Now Reading
Bank Digital ‘Boost Bank’ Dilancarkan Secara Rasmi, Tawar Faedah Harian Sehingga 3.6%

Bank Digital ‘Boost Bank’ Dilancarkan Secara Rasmi, Tawar Faedah Harian Sehingga 3.6%

Boost Bank menggabungkan ketangkasan syarikat fintech dengan kebolehpercayaan dan kestabilan bank yang sedia ada

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Boost Bank oleh Axiata dan RHB (Boost Bank), bank digital homegrown[1] dengan kelulusan rasmi daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan (MOF), semalam (6 Jun) telah melancarkan aplikasi Boost Bank dengan pengalaman ‘embedded onboarding’ pertama yang kini dibuka untuk kegunaan awam.

Satu ciri unik ialah setiap pengguna Premium Wallet sedia ada di aplikasi eDompet Boost kini boleh membuka akaun Boost Bank dengan mudah melalui proses onboarding yang lancar.

Ini meletakkan Boost Bank sebagai perintis ‘embedded banking’ yang serasi dan sesuai dengan rutin harian penduduk Malaysia.

Revolusi Akses Kewangan untuk Golongan Tanpa Akses atau Kurang Akses kepada Perkhidmatan Perbankan

Boost Bank adalah antara sekelompok kecil bank di Malaysia yang membolehkan pengguna yang tidak memiliki akaun bank untuk melakukan onboarding secara digital. Kemudahan ini seiring dengan misi pengasasan kami untuk memenuhi keperluan kelompok masyarakat yang kurang akses atau tanpa akses kepada perkhidmatan kewangan.

Kerjasama unik antara Boost dan RHB Banking Group (RHB) menjadikan Boost Bank bank digital pertama dalam pasaran yang menggabungkan pendekatan fintech yang mengutamakan inovasi teknologi dengan kepercayaan dan kestabilan institusi kewangan yang besar.

Sinergi yang terjalin memastikan pengguna menikmati manfaat dua sisi — solusi kewangan inovatif yang disampaikan dengan ketangkasan syarikat fintech di samping keyakinan dan perkhidmatan yang boleh dipercayai daripada institusi perbankan yang bertapak kukuh.

“Selain ekosistem sedia ada, kami juga akan bekerjasama dengan rakan kerja jangka panjang yang berkembang bersama kami tahun demi tahun, untuk melancarkan solusi perbankan digital kepada pasaran,” kata Boost Bank dalam satu kenyataan.

Dalam bulan-bulan yang mendatang, pengguna boleh menikmati promosi yang dibawa bersama rakan kerja di Malaysia Barat dan Timur termasuk CelcomDigi, MYDIN, Bataras Sdn. Bhd, CKS RETAIL Sdn. Bhd., FARLEY (KCH) Sdn. Bhd., Servay Hypermarket (Sabah) Sdn. Bhd., dan Boulevard Hypermarket dan Departmental Store Sdn. Bhd.

Dengan kerjasama ini, Boost Bank akan memenuhi keperluan kewangan golongan kurang akses dan tanpa akses kepada perkhidmatan perbankan dengan menyediakan ganjaran dan penjimatan untuk keperluan harian. Pengguna juga boleh menantikan kadar faedah promosi yang lebih tinggi dengan rakan kerja pelancaran kami, yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Maksimumkan Simpanan dengan Selamat bersama Boost Bank

Program Kesetiaaan Boost yang memenangi anugerah dikenali sebagai BoostUP diterima dengan baik oleh pengguna sejak diperkenalkan beberapa tahun yang lalu. Untuk memantapkan cadangan nilai utama yang ditawarkan, kami akan melancarkan kategori eksklusif Platinum President untuk pengguna yang membuka akaun Boost Bank dan memenuhi kriteria tertentu.

Pengguna hanya perlu membuat deposit minimum sebanyak RM2000 ke dalam Tabung Simpanan (Savings Jar) dan/atau Akaun Simpanan (Savings Account) Boost Bank, di mana mereka boleh menerima kadar faedah sehingga 3.6% setiap tahun dari sekarang hingga 31 Ogos*.

Selepas tempoh promosi, kadar faedah harian standard Savings Jars adalah 3.2% p.a. untuk pengguna Platinum President*. Pengguna yang meningkat ke kategori Platinum President di aplikasi Boost Bank akan dinaik taraf secara automatik kepada kategori tertinggi di aplikasi eDompet Boost serta menerima sehingga 3X Boost Stars untuk setiap ringgit yang dibelanjakan dalam transaksi layak, apabila kedua-dua aplikasi dihubungkan*. Ini merupakan peluang unik untuk pengguna, termasuk mereka yang kini di kategori lebih rendah, untuk melonjak ke kategori Platinum President apabila memanfaatkan bank digital kami.

Pihak Boost Bank juga akan mengumumkan promosi bersama dengan rakan kerja kami, MYDIN, yang akan datang di mana pengguna berpeluang menerima kadar faedah promosi yang lebih tinggi melalui Partner Benefits di Savings Jar rakan kerja Boost Bank*.

Simpanan di aplikasi Boost Bank boleh digunakan untuk melakukan pindahan DuitNow, termasuk kepada aplikasi eDompet Boost, di mana ia boleh digunakan untuk bayaran kod QR dan transaksi dalam talian di seluruh negara*.

Selain mematuhi standard kawal selia, setiap deposit dilindungi oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) sehingga RM250,000*. PIDM memberi keyakinan kepada pendeposit bahawa simpanan mereka dilindungi dengan jaring keselamatan, meskipun ketika krisis ekonomi atau situasi luar jangkaan.

Untuk melindungi akaun pengguna, aplikasi Boost Bank telah melaksanakan pilihan ‘Freeze Account’ untuk situasi kecemasan, ‘Device Binding’ untuk mengawal akses, dan ‘Cool-Off Period’ untuk log masuk di peranti baharu, menambah ciri keselamatan komprehensif. Benteng keselamatan tambahan juga tersedia untuk bank digital kami melalui Talian Aduan Penipuan 24/7 di +60162999831. Langkah keselamatan ini diperkenalkan untuk membolehkan pengguna melindungi akaun dengan mudah dan pantas jika disyaki berlaku aktiviti ataupun transaksi yang mencurigakan.

Vivek Sood, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan, Axiata Group Berhad, berkongsi: “Di Axiata, kami komited kepada pembangunan perbankan digital yang terangkum dan kukuh di Malaysia. Pelancaran Boost Bank ialah penanda aras yang utama dalam memperbaiki akses kepada perkhidmatan kewangan untuk rakyat Malaysia.

“Melalui Boost Bank, kami berhasrat memperkayakan landskap perbankan digital untuk mereka yang mempunyai akses terhad atau tanpa akses kepada perbankan tradisional, sekaligus mengorak langkah ke arah masyarakat digital lebih inklusif. Boost Bank akan melengkapkan produk kewangan di atas unsur fintech yang sedia ada di aplikasi eDompet Boost. Semakin Axiata meniti perjalanan Telco-TechCo (daripada syarikat telekomunikasi kepada syarikat teknologi), kami tidak lekang dari menambahbaik kemudahan yang ditawarkan kepada pelanggan di sektor perniagaan digital sambil membina nilai mampan untuk para pemegang saham kami.”

Sheyantha Abeykoon, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Boost, berkata: “Hari ini menandakan detik penting di Boost dalam merealisasikan matlamat kami untuk menjadi bank digital yang terangkum dan pelopor dalam pasaran yang mengintegrasikan ‘embedded banking’ dengan mudah, serta mencerminkan ekosistem kukuh fintech dan rekod kecemerlangan yang telah kami bina.

“Berbekalkan kearifan yang diperoleh serentas cabang perniagaan kami, Boost Bank bersedia untuk menyampaikan perkhidmatan perbankan yang disesuaikan dengan kehidupan harian pengguna, memenuhi keperluan mereka dan memupuk ikatan yang kukuh dan bermakna. Kami membayangkan masa hadapan di Boost Bank yang menjamin pemberdayaan kewangan untuk semua, dengan inovasi dan kerjasama strategik berterusan sebagai asas visi transformatif yang digenggam.” 

Fozia Amanulla, Ketua Pegawai Eksekutif, Boost Bank, turut berkongsi: “Perjalanan ini, yang sudah dirancang bertahun lamanya, meniti puncak di saat yang amat kami banggakan dengan pelancaran Boost Bank hari ini. Nadi setiap inovasi kami ialah komitmen untuk mempelopori pergerakan di mana perbankan digital menjadi agen pemberdayaan setiap individu, dengan menawarkan produk kewangan yang intuitif dan membawa impak.

“Berlandaskan sinergi yang menggabungkan kehebatan teknologi Boost dan reputasi ternama RHB Banking Group, kami menawarkan bukan sahaja perkhidmatan perbankan, tetapi perjalanan kewangan yang diintegrasi dengan rapi dan mudah diakses. Bagi kami, memanfaatkan pelanggan dan mengingati segala keperluan mereka menjadi panduan dalam mereka bentuk perjalanan pengguna ketika membangunkan aplikasi Boost Bank.” 

Mohd Rashid Mohamad, Pengarah Urusan Kumpulan dan Pegawai Eksekutif Kumpulan, RHB Banking Group, berkata:  “Kami berbesar hati untuk bersama menempa sejarah dengan penanda aras yang melambangkan era baharu dalam landskap perkhidmatan kewangan Malaysia. Boost Bank bukan sekadar penyedia perbankan digital; pelancarannya melambangkan pembentukan ekosistem kewangan yang bingkas dan terangkum.

“Bersama dengan Boost, kami mempelopori perjalanan yang meraikan inovasi dan menangani keperluan pelanggan yang kian berubah, khususnya dalam kalangan komuniti kurang akses atau tanpa akses. Aplikasi Boost Bank akan merapatkan jurang keterangkuman kewangan dengan memberi pelanggan akses kepada perkhidmatan kewangan yang tangkas, dan lebih utama lagi, selamat. Usaha ini menekankan dedikasi tak bertepi RHB untuk menambahbaik produk digital yang ditawarkan dan memupuk keterangkuman kewangan untuk semua rakyat Malaysia. Ini sejajar dengan ‘Sustainability Strategy dan Roadmap’  kami yang bertujuan untuk memperkasakan lebih dua juta individu dan perniagaan di ASEAN menjelang 2026.”

Nantikan Kemunculan Produk Kewangan yang Mengujakan

Semakin Boost Bank berkembang, ia akan memperluaskan ciri dan solusi aplikasi bank digital supaya lebih memenuhi keperluan seluruh rakyat Malaysia. Salah satu produk yang kini sedang dibangunkan ialah Kad Debit yang akan bertemu pengguna tidak lama lagi.

Konsortium Bank Digital Boost-RHB, di mana Boost memegang 60% kepemilikan ekuiti manakala RHB memiliki baki 40%, adalah antara lima pemohon lesen bank digital yang berjaya menerima kelulusan beroperasi oleh BNM pada April 2022, dan kini sudah mula beroperasi berikutan kelulusan kawal selia rasmi pada 15hb Januari 2024.

Aplikasi Boost Bank kini boleh dimuat turun di Apple App Store di sini dan Google Play Store di sini.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang Boost Bank di sini.

*Tertakluk pada terma dan syarat.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitterThreads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd