Now Reading
MAINJ Pertimbang Robohkan Madrasah Luqmanul Hakim Setelah Serangan Di Balai Polis Ulu Tiram

MAINJ Pertimbang Robohkan Madrasah Luqmanul Hakim Setelah Serangan Di Balai Polis Ulu Tiram

Sekolah agama tersebut didakwa merupakan tempat merekrut ahli kumpulan militan Islam sebelum ditutup pada tahun 2001.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pada 17 Mei lalu, Malaysia digemparkan dengan berita kematian dua anggota polis yang diserang di Balai Polis Ulu Tiram, Johor. Seorang lagi polis pula cedera parah, namun sempat menembak mati suspek.

Pada mulanya, polis mengesahkan suspek sebagai ahli Jemaah Islamiyah (JI) berdasarkan penglibatan bapanya dengan kumpulan pengganas itu.

Namun pihak polis kemudiannya mendapati suspek tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan JI dan motif serangan masih belum diketahui.

Baca Artikel Berkaitan: 2 Anggota Polis Maut & Seorang Cedera, Balai Polis Ulu Tiram Diserang


Madrasah Didakwa Tempat Rekrut Ahli Kumpulan Pengganas

Terkini, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) mempertimbangkan untuk merobohkan Madrasah Luqmanul Hakim yang terletak di Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram.

Ini kerana sekolah itu didakwa menjadi tempat merekrut ahli bagi satu kumpulan militan Islam sebelum ia ditutup pada tahun 2001. Malah, terdapat dakwaan bahawa ia masih lagi beroperasi.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Mohd Fared Mohd Khalid, siasatan oleh pihak MAINJ dan polis mengesahkan bahawa sekolah agama itu tidak lagi beroperasi selepas timbul kebimbangan sejak insiden serangan di balai polis Ulu Tiram.

“Saya telah menerima aduan dari masyarakat setempat yang mendakwa madrasah tersebut, yang digunakan sebagai pusat perekrutan sebuah kumpulan pengganas, masih beroperasi.

“Kebimbangan ini telah disuarakan oleh mereka sejak serangan ke atas balai polis Ulu Tiram Jumaat lepas. Namun begitu, saya boleh mengesahkan bahawa struktur tersebut tidak lagi digunakan dan tiada permohonan baharu lesen operasi,” katanya ketika melawat Balai Pengajian Al-Quran di Kampung Plentong Baru semalam (20 Mei).


Ambil Tindakan Untuk Tujuan Keselamatan

Mohd Fared menegaskan bahawa pihaknya akan menilai tindakan yang sewajarnya ke atas permis tersebut.

Madrasah Luqmanul Hakim sebelum ini juga digunakan oleh pelarian Rohingya bagi pengajian agama anak-anak mereka.

Di samping itu, pihak MAINJ dan polis akan meneruskan siasatan dan mempertimbangkan perobohan sekolah agama itu sebagai jalan penyelesaian terakhir atas sebab-sebab keselamatan.

Tambah Mohd Fared, pejabat tanah dan pihak berkuasa tempatan juga akan menjalankan kajian masing-masing.


Madrasah Tempat Pertemuan Pemimpin Kumpulan Militan

Lebih 20 tahun lalu, Madrasah Luqmanul Hakim menjadi tempat pertemuan bekas pemimpin kumpulan militan, Nasir Abbas dan Noordin Mat Top dengan pengasas bersama JI Abu Bakar Bashir dan Abdullah Sungkar dari Indonesia.

Malah, bekas sekolah agama itu menjadi sarang bagi ideologi militan dan ekstremis sebelum ditutup oleh pihak berkuasa.

Madrasah tersebut terletak berdekatan dengan rumah keluarga suspek yang terlibat dalam insiden serangan di balai polis Ulu Tiram.

Baca Artikel Berkaitan: Jawatankuasa Fatwa Johor Putuskan Kubur Suspek Serang Balai Polis Ulu Tiram Perlu Diasingkan


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd