Now Reading
Ini Cara ‘Defrost’ Bahan Mentah Beku Dengan Selamat

Ini Cara ‘Defrost’ Bahan Mentah Beku Dengan Selamat

Bakteria yang dorman sewaktu bahan mentah masih beku akan menjadi aktif dan membiak setelah dicairbekukan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Dengan kewujudan peti ais, kini kita boleh menyimpan bahan mentah seperti ikan, ayam dan daging dalam keadaan beku untuk tempoh yang lama.

Sebelum memasak, bahan mentah tersebut perlulah dicairbekukan atau ‘defrost’ terlebih dahulu.

Bagaimanakah anda melakukan perkara ini? Jangan buat dengan cara salah ya sebab boleh berlakunya pencemaran silang yang berbahaya.


Bakteria Pada Makanan Beku Dalam Keadaan Tidak Aktif

Perkara ini dikongsikan oleh seorang graduan Sarjana Muda Sains Makanan (Teknologi Makanan) menerusi akaun TikTok (@fatenaqeela) miliknya.

Menurutnya, makanan ‘frozen’ berada dalam keadaan selamat jika masih beku. Namun begitu, ia tidak bermakna tiada bakteria pada makanan tersebut.

Sebaliknya, suhu rendah menyebabkan bakteria berada dalam keadaan ‘tidur’ atau tidak aktif (dormant stage). Bakteria dalam keadaan ini tidak akan membiak atau menghasilkan toksin berbahaya.

Sebaik sahaja makanan beku dicairkan dan suhu mencecah 4°C, bakteria tersebut akan mula aktif dan membiak secara berganda.


3 Kaedah Defrost Bahan Mentah Beku

Di samping itu, Faten turut berkongsi tiga kaedah untuk mencairbekukan makanan dengan selamat.

#1. Rendam dalam air berais

Mungkin anda biasa merendam makanan mentah di dalam bekas berisi air yang diletakkan di dalam sinki. Sebenarnya cara ini salah dan boleh mendatangkan bahaya kerana makanan berisiko terdedah kepada bakteria dari persekitaran.

Jika anda ingin rendam makanan mentah di dalam air, pastikan ia diletakkan di dalam plastik yang tidak mempunyai sebarang kebocoran.

Kemudian, rendamkan ia di dalam bekas berisi air yang ditambah ais. Faten mengingatkan agar rendaman air itu ditukar setiap 30 minit sehingga makanan tidak lagi beku.

Dia juga berkata makanan yang dicairbekukan sepenuhnya menggunakan kaedah ini perlu segera dimasak dan tidak boleh dibekukan semula.

Pastikan air di dalam bekas tersebut sentiasa dalam keadaan sejuk dan tiada bocor pada plastik. (Sumber gambar: Food Network)
#2. Gunakan microwave

Selain itu, bahan mentah beku juga boleh dicairbekukan menggunakan microwave. Kaedah ini sesuai digunakan sekiranya anda terlupa mengeluarkan bahan mentah dari peti sejuk beku lebih awal.

Namun makanan yang dicairkan dengan kaedah ini perlu dimasak serta-merta kerana proses memasak telah berlaku di sesetengah bahagian bahan mentah.

Bahan mentah yang dicairkan menggunakan kaedah ini juga tidak boleh dibekukan semula.

Sesetengah microwave mempunyai mod ‘defrost’. (Sumber gambar: Medium)
#3. Tinggalkan di dalam peti sejuk

Anda juga boleh meletakkan bahan mentah beku di dalam peti sejuk agar ia mencair dengan perlahan.

Kaedah ini adalah cara yang paling selamat untuk mencairbekukan bahan mentah. Namun begitu, ia akan mengambil masa lebih lama dan mengikut saiz makanan tersebut, sehingga boleh mencecah 24 jam.

Pastikan bahan mentah tersebut diletakkan di dalam bekas yang tertutup rapi agar tidak berlakunya pencemaran silang. Bahan mentah yang diletakkan di dalam plastik juga seeloknya dilapikkan menggunakan talam untuk menadah cairan sekiranya terdapat bocor.

Makanan yang dicairbekukan menggunakan kaedah ini masih selamat dan kualiti terjamin selama beberapa hari. Ia juga boleh dibekukan kembali tetapi kualiti bahan mentah akan sedikit berkurangan.

Sumber gambar: Pexels

Jangan Defrost Makanan Dengan Cara Ini

Di samping itu, Faten menegaskan bahawa bahan mentah TIDAK BOLEH dicairbekukan menggunakan beberapa cara seperti berikut:

  • Cairkan pada suhu bilik atau kawasan sejuk di luar.
  • Gunakan air panas untuk mencairbekukan makanan.
  • Tinggalkan makanan beku yang telah cair pada suhu bilik lebih daripada dua jam.

Katanya, ketiga-tiga cara ini akan menggalakkan pertumbuhan bakteria yang seterusnya boleh menyebabkan keracunan makanan.

Dia juga berkata kaedah mencairbekukan makanan dengan melalukan di bawah air paip tidak digalakkan kerana suhu yang mungkin agak tinggi dan terdapat kebarangkalian berlakunya pencemaran silang.


Boleh Juga Masak Terus Bahan Mentah Tanpa ‘Defrost’ Dahulu

Tambah Faten, jika anda mengejar masa dan tidak sempat ‘defrost’ bahan mentah terlebih dahulu, tidak menjadi masalah untuk terus memasak makanan tersebut.

Namun perkara ini akan mengambil masa sekitar 50% lebih lama berbanding memasak bahan yang bukan dalam keadaan beku.

Malah, kaedah ini hanya berguna jika anda telah prep bahan mentah seperti menyiang atau memotongnya terlebih dahulu.

Menjenguk ke ruangan komen, Faten juga berkata bahan mentah lebih elok diperap menggunakan rempah ratus kerana ia berfungsi sebagai bahan antimikrob.

Sumber gambar: Unsplash

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd