[Video] Sering Berasa Tertekan Di Tempat Kerja? Ini Tips Elak Burnout
Antara perkara yang boleh dilakukan bagi mengelak burnout di tempat kerja adalah berehat di hujung minggu dan suarakan pendapat anda.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pekerjaan boleh menjadi sesuatu perkara yang tidak menyeronokkan jika dilakukan tanpa henti dan dalam keadaan yang tertekan.
Pasti anda pernah dengar tentang ‘burnout’ kan? Burnout berlaku apabila seseorang berasa terlalu letih dari segi emosi, fizikal dan mental. Ia sering dikaitkan dengan pekerjaan seseorang sehingga menyebabkan dia meragui keupayaan diri sendiri.
Bekerja adalah perkara yang tidak boleh dielakkan, tetapi terdapat beberapa perkara anda boleh lakukan untuk elak daripada terkena burnout.

Lakukan Ini Untuk Elak Burnout
Seorang pengguna TikTok yang sering berkongsi berkenaan tempat kerja, Adalyna, berkongsi empat perkara yang harus dilakukan oleh seseorang untuk mengelak daripada terjadinya burnout.
#1. Berehat di rumah waktu hujung minggu
Apabila telah bekerja lima hari berturut-turut, anda mungkin tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk menguruskan keadaan fizikal dan mental sendiri.
Adalyna berkata, “It’s okay to say no” sekiranya tidak larat untuk menghadiri sebarang jemputan open house atau untuk melepak sekalipun.
Dia juga mengingatkan orang ramai untuk berehat agar dapat mengecas semula ‘bateri mental’.

#2. Jauhi orang yang toksik
Menurut Adalyna, biasanya pasti terdapat sekurang-kurangnya seorang rakan sekerja yang bersifat toksik di tempat kerja.
Dia berkata agar buang rasa bersalah untuk menjauhi atau ‘cut off’ individu tersebut.
Katanya lagi, anda tidak perlu membuang masa dan tenaga terhadap individu yang tidak menghargai orang lain di sekelilingnya. Sebaliknya, hanya berinteraksi dengan individu tersebut bagi perkara yang melibatkan pekerjaan sahaja.

#3. Suarakan pendapat anda
Sesetengah orang mungkin berasa tidak begitu yakin untuk menyuarakan pendapat mereka. Namun begitu, pendapat tersebut tidak seharusnya dipendam kerana ia boleh dibincangkan.
Bak kata Adalyna, “voice it out”. Tiada pendapat yang terlalu kecil atau remeh.

#4. Berani ‘say no’ bila orang minta bantuan
Dalam pekerjaan, membantu antara satu sama lain sudah seolah-olah menjadi etika setiap pekerja.
Tidak salah untuk membantu orang lain, namun janganlah sehingga mengetepikan tugas hakiki sendiri dan terpaksa melakukan kerja yang tidak berkaitan.
Adalyna berkata tidak menjadi kesalahan jika kita menolak untuk membantu orang lain, terutamanya jika kerja sendiri masih banyak. Katanya lagi, ia menjadi satu ‘kesalahan’ jika kita membantu orang lain dalam perkara yang melampaui kemampuan diri sendiri.
Dia macam inilah, gaji masing-masing dapat. Jadi kerja pun masing-masing buatlah.
Pengguna TikTok, Adalyna

@kerjazzz Kadang rasa macam taknak kerja, nak jadi kucen je😢 #kerjazz #fyp #malaysia #foryou #worklife #burntout #kerja ♬ original sound – Adalyna
Kenal Pasti Gejala Burnout
Anda rasa tidak seronok ketika di tempat kerja? Mungkin anda telahpun mengalami burnout. Berikut merupakan perkongsian oleh Unit Sumber Pendidikan Kanser dan Klinikal (CCARE) Universiti Putra Malaysia, tentang bagaimana anda boleh mengenal pasti gejala burnout.
Gejala Fizikal
- Berasa letih sepanjang masa dari segi fizikal dan mental.
- Mudah jatuh sakit seperti sakit kepala, sakit belakang badan, sakit otot dan mengalami gangguan sistem penghadam.
- Sukar tidur pada waktu malam kerana sering memikirkan hal kerja.

Gejala Emosi
- Cepat marah, sukar mengawal perasaan dan lebih sensitif daripada biasa.
- Kerap mengeluh dan rasa tidak dihargai.
- Mudah hilang semangat dan motivasi diri.
- Merasakan kerja yang dilakukan tidak penting dan tidak lagi yakin dengan masa depan kerjaya.
- Mudah hilang fokus sehingga melengah-lengahkan masa dengan melakukan perkara tidak berkaitan kerja.
- Mengasingkan diri dan tidak bercakap dengan rakan sekerja.
Gejala Tingkah Laku
- Prestasi kerja yang semakin merosot.
- Berlaku konflik dengan rakan sekerja seperti salah faham dan berasa tidak puas hati.
- Tidak mahu memikul tanggungjawab atau melakukan tugas baharu.
- Sering menangguhkan tugas yang diberi.

Apa Perlu Buat Jika Burnout?
Jika anda sudah mengalami burnout, tidak terlambat untuk mengatasinya. Menurut perkongsian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), terdapat lapan perkara yang boleh dilakukan untuk mengatasi burnout.
- Ambil masa untuk rehat seketika, termasuk mengambil cuti.
- Bercakap dengan seseorang yang dipercayai tentang keadaan diri anda.
- Uruskan emosi dengan positif dengan melakukan perkara yang dapat membantu emosi.
- Berikan kata-kata positif kepada diri sendiri seperti memuji kerana berjaya menyiapkan tugasan.
- Amalkan pengambilan makanan berkhasiat.
- Lakukan teknik untuk menenangkan diri seperti latihan pernafasan secara teratur.
- Minta bantuan profesional seperti kaunselor jika gejala dialami menjejas kualiti hidup.
- Tanamkan rasa puas hati terhadap segala pencapaian dalam tugasan, walaupun yang kecil.

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.