Now Reading
Peniaga Guna Mesin Manual Untuk Perah Air Tebu Curi Perhatian, Rupanya Ada Sebab

Peniaga Guna Mesin Manual Untuk Perah Air Tebu Curi Perhatian, Rupanya Ada Sebab

Peniaga tersebut memaklumkan bahawa penggunaan mesin elektrik untuk memerah air tebu boleh menyebabkan minuman terasa pahit.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Air tebu adalah salah satu minuman yang popular dijual oleh peniaga tepi jalan. Sedap betul minum air tebu yang manis dan sejuk!

Bagi yang biasa membeli tebu, mungkin anda pandai membezakan rasa antara minuman yang benar-benar manis atau telah ditambah gula.

Seorang pengguna X, Azree (@azreehanifiah), telah berkongsi pengalamannya membeli air tebu dari seorang peniaga.


Guna Mesin Manual Untuk Elak Tambah Manisan Lain Pada Air Tebu

Dia yang telah melihat poster air tebu ‘Aitobu’ sebelum ini tidak teringin untuk membeli minuman tersebut memandangkan gambar air tebu yang dipamerkan kelihatan hijau kekuningan dan pucat.

Setelah singgah di sana, barulah dia mengetahui bahawa warna air tebu yang ‘pucat’ adalah kerana menggunakan mesin manual yang dipulas menggunakan tangan.

Dia kemudian bertanya kepada peniaga mengapa tidak menggunakan mesin elektrik memandangkan ia lebih cepat.

Namun peniaga menerangkan bahawa ia bertujuan untuk menghasilkan air tebu sebenar tanpa dicampur manisan lain.


Mesin Elektrik Boleh Hasilkan Rasa Pahit

Tambah peniaga itu lagi, rasa air tebu yang diperah menggunakan mesin elektrik akan terasa lebih ‘kuat’, malah ada yang sehingga pahit. Sudah tentulah air tebu yang pahit perlu ditambah manisan seperti gula untuk menyeimbangkan semula rasanya.

Malah terdapat juga peniaga lain yang melipat batang tebu sehingga tiga kali selepas diperah dan dimasukkan semula ke dalam mesin elektrik sehingga menghasilkan rasa yang ‘kuat’.

Bagi Azree, air tebu Aitobu itu cukup sedap dan tidak terasa terlalu kuat.


Tebu Telur Pilihan Peniaga

Di ruangan balas, seorang individu berkata peniaga tersebut mungkin menggunakan tebu telur yang terasa lemak manis.

Katanya, terdapat beberapa jenis tebu yang biasa digunakan oleh peniaga dengan tahap manis (brik) yang berbeza iaitu:

  • Tebu telur: 12-14 brik (lemak manis dengan aroma kuat)
  • Tebu Morris: 14-15 brik (aroma sederhana)
  • Tebu Ragnar: 15-16 brik (sangat manis dengan aroma kuat)

Menurutnya, kebanyakan peniaga akan mencampur tebu telur atau Morris dengan Ragnar (nisbah 2:1 atau 3:1) untuk mendapatkan rasa tebu yang seimbang dari segi kemanisan dan aromanya.

Namun, tebu telur memakan kos lebih tinggi kerana susah dijaga dan sering diserang haiwan pengorek batang. Tetapi kulitnya yang nipis dan lembut menjadikan jenis tebu ini pilihan peniaga.


Aitobu Ingin Kongsi Rasa Manis Dengan Golongan Berisiko

Merujuk ke akaun Instagram Aitobu, matlamat mereka adalah untuk mengurangkan kadar diabetis di Malaysia dengan mempromosikan pengambilan jus tebu berbanding gula diproses.

Usaha itu membolehkan golongan berisiko seperti yang telah berusia dan tidak boleh mengambil gula untuk turut menikmati rasa manis.

Tambah mereka, indeks glisemik tebu yang rendah akan mengelakkan kadar gula dalam darah meningkat dengan cepat.

Menurut Hello Doktor, air tebu mengandungi pelbagai nutrisi tetapi tidak boleh diambil secara berlebihan memandangkan kandungan gula semula jadi yang tinggi.

Healthline juga memberi saranan agar pesakit diabetis mengelakkan daripada mengambil air tebu sama sekali.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd