berat badan, rasa marah, sakit badan, sukar memberi fokus, masalah tidur dan tiada tenaga untuk melakukan sesuatu.

Sumber gambar: Pexels.
#4. Kanak-Kanak Tidak Mengalami Masalah Kesihatan Mental

Mungkin ada yang menganggap kemurungan hanya boleh menyerang orang dewasa disebabkan oleh pengalaman hidup mereka. Namun sebenarnya kanak-kanak juga boleh mengalami masalah kesihatan mental ini.

Menurut Edd, separuh daripada tanda-tanda masalah kesihatan mental dialami di usia 14 tahun.

Di Malaysia, satu per 20 kanak-kanak antara 5 hingga 9 tahun mengalami gangguan mental dengan 424,000 disahkan mengalami masalah itu.

#5. Individu Alami Masalah Kesihatan Mental Pemalas

Pasti anda biasa mendengar orang berkata pesakit kesihatan mental, terutamanya kemurungan, pemalas dan tidak berusaha untuk memperbaiki diri mereka.

Namun begitu, masalah kesihatan tiada kaitan dengan kemalasan atau kelemahan. Terdapat banyak faktor yang mempengaruhi perkara ini seperti tiada motivasi.

Ahli psikologi Ernesto N Lira de la Rosa berkata terdapat banyak simptom kemurungan yang sering dicerminkan dengan kemalasan seperti tidak lagi berminat dengan perkara yang disukai sebelum ini, kurang tenaga dan motivasi, kesukaran untuk fokus serta kesukaran memulakan dan menyiapkan tugasan.

Sumber gambar: Pexels.
#6. Pesakit Mental Tak Seharusnya Makan Ubat Psikiatri

Apabila bercakap soal kesakitan mental, masih ada individu yang percaya bahawa pesakit tidak sepatutnya memakan ubat psikiatri kerana ia akan menjadikan mereka bergantung kepada ubat.

Edd berkata tujuan ubat-ubatan tersebut diberikan ialah bagi mengawal simptom gangguan mental seperti kegelisahan dan psikosis serta membantu meningkatkan tumpuan.

Tambahnya lagi, pengambilan ubat-ubatan psikiatri akan membantu pesakit untuk mengalami kualiti hidup yang lebih bagus seterusnya meningkatkan motivasi dalam melakukan tabiat sihat.

Menurut Edd yang merupakan seorang pesakit kesihatan mental, mereka harus berhadapan dengan pelbagai perkara seperti stigma, penolakan dan rasa skeptik orang ramai.

Malah, pesakit mental perlu mencari kaedah rawatan terbaik buat mereka dan mungkin perlu mencuba ubat-ubatan berbeza serta menyertai pelbagai terapi.


Sejuta Penduduk Malaysia Alami Kemurungan

Isu kesihatan mental kini menjadi satu kebimbangan buat negara apabila seramai sejuta penduduk Malaysia lebih 15 tahun mengalami isu kemurungan.

Statistik ini didedahkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 yang turut mendapati peningkatan dua kali ganda dalam jumlah ini berbanding tahun 2019.

Di samping itu, majoriti mereka yang mengalami kemurungan dalam negara berusia antara 16 hingga 29 tahun.

Malah, masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak juga meningkat lebih dua kali ganda ke 16.5% pada 2023 berbanding 7.9% pada 2019.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd