Now Reading
[Video] Jemaah Haji Meninggal Dunia Tidak Sampai 12 Jam Tiba Di Tanah Suci

[Video] Jemaah Haji Meninggal Dunia Tidak Sampai 12 Jam Tiba Di Tanah Suci

Arwah telah rebah secara tiba-tiba sewaktu dia dan isteri ingin keluar dari Mataf untuk melakukan solat sunat tawaf.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Menunaikan haji merupakan impian setiap muslimin dan muslimah memandangkan ia ialah rukun Islam yang kelima.

Jemaah haji Malaysia telah mula tiba di tanah suci sejak Mei bagi menjalankan ibadah tersebut.

Pada 31 Mei lalu, media melaporkan seorang jemaah Malaysia telah meninggal dunia akibat serangan jantung di tempat tawaf.


Baru 12 Jam Tiba Di Mekah

Mohd Zahir Ismail yang berusia 58 tahun telah meninggal dunia di Masjidil Haram selepas 12 jam tiba di tanah suci bagi melakukan ibadah haji buat pertama kali.

Allahyarham dan isterinya, Pauziah Othman, dari Maktab 78 baru sahaja melakukan permohonan untuk menyertai haji sebelum ditutup dan tidak menyangka akan diterima.

Setelah tiba di Mekah, mereka telah ke Masjidil Haram bagi menunaikan ibadah tawaf mengelilingi Kaabah. Selesai ibadah itu, mereka bergerak keluar dari Mataf untuk melakukan solat sunat tawaf sebelum arwah secara tiba-tiba rebah.

“Semasa tawaf dia ada bagi tahu letih, tetapi makcik kata sabar kita buat perlahan-perlahan. Tetapi tak sangka dia letih sangat sebab dia ikut belakang, makcik tak tengok (dia).

“Selepas cakap macam itu, dia masih pegang (tangan), dia ikutlah sambil makcik cakap sabar kita dah nak habis dah, dia kata boleh saja,” kata Pauziah ketika ditemui petugas media.


Arwah Dilindungi Isteri Agar Tidak Dipijak

Pauziah berkata dia turut sama-sama terjatuh apabila suaminya yang berpaut pada lengannya ketika itu tiba-tiba rebah selepas mengucapkan ‘Allahuakbar’, lapor SelangorKini.

Wanita yang berusia 58 itu segera melindungi suaminya agar tidak dirempuh tanpa sengaja oleh jemaah lain. Mereka kemudiannya dibantu oleh para jemaah dari maktab sama.

Pauziah berkata beberapa askar telah membantu untuk mengangkat arwah ke atas buggy. Menurut Gulf News, para medik juga turut bergegas untuk membantu arwah yang dapat berdiri dan menapak sedikit sebelum terjatuh sekali lagi.

Mohd Zahir digegaskan ke klinik masjid sebelum dibawa ke hospital Saudi untuk rawatan lanjut di mana dia disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.

Menurut Pauziah, arwah sebelum ini merupakan seorang yang sihat dan tidak pernah mempunyai masalah jantung.

Kisah pemergian arwah ketika masih dalam ihram turut dikongsikan oleh akaun ilmfeed di X.


Isteri Percaya Arwah Inginkan Pengakhiran Di Tanah Suci

Pauziah mengingat kembali saat-saat mereka hendak bertolak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), apabila arwah bertanyakan tentang kematian.

“Alhamdulillah kita akan menunaikan Haji. Tak pasti jika kita akan pulang atau tidak,” jawab Pauziah kepada suaminya.

Jauh di sudut hati, Pauziah percaya bahawa arwah menginginkan pengakhiran hidup yang gembira dan untuk meninggal dunia di Masjidil Haram.

Solat jenazah telah diadakan di Masjidil Haram selepas solat Zuhur pada 31 Mei dan Mohd Zahir telah disemadikan di tanah perkuburan Syaraiee.

Mohd Zahir merupakan kematian kedua membabitkan jemaah haji dari Malaysia tahun ini. Terdahulu, seorang jemaah berusia 72 tahun, Allahyarham Abnil Hajar Ismail, telah meninggal dunia pada 24 Mei akibat pembuluh darah pecah.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd