Now Reading
Ini 5 Cara Didik Anak Menurut Imam Hassan al-Banna

Ini 5 Cara Didik Anak Menurut Imam Hassan al-Banna

Antara cara mendidik anak yang dipraktikkan oleh tokoh Islam, Imam Hassan al-Banna, ialah tidak menjerit di rumah serta sentiasa meluangkan masa untuk makan dan bermain bersama.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Keikhlasan ibu bapa dalam mendidik anak-anak menjadi sebab mereka membesar dengan akhlak yang baik.

Namun begitu, dalam kepenatan tersebut, terkadang ibu bapa tidak sengaja akan memarahi atau meninggikan suara terhadap anak-anak.

Bagi ibu bapa, menjadi tanggungjawab untuk mencari cara terbaik dalam membesarkan cahaya mata.

Dikongsi di TikTok oleh pengguna @akak_norizan, penulis Siti Suryani Yaakop telah menyenaraikan lima cara yang diamalkan oleh tokoh dakwah Islam di Mesir, Imam Hassan al-Banna, dalam mendidik anak-anak.

#1 Tiada suara jeritan di rumah

Berdasarkan nasihat oleh Imam Hassan, rumah yang dipenuhi dengan jeritan dan bahasa kasar tidak akan mendapat kerahmatan.

Ini kerana perkara tersebut akan menghindar rumah daripada dihadiri malaikat, sebaliknya jin yang akan memasuki ke kediaman.

Imam Hassan sendiri tidak pernah meninggikan suara mahupun menjerit untuk bercakap dengan anak-anak. Beliau akan menghampiri anak-anak dan bercakap dengan lemah-lembut.

Jika anda tidak sengaja berkasar dengan anak, jangan lupa untuk meminta maaf dan terangkan bahawa perbuatan tersebut adalah salah.

Gambar sekadar hiasan. (Sumber: Pexels)

#2 Tidak menyakiti anak

Mungkin ada sesetengah ibu bapa yang menggunakan kaedah merotan untuk menghukum anak-anak. Tetapi ada cara yang betul dalam melakukan sedemikian.

Berdasarkan perkongsian tersebut, terdapat satu kisah ketika anak perempuan Imam Hassan bermain tanpa memakai selipar di hadapan tetamu walaupun telah disuruh berbuat demikian sebelum itu.

Namun begitu, anaknya tidak dimarahi serta-merta. Hanya setelah tetamu telah pulang barulah beliau menghukum anaknya.

Beliau meminta anaknya mengambilkan rotan yang kemudiannya digunakan untuk merotan di tapak kaki. Pukulan itu tidak menyakitkan, sebaliknya hanya terasa geli sehingga kanak-kanak itu ketawa.

Sebenarnya apa yang penting adalah kesannya terhadap pemikiran anaknya. Perkara itu menyebabkan anaknya beringat agar tidak mengulangi kesalahan yang sama kelak. Ingat ya, rotan dengan niat untuk mengajar sahaja, bukan untuk menyakiti.

Gambar sekadar hiasan. (Sumber: Pexels)

#3 Tidak tegur secara terus atau memalukan anak

Dalam satu kisah lain, salah seorang anak kepada Imam Hassan dilihat gemar membaca buku komik. Berbanding menegur secara terus, beliau membelikan buku-buku kisah tokoh untuk anaknya.

“Ayah kira ini yang lebih baik dan menyeronokkan untuk kamu baca,” katanya pada anak.

Namun dia tidak menyuruh anaknya membaca buku tersebut, apatah lagi memaksa dan memarahinya.

Selain itu, ibu bapa juga boleh menunjukkan tabiat yang baik di hadapan anak agar menjadi contoh buat mereka. Sememangnya anak-anak seperti kain putih yang dicorakkan oleh ibu bapa.

Gambar sekadar hiasan. (Sumber: Unsplash)

#4 Meluangkan masa untuk makan & bermain bersama

Imam Hassan tidak pernah mengetepikan untuk makan bersama-sama dengan keluarga walaupun dalam kesibukan urusan ummah.

Dalam keadaan terlalu penat setelah pulang ke rumah, beliau akan berehat terlebih dahulu dan memaklumkan perkara itu kepada anaknya.

“Izinkan ayah berehat sebentar. Kejutkan ayah selepas tujuh minit,” katanya. Tepat tujuh minit kemudian, beliau bangun dan bermain dengan anak-anak.

Oleh itu, ibu bapa bolehlah berehat terlebih dahulu jika penat. Jangan marah anak-anak yang mahu bermain bersama kerana itu adalah fitrah mereka.

Gambar sekadar hiasan. (Sumber: Unsplash)

#5 Menjadi guru tauhid & akidah buat anak

Bagi ibu bapa beragama Islam, sudah tentu mahu mendidik anak-anak mengikut landasan agama yang benar. Imam Hassan sentiasa mengingatkan anak-anaknya dengan Allah SWT atas segala apa yang berlaku.

Sebagai contoh, apabila anak memuji makanan sedap, ingatkan bahawa Allah SWT yang mengurniakan kita dengan deria rasa. Malah, beliau sendiri mengajar kitab buat anaknya.

Jika ibu bapa rasa ilmu agama tidak mencukupi, hantarlah anak belajar dengan individu bertauliah seperti di sekolah agama. InsyaAllah anak-anak akan membesar menjadi individu yang mengutamakan agamanya.

Gambar sekadar hiasan. (Sumber: Pexels)

Imam Hassan Pengasas Gerakan Ikhwan al-Muslimun

Sebagai info tambahan, Imam Hassan merupakan tokoh yang bukan calang-calang. Beliau merupakan pengasas Ikhwan al-Muslimun yang ditubuhkan dengan tujuan menyebarkan ajaran Islam.

Ketika itu, Imam Hassan mengkritik pengaruh budaya Barat terhadap masyarakat Mesir. Beliau juga menolak penguasaan politik oleh Eropah serta norma budayanya dan Amerika.

Pada tahun 1949 iaitu ketika berusia 43 tahun, Imam Hassan telah ditembak, dipercayai oleh kerajaan sebagai balasan terhadap pembunuhan Perdana Menteri Mesir ketika itu.

Imam Hassan di persidangan Palestin pada tahun 1947. (Sumber: Eltaher.org)

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd