Now Reading
Kes Simbah Asid Faisal Halim: Polis Minta Berhenti Sebar Rakaman CCTV

Kes Simbah Asid Faisal Halim: Polis Minta Berhenti Sebar Rakaman CCTV

Menurut Ketua Polis Selangor, ini kerana rakaman CCTV tersebut merupakan bahan bukti kes yang masih dalam siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sejak semalam, kecoh di media sosial apabila tularnya satu video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang didakwa berkaitan kejadian simbah asid terhadap pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim.

Dalam rakaman tersebut, kelihatan mangsa sedang berjalan menuju ke kereta berwarna putih sebelum seorang lelaki yang berdiri di belakang sebuah kenderaan yang parkir di tempat kejadian berjalan menuju ke arah mangsa dan menyimbah sesuatu dipercayai asid.

Lelaki tersebut kemudiannya dengan segera berlari menuju ke sebuah motosikal yang ditunggangi rakannya dan bergegas beredar dari tempat kejadian.

KP Selangor sahkan ketulenan video, sedang kesan pihak yang sebarkan

Tidak lama selepas itu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan yang dihubungi Kosmo mengesahkan ketulenan video terbabit.

Menerusi satu kenyataan semalam (23 Mei), pihak polis telah membuka kertas siasatan bagi mengesan pihak yang menyebarkan video berkenaan.

Rakaman CCTV adalah bahan bukti yang masih dalam siasatan

Menurut Hussien, ini kerana rakaman CCTV tersebut merupakan bahan bukti kes yang masih dalam siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

Jelasnya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan kerana mendedahkan maklumat yang sedang dalam siasatan.

“Subseksyen (1) boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.

“Subseksyen (2), barang siapa yang mempunyai maklumat pada pengetahuannya telah didedahkan dengan melanggari subseksyen (1) kepada mana-mana pihak boleh dikenakan hukumannya yang sama,” katanya.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998

Menurutnya lagi, kes juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 yang boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebih setahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

“Individu juga boleh dikenakan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan,” katanya lagi.

Susulan itu, Hussien menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan video berkenaan dan menghormati serta menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

“Polis memandang serius dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang sengaja menyebarkan video sekali gus mengganggu siasatan,” ujar Hussien.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd