Now Reading
Lelaki Berbangsa Cina Raih Pujian Besarkan 3 Beradik Melayu Seperti Anak Sendiri & Tetap Sediakan Pendidikan Islam

Lelaki Berbangsa Cina Raih Pujian Besarkan 3 Beradik Melayu Seperti Anak Sendiri & Tetap Sediakan Pendidikan Islam

Micheal Tong Wai Siong berkata dia bertemu dengan Rafei, anak angkat pertamanya, ketika menjalankan kerja amal di sebuah rumah anak yatim.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Rakyat Malaysia terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, bangsa dan agama. Walaupun begitu, perbezaan ini tidak menjadi halangan buat kebanyakan kita untuk terus memupuk kasih sayang dan keharmonian antara satu sama lain.

Begitu juga dengan sebuah kisah di mana terbitnya ‘ikatan’ antara seorang lelaki berketurunan Tionghua berusia 55 tahun dan tiga kanak-kanak Melayu.

Mereka yang merupakan yatim piatu telah diambil sebagai anak angkat oleh lelaki yang bernama Micheal Tong Wai Siong, berusia 39 tahun sewaktu itu.

Saya tidak pernah berkahwin. Tiba-tiba saya perlu menjaga tiga kanak-kanak yang bukan milik saya. Tetapi saya ambil ini sebagai tanggungjawab yang diberi Tuhan.

Micheal Tong Wai Siong
Sumber gambar: Harian Metro/ Youtube

Micheal Jumpa Rafei Di Rumah Anak Yatim

Digelar sebagai Uncle Mike oleh anak-anak angkatnya, ketika itu dia aktif dengan kelab kereta yang selalu mengadakan kerja amal di sebuah rumah anak yatim di Gombak, Selangor.

Di situlah dia menemui Rafei yang pada waktu itu berusia 12 tahun dan kelihatan suka menyendiri. Wanita yang menguruskan pusat jagaan tersebut, Umi, memaklumkan kepadanya bahawa Rafei tidak mahu bersekolah.

“Saya kemudian pergi ke sekolah jumpa cikgu dan bercakap dengan Rafei, barulah saya tahu dia ada masalah pelajaran,” katanya dipetik Harian Metro.

Mengetahui keadaan ini, Micheal membuat keputusan untuk mengambil dan menghantarnya ke sekolah pada waktu pagi serta ke pusat tuisyen sebelum pulang ke rumah anak yatim.

Dia berkata perkara ini berulang agak lama sebelum menerima cadangan agar Rafei tinggal bersamanya yang turut dipersetujui kanak-kanak itu.


“Kenapa Terpisah Dengan Adik-Adik?” – Nota Oleh Rafei

Sewaktu tinggal bersama, suatu hari Michael menemukan nota oleh Rafei tertulis perasaannya yang terbuku di hati.

Sehingga kini saya masih ingat nota ditulisnya yang bertanya mengapa mak ayah meninggal dunia awal dan kenapa dia dipisahkan dengan adik-beradik. Nota itu membuatkan saya sebak dan kemudian bawa dia dua adiknya.

Micheal Tong Wai Siong

Kedua-dua adiknya, Rasyid dan Abdul Rahman, tinggal di sebuah rumah anak yatim di Klang, Selangor sejak mereka terpisah setelah kira-kira setahun.

“Sejak itu saya menjadi ‘bapa’ dan ‘ibu’ kepada mereka dan hingga kini kami masih bersama,” kata Micheal yang turut membawa kedua-dua kanak-kanak lelaki itu tinggal bersamanya.

Menurut Micheal, dia membuat keputusan untuk mengambil ketiga-tiga kanak-kanak itu sebagai anak angkat kerana pernah melalui kesukaran hidup. Malah dia mahukan agar kanak-kanak tersebut mendapat kehidupan yang lebih bagus.

Sumber gambar: Harian Metro/ Youtube

Meskipun pada mulanya berasa takut kerana tiada pengalaman menjaga anak-anak, urusan Uncle Mike dipermudahkan dengan sokongan dan bantuan dari ramai rakan serta keluarga sendiri. Ibunya, Oh Siew Eng turut melayan mereka sebagai cucu sendiri dan dia digelar ‘popo’, iaitu nenek dalam bahasa Mandarin.

Ibunya pernah memaklumkan kepadanya bahawa perkara itu tidak akan mudah, tetapi dia berjanji untuk sentiasa menyokongnya.

Micheal berkata anak-anaknya ketika kecil juga amat menghormati orang tua. Oleh itu perkara itu tidak menimbulkan sebarang perasaan kekok dalam keluarganya.


Uncle Mike Sedia Pendidikan Agama Terbaik Buat Anak-Anak

Perbezaan agama tidak menjadi halangan bagi Michael untuk menyediakan pendidikan Islam yang terbaik buat anak-anaknya.

Selain daripada memanggil seorang ustaz untuk mengajar mengaji setiap malam, Micheal juga mendapatkan nasihat dari rakan-rakan Melayu-Islam.

Dia yang menjaga sensitiviti agama termasuk dalam isu makan minum, turut berpuasa bersama serta menyediakan lauk sahur dan berbuka.

Ketika mereka masih kecil, bangun untuk sahur amat susah. Saya ingat pernah memercikkan air untuk mengejut mereka bangun.

Micheal Tong Wai Siong

Sewaktu Hari Raya pula, Micheal akan membawa anak-anaknya ke rumah seorang sahabat di mana mereka akan melakukan solat raya.

Mereka turut menyambut perayaan Tahun Baharu Cina bersama-sama. Malah sehingga kini mereka akan menyertai makan besar pada setiap malam tahun baharu.

Rafei kini telah berkahwin dan mempunyai dua orang anak yang dilayan sebagai cucu sendiri oleh Micheal. Dia berkata walaupun masih belum berkahwin sehingga kini, dia tidak pernah berasa sunyi dengan kehadiran keluarganya itu.

Rasyid kini memiliki perniagaan De Ayen Coffee di Medan Selera Sate Kajang. (Sumber gambar: Harian Metro/ Youtube)

Menjengah ke ruangan komen di Facebook Harian Metro, rata-rata netizen memuji usaha Uncle Mike membesarkan Rafei dan dua adik-beradiknya.

Malah, ramai percaya tindakan Uncle Mike ini akan menjadi contoh terbaik buat masyarakat. Orang ramai turut memuji Harian Metro kerana mengangkat kisah sedemikian.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd