Now Reading
“Zon Selamat Palsu & Mengelirukan” – UNRWA Dakwa Tiada Lagi Tempat Selamat Di Gaza

“Zon Selamat Palsu & Mengelirukan” – UNRWA Dakwa Tiada Lagi Tempat Selamat Di Gaza

Menurut Pesuruhjaya UNRWA Philippe Lazzarini, terdapat penduduk Palestin yang terpaksa tinggal di tempat perlindungan UNRWA yang telah dibom.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pada 6 Mei lalu, Israel telah memulakan pengeboman ke atas Rafah yang dikatakan sepatutnya menjadi kawasan selamat bagi rakyat Palestin diusir dari tempat asal mereka.

Menurut Wisma Putra, serangan itu berlaku hanya beberapa jam setelah pejuang Hamas menerima cadangan gencatan senjata hasil daripada rundingan oleh Mesir dan Qatar.

Perkara itu menyebakan 19 orang terbunuh, kata Kementerian Kesihatan Palestin.


Penduduk Gaza Dipaksa Pindah Purata Sebulan Sekali

Terkini, Pesuruhjaya Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini, memuat naik kenyataan di laman X berkenaan isu pemindahan paksa.

Katanya, pihak berkuasa Israel kerap mengeluarkan ‘arahan pemindahan’ yang menyebabkan penduduk di Rafah melarikan diri pada bila-bila masa dan ke mana-mana tempat.

Sejak perang bermula pada Oktober 2023, penduduk Gaza kerap berpindah dari satu tempat ke satu tempat. Perkara ini dianggap sebagai pemindahan paksa dan terjadi dengan purata sebulan sekali.

Sumber gambar: @UNRWA/ X

Zon Selamat Didakwa Palsu & Mengelirukan

Lazzarini turut berkata bahawa ‘zon selamat’ di Gaza yang dikatakan oleh Israel adalah palsu dan mengelirukan. Katanya ini adalah kerana tiada tempat yang selamat di Gaza.

Dalam situasi terdesak, penduduk Palestin mencari keselamatan yang tidak pernah ditemui.

Pesuruhjaya UNRWA, Philippe Lazzarini.

Rakyat Palestin Tinggal Di Tempat Perlindungan UNRWA Yang Dibom

Di samping itu, Lazzarini berkata tempat perlindungan UNRWA yang telah dibom turut menjadi tempat tinggal bagi keluarga yang tiada pilihan lain.

Ini termasuklah sekolah-sekolah UNRWA di Khan Younis, dengan bilik kelas yang rentung, dinding pecah dan runtuhan bangunan di merata-rata.

Sumber gambar: @UNRWA/ X

“Tiada Lagi Tempat Selamat” – UNRWA

Dalam masa sama, UNRWA menerusi laman X berkata perpindahan paksa yang tidak berperikemanusian menyebabkan anggaran 300,000 penduduk Palestin telah melarikan diri dari Rafah.

Pihaknya juga menegaskan bahawa tiada lagi tempat selamat buat rakyat Palestin di tanah suci itu.

Tiada lagi tempat yang selamat untuk dituju.

UNRWA

Dalam satu hantaran lain, Lazzarini meluahkan bahawa tiada kata-kata yang dapat membawa keadilan bagi penduduk Gaza.

Mereka adalah manusia seperti anda dan saya. Mereka sebelum ini mempunyai cita-cita dan sebahagian daripada komuniti yang bersemangat dan pelbagai.

Pesuruhjaya Agensi Kerja dan Bantuan UNRWA, Philippe Lazzarini.

Perang di Palestin kini menyebabkan lebih 35,000 rakyatnya terkorban dengan sekurang-kurangnya 14,500 merupakan kanak-kanak tidak bersalah. Manakala 10,000 penduduk di sana hilang tidak ditemui, lapor Al-Jazeera.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd