Now Reading
“Rasionalisasi Subsidi RON95 Dijangka Berlaku Oktober Ini” – Ahli Ekonomi

“Rasionalisasi Subsidi RON95 Dijangka Berlaku Oktober Ini” – Ahli Ekonomi

Ahli ekonomi Prof Dr Anthony Dass walau bagaimanapun menjangkakan harga runcit RON95 hanya akan meningkat sekitar lima hingga 15 sen seliter.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Penyasaran semula subsidi diesel telah dilaksanakan di Semenanjung Malaysia pada Isnin (10 Jun) yang menyaksikan peningkatan harga runcit diesel mengikut harga pasaran.

Kerajaan sebelum ini berkata penyasaran semula subsidi akan turut membabitkan petrol RON95.


Harga RON95 Dijangka Tidak Meningkat Banyak

Terkini, Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Prof Dr Anthony Dass, berpendapat bahawa rasionalisasi subsidi RON95 mungkin dilaksanakan pada Oktober ini.

Katanya, harga runcit RON95 dijangka hanya meningkat sekitar lima hingga 15 sen seliter dan tidak terlalu mendadak seperti diesel yang meningkat dari RM2.15 ke RM3.35 seliter.

Menurut Dass, kerajaan menyasarkan penjimatan RM11.5 bilion daripada rasionalisasi subsidi di bawah Belanjawan 2024. Menerusi pelarasan subsidi, kerajaan akan jimat RM4 bilion bagi elektrik, RM1.1 bilion hingga RM1.2 bilion bagi ayam dan RM4 bilion bagi diesel.


Kerajaan Perlu RM2 Bilion Demi Capai Sasaran Penjimatan Rasionalisasi Subsidi

Berdasarkan kepada sasaran RM11.5 bilion dan jumlah penjimatan daripada pelarasan subsidi setakat ini, Dass berkata kerajaan memerlukan lebih RM2 bilion lagi bagi mencapai sasaran.

Oleh yang demikian, dia menganggarkan bahawa perkara itu akan digapai menerusi rasionalisasi subsidi RON95 dan tidak melibatkan penyelarasan harga tinggi.

“Jadi kerajaan memerlukan lebih RM2 bilion lagi, saya fikir ia mungkin hadir daripada rasionalisasi subsidi RON95 dan penyelarasan harga RON95 tidak akan terlalu tinggi seperti mana diesel,” katanya.

Harga diesel di Semenanjung sebelum ini mengalami kenaikan 56% melalui penyasaran semula subsidi.

Dass berkata rasionalisasi subsidi RON95 mungkin berlaku pada Julai, tetapi berpendapat bahawa perkara itu terlalu awal dan lebih masa diperlukan untuk kerajaan melaksanakan analisis impak bagi penyasaran subsidi diesel.

Baca Artikel Berkaitan: BUDI Madani: Penyasaran Semula Subsidi Diesel Bermula Hari Ini


Inflasi Dijangka Terkawal Pada 3%

“Peningkatan mungkin lima hingga 15 sen (seliter), kita juga perlu melihat kepada impak kutipan hasil daripada kawasan lain yang mungkin boleh menjadi penimbal (kepada sasaran penjimatan kerajaan),” maklum Dass.

Dia berkata sedemikian setelah pembentangannya bertajuk ‘Ekonomi Dunia: Cabaran dan Peluang’ ketika Seminar Pelaburan Kebangsaan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) – Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM) hari ini (13 Jun).

Di samping itu, Dass memaklumkan bahawa ekonomi Malaysia dijangka berkembang lebih baik berbanding tahun sebelum ini. Pertumbuhan ekonomi negara dijangka capai 4.7% tahun ini dan 4.8% pada tahun hadapan.

Tambahnya lagi, kadar inflasi negara dijangka kekal terkawal pada paras 3%.


MIDA Tawar Peranan Lebih Dinamik

Pengerusi MIDA, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob berkata pihaknya bersedia untuk menawarkan peranan lebih dinamik dan menarik bagi membina momentum semasa dalam persaingan mendapatkan pelaburan global yang semakin sengit.

“Tumpuan utama kami adalah pada pelaksanaan menyeluruh semua inisiatif dan mandat kerajaan untuk mencapai hasil yang diinginkan sejajar dengan agenda negara iaitu Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), Kerangka Ekonomi MADANI, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR).

“Kami berhasrat untuk mewujudkan persekitaran ekonomi yang teguh, mampan dan berdaya tahan yang boleh menarik dan mengekalkan pelaburan yang besar, memacu Malaysia ke arah masa depan yang makmur,” katanya dipetik Berita Harian.


MIDA Terlibat Pembangunan Ekonomi Serantau

Menurut Sulaiman, MIDA bukan hanya terlibat dalam promosi pelaburan sahaja, tetapi juga komited ke atas pembangunan ekonomi serantau.

Katanya MIDA turut mempromosi dan memudahkan projek di sepanjang koridor Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) untuk memastikan pertumbuhan seimbang di seluruh Malaysia.

“Dalam usaha kami untuk menggalakkan pelaburan khususnya dalam sektor pembuatan, MIDA dengan kerjasama pihak berkepentingan utama sedang membangunkan piawaian kebangsaan untuk perindustrian, berdasarkan garis panduan daripada Pertubuhan Pembangunan Perindustrian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIDO) dan piawaian lain yang berkaitan,” katanya.

Sulaiman menjelaskan bahawa pihaknya menyasarkan untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing melalui penggalakkan penggunaan teknologi canggih.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd