Now Reading
Kontena Milik Syarikat Perkapalan Israel Hanya Transit Sementara Di Pelabuhan Gelang Patah

Kontena Milik Syarikat Perkapalan Israel Hanya Transit Sementara Di Pelabuhan Gelang Patah

Semakan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor mendapati tiada pergerakan dagangan ke dalam Malaysia menggunakan kontena tersebut.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Baru-baru ini, media melaporkan ADUN Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad terkejut apabila menerima aduan penduduk yang mendakwa masih terdapat kontena dari Israel masuk ke pelabuhan Gelang Patah.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan MOT agar membantu siasatan ke atas dakwaan tersebut.

Beliau berkata negara tegas dengan pendirian tidak mempunyai sebarang hubungan dengan Israel walaupun bagi tujuan perdagangan.

Malaysia tidak ada hubungan diplomatik termasuk hubungan perdagangan langsung dengan Israel. Isu yg dibangkitkan oleh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor itu, amat dekat kepada rakyat Malaysia keseluruhannya, saya tidak fikir kita boleh berkompromi dalam hal ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Kontena ZIM Transit Sementara Untuk Tujuan ‘Transhipment’

Isu ini pasti menarik perhatian memandangkan sebelum ini pernah timbul isu membabitkan kapal kargo milik sebuah syarikat perkapalan Israel, ZIM yang berlabuh dan berlepas dari Perlabuhan Klang.

Hari ini (5 Jun), media melaporkan kontena ZIM hanya transit sementara di perlabuhan Gelang Patah, Iskandar Puteri sebelum dihantar ke negara penerima.

Menurut pengarah Kastam Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi, kontena tersebut disahkan digunakan untuk tujuan pindah kapal (transhipment) yang dibenarkan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT).

Dalam proses ‘transhipment’, kargo akan berlepas ke pelabuhan destinasi melalui pelabuhan ketiga di mana ia akan transit sementara.

“Sebagaimana proses ‘transhipment’ biasa, kargo akan bergerak dari pelabuhan berlepas ke pelabuhan destinasi melalui pelabuhan ketiga dalam jadual perjalanan. Kontena tersebut akan transit sementara di pelabuhan ketiga dan akan ke destinasi seterusnya iaitu negara lain,” kata Aminul.


Tiada Pergerakan Dagangan Ke Dalam Negara

Di samping itu, beliau berkata pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor telah membuat semakan dan tidak mendapati sebarang pergerakan dagangan ke dalam negara membabitkan kontena tersebut.

Hasil semakan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor, tiada pergerakan dagangan ke dalam Malaysia sama ada melalui pintu keluar atau pintu masuk iaitu import dan eksport menggunakan kontena syarikat perkapalan tersebut.

Pengarah Kastam Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi.

Dalam masa sama, beliau menegaskan komitmen JKDM Johor dalam memastikan kawalan di pintu keluar dan pintu masuk negara.

Institusi tersebut turut menguatkuasakan larangan import atau eksport kontena milik syarikat perkapalan dari Israel, lapor Kosmo.


Kontena ZIM Dihalang Masuk Ke Malaysia Di Perlis

Dalam satu berita lain, sebuah kontena ZIM turut dikesan di utara negara yang cuba memasuki Malaysia melalui Perlis pada 2 Jun lalu.

Perkara itu dikesan apabila kontena yang baru tiba dari sempadan Malaysia-Thailand tersebut melalui terowong mesin pengimbas di Unit Dagangan Jalan Raya, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQs) di Padang Besar.

Semasa proses imbasan imej, pengendali mesin pengimbas mengesan kontena digunakan berasal dari Israel berdasarkan logo ZIM yang tertera pada badan dinding luar kontena itu.

Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim.

JKDM seterusnya telah menghalang kontena tersebut yang membawa muatan dagangan ayam sejuk beku daripada masuk ke dalam negara dan mengarahkannya agar berpatah balik.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd