Cuma Tukar Pampers Bayi 2 Kali Sehari, Review Jenama Lampin Ini Buat Orang Ramai Marah
Di dalam satu review bagi jenama lampin pakai buang bayi, seorang penjaga bayi berkata penggunaan lampin itu menjimatkan kerana dia hanya perlu menukar lampin dua kali sehari walaupun bayi telah banyak kencing.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Anak merupakan anugerah Allah SWT yang tidak ternilai. Apabila suatu pasangan menjadi ibu bapa, pasti mereka mahu berikan yang terbaik buat bayi.
Bayi merupakan mahkluk yang sensitif memandangkan dia baru dilahirkan di dunia dan didedahkan kepada pelbagai kuman dan bakteria.
Oleh itu, ibu bapa perlu menjaga kebersihan dan kesihatan bayi dengan sebaik mungkin untuk mengelakkan daripada berlakunya sebarang kesakitan.
Tapi malangnya, ada juga ibu bapa yang seolah-olah tidak endah akan keperluan bayinya.
Pengguna Bagi Review Pampers Jimat
Baru-baru ini tular di laman X tangkap layar review bagi satu jenama lampin pakai buang bayi terkemuka.
Seorang penjaga berkata pada mulanya dia menggunakan jenama lampin lain untuk bayinya. Namun begitu, bayi kerap dinaiki ruam yang tidak hilang walaupun telah dirawat dengan pelbagai krim.
Setelah menukar kepada jenama terkini, dia mendakwa ruam tersebut telah kering dan menjadi lebih elok.
Selain itu, dia turut berkata penggunaan lampin jenama itu adalah menjimatkan kerana hanya perlu menggunakan dua keping lampin dalam masa satu hari.
Jelasnya, walaupun hanya ditukar pada sebelah pagi dan petang, lampin tersebut tidak bocor atau menyebabkan ruam walaupun bayi telah banyak kencing.
Tambahnya lagi, memandangkan bayi hanya meminum susu badan dan hanya membuang air besar sekitar sekali dalam seminggu, maka situasi itu lebih menjimatkan penggunaan lampin.
Netizen Anggap Ibu Bapa Pengotor Tidak Kerap Tukar Lampin Bayi
Hantaran itu mendapat banyak maklum balas daripada netizen. Seorang pengguna laman X berkata dia pernah berjumpa kanak-kanak yang dibiarkan memakai lampin sehingga penuh dan kembung.
Beberapa orang mempersoalkan pemilihan lampin yang mahal sehingga menyebabkan ibu bapa tidak kerap menukar lampin.
Ada juga yang membayangkan jika perkara sama turut dilakukan ketika seorang wanita sedang mengalami haid.
“Bayangkan masa dia period pula macam mana,” kata pengguna @liyanaliyana.
Lampin Bayi Perlu Ditukar Setiap 4 Jam
Bagi ibu bapa yang benar-benar cakna tentang keperluan bayi pasti tahu tidak cukup sekadar menukar lampin hanya dua kali sehari. Perkara ini bermakna bayi memakai lampin yang sama serta dipenuhi najis dalam tempoh 12 jam.
Lampin yang tidak ditukar dengan kerap boleh menyebabkan naiknya ruam di bahagian punggung dan kemaluan bayi.
Untuk makluman, lampin sepatutnya ditukar sekurang-kurangnya empat jam sekali atau enam keping setiap hari. Lampin juga perlu ditukar dengan serta-merta jika bayi telah membuang air besar.
Namun jika bayi sedang tidur atau apabila tidur malam, tidak mengapa melewatkan sedikit waktu lampin ditukar atau hanya tukar apabila bayi telah merengek menandakan dia berasa tidak selesa.
Bayi Hanya Buang Air Besar Sekali Seminggu?
Mungkin ada yang pelik dan risau jika bayi membuang air besar hanya sekali dalam satu minggu.
Menurut Healthline, bayi yang bergantung pada susu badan sepenuhnya boleh tidak membuang air besar sehingga satu minggu.
Perkara ini adalah kerana tubuh badan mereka boleh menggunakan kesemua komponen susu badan untuk mendapatkan khasiat dan hanya sedikit bahan sisa yang perlu dinyahkan dari badan.
Sebaliknya, bayi yang meminum susu formula sepatutnya membuang air besar sekurang-kurangnya dua hari sekali. Tetapi ada juga bayi yang buang air besar setiap hari atau beberapa kali dalam sehari.
Perkara Yang Boleh Menyebabkan Ruam Lampin
Selain daripada lampin yang dipakai berpanjangan, terdapat juga beberapa perkara lain yang boleh menyebabkan ruam ini.
#1. Menggunakan Krim Lampin Yang Tidak Sesuai
Krim lampin digunakan bagi mengelakkan daripada terjadi ruam dan merawat ruam pada kulit bayi.
Namun begitu, pemilihan krim yang salah boleh menyebabkan bayi dinaiki ruam.
Ibu bapa perlu bijak memilih krim dengan membaca kandungan pada label. Lebih elok jika pilih krim yang terkemuka walaupun mungkin agak mahal sedikit.
#2. Kotoran Tidak Dibersihkan Dengan Betul
Apabila mencuci punggung dan alat sulit bayi, sesetengah ibu bapa hanya menggunakan tisu basah kerana ia dirasakan lebih pantas dan mudah.
Sebenarnya, menggunakan tisu basah bukan sahaja tidak dapat membersihkan bayi dengan betul, tetapi sesetengah produk mempunyai bahan yang tidak sesuai dengan kulit bayi.
Ibu bapa dicadangkan supaya membersihkan bayi menggunakan kain lembut yang dibasahkan menggunakan air biasa sahaja.
Bagi bayi perempuan, pastikan kotoran dibersihkan dari arah depan ke belakang bagi mengelakkan kotoran termasuk ke dalam vagina mereka.
#3. Bagi Makanan Pejal Yang Tidak Sesuai
Tahukah anda bahawa sesetengah bayi mempunyai alergi terhadap makanan tertentu. Perkara ini turut boleh menyebabkan timbulnya ruam di kawasan lampin.
Untuk mengenal pasti makanan yang menyebabkan alergi pada bayi, praktikkan ‘4 days wait rule’ apabila memberi bayi mencuba makanan baru.
#4. Jangan Guna Bedak Talkum
Mungkin ada ibu bapa yang masih menggunakan bedan talkum, namun sebenarnya ia tidak digalakkan oleh doktor kanak-kanak.
Bedak talkum yang digunakan pada bahagian punggung boleh menyebabkan geseran dan keradangan pada kulit bayi.
Dalam masa yang sama, jangan pakaikan lampin dengan terlalu ketat agar terdapat edaran udara di sekeliling punggung bayi.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.