Now Reading
Nak Bawa Bayi Naik Kapal Terbang? Ini 5 Tips Mudahkan Perjalanan Anda

Nak Bawa Bayi Naik Kapal Terbang? Ini 5 Tips Mudahkan Perjalanan Anda

Antara tips yang dikongsikan adalah memilih tempat duduk dengan ruang bassinet dan menukar lampin bayi sebelum menaiki kapal terbang.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Penerbangan merupakan salah satu pilihan mod pengangkutan yang memudahkan kerana ia akan mengurangkan tempoh perjalanan.

Akan tetapi, membawa anak-anak khususnya yang masih kecil menaiki kapal terbang boleh menjadi sesuatu yang mencabarkan, apatah lagi apabila mereka meragam.

Ibu bapa perlulah melakukan persiapan yang secukupnya agar anak-anak berasa selesa di dalam penerbangan dan tidak menangis sehingga mengganggu penumpang lain.


5 Tips Bawa Bayi Naik Kapal Terbang

Seorang pengguna TikTok (@ayuuzainal) telah berkongsi lima tips yang dipraktikkan olehnya setiap kali membawa bayi menaiki kapal terbang.

#1. Waktu penerbangan sama masa tidur bayi

Ayuu berkata penting bagi ibu bapa memilih waktu penerbangan yang sama seperti waktu tidur bayi. Ini kerana bayi kebiasaannya mempunyai jadual tidur yang tetap. Jadi apabila membawa bayi menaiki kapal terbang sewaktu tidur, mereka akan kurang meragam.

Namun begitu, mungkin sesetengah destinasi tidak mempunyai banyak pilihan waktu perjalanan. Oleh itu, pastikan bayi berada dalam keadaan selesa sewaktu di dalam kapal terbang.

Sumber gambar: Unsplash
#2. Tukar lampin sebelum boarding

Ibu bapa pasti tahu bahawa lampin bayi perlu ditukar sekurang-kurangnya setiap empat jam. Untuk lebih memudahkan, jangan lupa tukar lampin bayi sebelum menaiki kapal terbang.

Ruang tandas di dalam kapal terbang sangat sempit dan boleh menyukarkan ibu bapa untuk menukar lampin bayi di tempat itu. Namun begitu, bagi penerbangan yang panjang, ibu bapa tiada pilihan untuk menukar lampin bayi.

Antara tempat yang sesuai untuk menukar lampin bayi ialah di tandas, di tempat duduk dan di lantai kabin setelah mendapat izin dari kru kabin. Pasti lebih mudah jika ibu bapa duduk di ruangan yang tersedia bassinet.

Namun pastikan tiada bau yang kurang menyenangkan agar tidak mengganggu penumpang lain.

Ayuu berkata bayi juga perlu dipakaikan dengan pakaian yang bersesuaian agar kekal selesa.

Sumber gambar: Pexels
#3. Susukan bayi sewaktu berlepas & mendarat

Umum sedia maklum bahawa akan terjadinya perubahan tekanan sewaktu kapal terbang sedang berlepas dan ketika mendarat. Perubahan tekanan ini boleh menyebabkan telinga terasa sakit, lebih-lebih lagi bagi bayi.

Bagi orang dewasa, apabila keadaan ini berlaku, kita dinasihati agar menelan air liur atau meminum air. Begitu juga dengan bayi yang perlu disusukan agar dapat mengurangkan rasa sakit pada telinga. Ada juga yang menggunakan puting bayi (pacifier).

#4. Pilih tempat duduk dengan pilihan bassinet

Sewaktu membeli tiket kapal terbang, jangan lupa untuk membuat pemilihan tempat duduk paling hadapan yang menyediakan ruangan untuk ‘bassinet’ iaitu katil kecil bayi. Tetapi bukan semua penerbangan menyediakan bassinet ini ya.

Setelah menaiki kapal terbang, minta bassinet dari pramugari atau pramugara supaya bayi anda dapat diletakkan di dalamnya. Ia bukan sahaja memudahkan urusan anda, tetapi bayi juga pasti lebih selesa dapat berbaring seolah-olah di atas tilamnya sendiri.

Bagi mereka yang tidak duduk di kawasan bassinet, kru akan memberi tali pinggang khas yang perlu dipakaikan pada bayi apabila duduk di atas ibu atau bapa.

Sumber: @ayuuzainal
#5. Bawa stroller boleh lipat

Mungkin tidak ramai yang tahu, tetapi stroller bayi yang bersesuaian boleh dibawa naik ke kapal terbang. Ia juga tidak perlu ditimbang dan didaftar masuk seperti bagasi.

Sebaliknya, bawa sahaja stroller sehingga ke pintu pelepasan dan naik kapal terbang. Kemudian tinggalkan sahaja di tepi kapal terbang untuk diuruskan oleh kru.

Jangan risau, tag akan dipasang pada stroller agar ia tidak tertukar dengan hak milik orang lain.

Sumber gambar: Unsplash

Tips Bawa Kanak-Kanak Naik Kapal Terbang

Selain daripada bayi, kanak-kanak juga cepat meragam apabila menaiki kapal terbang, terutamanya apabila mereka merasa bosan.

Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan untuk mewujudkan persekitaran yang menyeronokkan dan selesa bagi anak-anak kecil. Antara perkara yang boleh disediakan ialah:

  1. Pensil warna dan kertas
  2. Mainan
  3. Memuat turun kartun siap-siap pada peranti elektronik
  4. Snek kegemaran anak
  5. Anak patung kegemaran anak
  6. Selimut dan bantal agar lebih selesa
  7. Baju lebih sekiranya berlaku tumpahan makanan atau minuman
  8. Bawa juga keperluan bayi seperti minyak telon dan Vicks sekiranya mereka mengalami perut kembung

Ibu bapa juga boleh memilih tempat duduk di bahagian tingkap bagi anak-anak agar mereka ralit memerhatikan pemandangan awan-awan di luar. Pastikan anak-anak dipakai dengan pakaian yang bersesuaian serta menutup kakinya dengan stoking atau selimut.

Sumber gambar: Pexels

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd