[Video] Setiap Kod Plastik Mempunyai Tujuan Tertentu, Jangan Silap Pilih Untuk Simpan Makanan & Minuman
Daripada tujuh jenis plastik, hanya tiga yang selamat digunakan semula bagi tujuan penyimpanan makanan atau minuman.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Baru-baru ini, kecoh isu seorang peniaga yang meletakkan bahan masakannya di dalam tong sampah hitam. Dia walau bagaimanapun telah membuat permohonan maaf dan telah menukar bekas yang digunakan.
Baca Artikel Berkaitan: Peniaga Rendam Sotong Dalam ‘Tong Sampah Hitam’ Mohon Maaf, Beli Bekas Makanan Baharu Selepas Ditegur [Video]
Bagi tujuan penyimpanan makanan dengan betul, terdapat pelbagai pilihan bekas yang boleh didapatkan daripada kedai serbaneka. Jadi, macam mana nak pilih bekas yang bersesuaian?
Seorang individu yang dikenali sebagai Cikgu Efa telah berkongsi di TikTok (@cikguefa3) mengenai jenis-jenis plastik yang ada di pasaran.
Menurutnya, jenis plastik boleh dikenal pasti daripada label atau kod pada produk. Secara umumnya, terdapat tujuh jenis plastik dengan nombor kod dari 1 hingga 7. Namun bukan semua jenis bekas makanan atau botol sesuai digunakan semula.
Kod Platik 1 & 7 Tidak Selamat Digunakan Semula
Plastik kod 1 iaitu jenis polyethylene terephthalate (PET/ PETE) sering digunakan sebagai bungkusan makanan dan minuman.
Namun begitu, ia tidak selamat untuk digunakan semula kerana bersifat lembut dan mudah terurai. Malah plastik kod 1 itu tidak dapat bertahan dengan suhu yang tinggi.
Penggunaan berulangan plastik ini tidak disarankan kerana boleh menguraikan botol tersebut sehingga membolehkan bakteria membiak di celahan retakan.
Botol minyak masak juga sering diperbuat daripada bahan PET dan tidak seharusnya digunakan untuk mengisi semula minyak paket ke dalamnya.

Selain itu, Cikgu Efa memaklumkan bahawa kod plastik 7 juga tidak selamat digunakan semula.
Plastik jenis ini menggunakan lain-lain campuran plastik dan kebiasannya tidak mempunyai sifat yang jelas. Oleh itu, lebih baik jika dielakkan sama sekali.
Jangan Simpan Makanan Untuk Jangka Masa Panjang Dalam Plastik PVC
Kod plastik lain yang tidak boleh digunakan semula ialah 3 iaitu dihasilkan menggunakan bahan polyvinyl chloride (V/ PVC).
Antara bahan yang menggunakan plastik kod 3 ialah baju hujan, topi mandi (shower cap) dan pelampung.
Walaupun sering digunakan dalam pembungkusan makanan sementara, plastik jenis ini bersifat toksik dan tidak boleh digunakan untuk menyimpan makanan bagi jangka masa panjang.
Satu lagi jenis plastik ialah polisterena iaitu kod 6 (PS) yang tidak boleh digunakan semula sama sekali. Plastik ini bersifat keras, sukar diuraikan dan sering kali digunakan bagi menghasilkan bahan pakai buang seperti cawan dan pinggan.
Menurut Cikgu Efa, terdapat juga botol yang diperbuat daripada polisterena. Oleh itu, pengguna haruslah berhati-hati apabila membeli botol minuman.

Plastik Dengan Bahan Polyethylene Selamat Digunakan Semula
Bagaimana pula dengan jenis plastik yang boleh digunakan semula untuk menyimpan makanan atau minuman? Cikgu Efa berkata terdapat tiga jenis plastik yang boleh didapatkan bagi tujuan ini.
Botol dengan kod plastik 2 yang menggunakan bahan high-density polyethylene (HDPE) selamat untuk menyimpan makanan dan digunakan semula.
Plastik ini bersifat lebih keras serta dapat menahan suhu kandungan yang tinggi. Contohnya ialah bekas bagi minuman yoghurt dan botol jus.
Cikgu Efa berkata bekas yang dihasilkan menggunakan plastik kod 2 sesuai digunakan untuk menyimpan air bagi tujuan perkhemahan.
Kod plastik 4 dengan bahan low-density polyethylene (LDPE) pula selalu digunakan bagi menghasilkan plastik bungkus makanan dan juga selamat digunakan semula.
Walaupun ia bersifat mudah lentur dan kuat, tetapi boleh juga dikoyakkan.
Plastik Kod 5 Antara Paling Sesuai Untuk Hasilkan Botol Minuman
Bagi botol minuman, antara jenis plastik yang paling elok digunakan ialah kod 5 iaitu bahan polyproplene (PP).
Botol plastik PP adalah lebih tahan lasak, boleh menahan suhu air dan boleh digunakan semula. Malah, botol susu bayi yang berkualiti juga dihasilkan menggunakan bahan PP.

Bekas dan botol dengan kod 5 boleh dipanaskan di dalam ketuhar gelombang mikro, namun tidak digalakkan kerana ia masih sejenis plastik.
Selain PP, terdapat juga plastik jenis Tritan yang sering digunakan bagi menghasilkan botol minuman.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.