“Ingatkan Kacang” – Lelaki Cerita Pengalaman Pahit Termakan Lipas Akibat Tinggal Air Kopi Di Dalam Kereta
Menurut Naim yang merupakan seorang pakar kawalan serangga, lipas yang dia termakan adalah lipas Jerman yang biasa ditemukan di dalam kereta.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pernah tak anda menemukan lipas di dalam kereta? Selalunya orang kata, kalau biasa bawa makanan ke dalam kereta, pasti akan ada lipas di dalamnya kerana terdapat sisa-sisa makanan yang tumpah.
Seorang pengguna laman X, Naim (@naimpestcontrol), telah berkongsi pengalaman pahitnya dengan lipas.
Naim yang merupakan seorang pakar kawalan serangga, menerima soalan daripada seorang pengikut akaunnya di TikTok.
“Selama abang main dengan lipas ni, pernah tak ada pengalaman ‘rare’ berkaitan dengan lipas?” soal pengguna tersebut.
Walaupun bekerja dalam bidang kawalan serangga, namun Naim berkata dia mempunyai sedikit perasaan fobia terhadap lipas, terutamanya di dalam kereta.
Tinggal Air Kopi Di Dalam Kereta
Naim berkata dia mempunyai pengalaman pahit dengan lipas. Menurutnya, dia pernah membeli air kopi hazelnut yang diminum di dalam kereta.
Dia yang kemudiannya hendak singgah di sebuah kedai telah meninggalkan minuman tersebut di dalam kereta di bahagian ‘cup holder’.
Setelah kembali daripada kedai tersebut, dia telah sambung minum air kopi yang ditinggalkan di dalam kereta tadi.
Dia memaklumkan bahawa kopi hazelnut tersebut mengandungi banyak kacang dan dibekalkan dengan penyedut berdiameter besar.
Apabila dia menyedut minuman tersebut, suatu benda telah termasuk ke dalam mulutnya yang dianggap kacang pada mulanya.
Kacang ke ni? Besar betul kacang ni. Baik betul orang jual air kopi ni. Banyak betul kacang dia letak dalam kopi ni.
Naim
Lipas Masuk Ke Dalam Kopi
Apabila menggigit ‘kacang’ tersebut, dia terasa pahit dan mulai merasa lain macam. Akibat merasa tidak sedap hati, dia pun meluah semula apa yang diminum itu. Rupa-rupanya, dia termakan lipas!
Dalam masa sama, Naim turut menasihati orang ramai supaya tidak memakan makanan yang telah ditinggalkan di dalam kereta.
Menurutnya, lipas tersebut merupakan seekor lipas Jerman. Berbeza dengan lipas Amerika yang biasa ditemukan di dalam rumah atau kawasan longkang, kereta selalunya diduduki oleh lipas Jerman.
Bagaimana Lipas Jerman Ada Di Dalam Kereta
Menurut Naim, lipas Jerman mungkin termasuk ke dalam kereta menerusi orang yang menaiki kereta atau barangan yang dibawa.
Katanya, apabila membeli makanan dari pasar raya, mungkin sudah ada seekor dua lipas pada barang berkenaan tanpa disedari. Lipas juga boleh membiak di dalam kereta jika anda selalu makan di dalamnya.
“Bila ada lipas Jerman, ia cepat membiak. Sesuai duduk dalam kereta terutamanya apabila tidak bergerak dan dengan suhu yang panas,” maklum Naim.
Jika makanan ditinggalkan di dalam kereta yang dipenuhi lipas Jerman, pasti ada lipas yang akan keluar dari tempat persembunyian.
Naim berkata dia tidak akan menjamah semula makanan yang ditinggalkan di dalam kereta semenjak dari kejadian tersebut.
Selain daripada melalui barangan yang dibawa, lipas juga boleh memasuki kereta menerusi tingkap yang terbuka dan bukaan kecil di kereta. Kereta yang diletakkan di kawasan yang kotor dan dipenuhi lipas lebih berisiko mengalami serangan lipas.
Untuk makluman, walaupun nampak macam kereta anda bersih, namun mungkin ada lipas yang bersembunyi di dalamnya seperti di bawah kerusi tempat duduk dan sistem pembesar suara.
Lipas Jerman VS Lipas Amerika
Seperti yang disebutkan oleh Naim, lipas yang tidak sengaja dimakannya adalah jenis Jerman dan bukan Amerika.
Walaupun kedua-dua jenis lipas ini tergolong dalam Kelas Insecta dan Orde Blattodea yang sama, ia masih boleh dibezakan dengan mata kasar.
Perbezaan paling ketara antara lipas Jerman dan Amerika adalah saiz dan fizikalnya.
Mungkin anda pernah melihat lipas di dalam kereta yang sedikit berbeza dengan lipas yang berada di rumah. Lipas Jerman adalah lebih kecil berbanding jenis Amerika.
Selain itu, lipas Jerman mempunyai warna perang muda, manakala warna lipas Amerika lebih gelap.
Seperti yang dimaklumkan oleh Naim, lipas Jerman cepat membiak dan lebih laju berbanding lipas Amerika.
Lipas Penting Bagi Ekosistem Semula Jadi
Mesti ada yang tertanya-tanya, kenapa lipas ini wujud ya? Dah la kotor, menggelikan pula tu!
Terdahulu, Naim pernah kongsikan berkenaan kepentingan kewujudan lipas. Katanya, tanpa lipas, sisa-sisa seperti bangkai dan sisa organik tidak akan dilupuskan dari muka bumi.
Proses penguraian yang lambat disebabkan ketiadaan lipas akan menghasilkan gas dan bau yang mencemarkan udara.
Tambahnya lagi, terdapat beberapa spesies tumbuhan yang akan pupus kerana bergantung kepada lipas untuk tumbuh. Malah, peranan lipas yang menghasilkan nutrien di dalam tanah akan menyebabkan tanah menjadi tidak subur sekiranya haiwan perosak itu tidak wujud.
Kepupusan tumbuh-tumbuhan seterusnya akan memberi kesan kepada spesies binatang tertentu dan juga manusia kerana berlakunya ketidakstabilan ekologi.
Menurut Naim, walaupun lipas dikategorikan sebagai haiwan perosak, namun ia memainkan peranan penting kepada ekosistem alam semula jadi.
Baca Artikel Berkaitan: “Terus Takde Mood Nak Makan” – Wanita Jumpa Lipas Dalam Botol Kicap
Baca Artikel Berkaitan: Ubat Gegat Bukan Untuk Lipas. Apa Fungsi Sebenar Ubat Ini?
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.