Lebih 274 Rakyat Palestin Syahid Di Nuseirat, Tentera Israel Selamatkan 4 Tahanan
Timbul dakwaan bahawa tentera Israel menyamar sebagai petugas bantuan kemanusiaan untuk menjalankan operasi tersebut.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Serangan ke atas tanah suci Palestin sejak Oktober masih berterusan dengan jumlah kematian rakyatnya mencecah 37,000.
Semalam (9 Jun), media melaporkan Kem Pelarian Nuseirat di Gaze Tengah telah diserang tentera Israel dalam usaha mereka untuk menyelamatkan empat orang tebusan.
Serangan ini menyebabkan sekurang-kurangnya 274 rakyat Palestin gugur, manakala 698 lagi cedera, maklum Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA) yang memetik laporan perubatan.
Majoriti Wanita & Kanak-Kanak Terkorban
Daripada jumlah kematian, kebanyakannya merupakan wanita dan kanak-kanak. Mereka yang tercedera berada dalam keadaan kritikal dengan kemudahan perubatan terakhir di wilayah itu, Hospital Syahid Al-Aqsa, mengalami kekurangan bekalan.
Dalam masa sama, usaha pencarian penduduk Palestin yang telah maut atau tercedera dari bawah runtuhan masih diteruskan.
“Pengeboman itu berterusan tanpa henti dan menyukarkan responden kecemasan untuk menghampiri rakyat Palestin yang terbunuh dan tercedera. Mereka memaklumkan bahawa masih terdapat orang ramai di jalanan dan di bawah runtuhan yang tidak dapat dikeluarkan,” kata wartawan Al-Jazeera, Hind Khoudary.
Israel Didakwa Menyamar Sebagai Petugas Bantuan Kemanusiaan
Serangan sedemikian tidak pernah dilakukan sebelum ini yang membabitkan pengeboman oleh tentera Israel dari darat, udara dan laut, lapor Harian Metro.
Menurut laporan seorang koresponden WAFA, kem dibedil dengan meriam dan serangan oleh kereta kebal dilakukan di kawasan timur dan barat laut. Serangan turut dilakukan ke atas Kem Pelarian Al-Bureij dan Al-Maghazi yang berada berhampiran.
Di samping itu, terdapat dron-dron di atas ruang udara kem yang menembak orang ramai di jalan.
Malah, timbul dakwaan bahawa tentera Israel menyamar sebagai petugas bantuan kemanusiaan.
“Ini Adalah Penyamaran Kemanusiaan” – Albanese
Pelapor khas PBB di Palestin, Francesca Albanese berkata usaha menyelamat tebusan tidak seharusnya melibatkan kematian lebih 200 rakyat Palestin, dengan askar Israel bersembunyi di dalam trak bantuan.
Katanya lagi, kesemua rakyat Israel yang ditawan boleh dibebaskan lapan bulan lepas jika rejim itu bersetuju dengan gencatan senjata pertama dan penukaran tawanan.
“Tetapi Israel enggan berbuat demikian untuk terus memusnahkan Gaza dan rakyat Palestin,” katanya dalam hantaran X.
Relieved that four hostages have been released. It should not have come at the expense of at least 200 Palestinians, including children, killed and over 400 injured by Israel and allegedly foreign soldiers, while perfidiously hiding in an aid truck.
— Francesca Albanese, UN Special Rapporteur oPt (@FranceskAlbs) June 8, 2024
This is "humanitarian…
Presiden Mahmoud Minta Adakan Sidang Tergempar UNSC
Susulan serangan tersebut, Presiden Palestin Mahmoud Abbas berkata pihaknya meminta agar diadakan satu mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).
“Israel terus mengeksploitasi kesunyian antarabangsa dan sokongan Amerika Syarikat (AS) untuk terus melakukan jenayah yang melanggar semua resolusi legitimasi antarabangsa dan undang-undang antarabangsa,” katanya.
Kumpulan pejuang Hamas berkata usaha menyelamat empat tahanan Israel “tidak akan mengubah kegagalan strategik tentera Israel di Semenanjung Gaza”.
Hamas juga berkata laporan bahawa AS membantu operasi Israel membuktikan bahawa negara itu bersubahat dan terlibat sepenuhnya dalam jenayah perang di Palestin.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.