Remaja 14 Tahun Didakwa Cekik Adik 9 Tahun Sehingga Maut, Dipercayai Pernah Jadi Mangsa Buli Di Asrama
Suspek mengalami perubahan sikap setelah dibuli pelajar senior di asrama dan pernah bertindak mencekik kedua-dua ibu bapanya.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm atau ikuti berita kami menerusi aplikasi Lumi News untuk updates terkini & relevan!
Satu kejadian menyayat hati telah berlaku di sebuah kediaman di Bukit Piatu, Melaka pada tengah hari 5 Julai 2023.
Seorang kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun maut didakwa dicekik oleh abang kandungnya yang berumur 14 tahun, lapor Harian Metro.
Menurut seorang saksi kejadian juga jiran keluarga terbabit, Ain perkara itu disedari oleh ibu kedua beradik apabila melihat anak ketiganya (mangsa) dicekik oleh abang sulungnya menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di telefon bimbit.
Sejurus menyedari kejadiaan itu, ibu yang sedang bekerja melakukan panggilan telefon pada kira-kira jam 12 tengah hari untuk meminta Ain pergi ke rumahnya.
Saksi yang tiba di rumah mangsa mendapati dua beradik berkenaan berada di ruang tamu.
Ketika itu, mangsa sudah tidak sedarkan diri dengan wajah kebiruan, manakala abangnya seolah-olah dirasuk. Ain berkata dia terpaksa menepis kuat genggaman tangan abang ke atas adiknya.
Dia kemudiannya segera meminta tolong daripada jiran lain untuk menghubungi ambulans.
Besar harapan saya dapat menyelamatkan mangsa namun ketika menepis tangan abangnya saya melihat muka adiknya sudah kebiruan. Melihat situasi itu saya menjerit meminta tolong dengan jiran yang lain agar segera menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan.
Jiran keluarga mangsa, Ain.
Ibu kedua beradik tersebut tiba di rumah tidak lama selepas itu dan ditenangkan oleh jiran-jiran lain yang turut hadir.
Menurut Ain, dia diberitahu bahawa mangsa tidak ke sekolah pada hari kejadian kerana sakit mata dan ditinggalkan di rumah bersama abangnya. Ibu mereka memantau pergerakan kedua beradik itu menerusi CCTV.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kes masih dalam siasatan dan meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi agar tidak mengganggu siasatan. Katanya lagi, ia juga demi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.
Abang Pernah Jadi Mangsa Buli
Ain yang masih terkejut dan trauma dengan kejadian tersebut berkata abang sulung keluarga itu merupakan seorang anak yang baik. Walau bagaimanapun, dia yang pernah menjadi mangsa buli di asrama didapati beberapa kali meracau dan sudah mendapatkan rawatan.
Menurut bapa kepada kedua beradik itu, Najli Yakob, anak sulungnya menghadiri sebuah sekolah asrama Arab di Alor Gajah.
Dia mendapati sifat anak sulungnya mula berubah setelah didakwa dibuli oleh pelajar senior di asrama itu sejak Tingkatan Satu.
Remaja terbabit hanya mendiamkan diri pada mulanya, namun mula mengadu kepada ibunya apabila buli yang dilakukan ke atasnya semakin teruk sehingga mempunyai kesan kecederaan.
Dia kerap menelefon ibunya mengadu tetapi awalnya saya sangkakan keadaan biasa budak asrama sehinggalah terdapat kesan kecederaan, kami kemudian mengadu kepada sekolah serta membuat laporan polis.
Bapa kedua beradik, Najli Yakob.
Katanya, anaknya itu mendakwa pernah dipukul, ditendang, disimbah air malah dicekik ketika tidur oleh dua orang pelajar senior di asrama itu.
Suspek Pernah Serang Ibu & Bapa
Menurut Najli, anak sulungnya turut pernah mencekiknya dan isteri setelah mengalami perubahan sikap akibat dibuli.
Pernah mengambilnya dari sekolah dan tidak lama selepas tiba di rumah dia tiba-tiba meraung dengan menyebut Subhanallah dalam keadaan mata terbeliak sebelum bertindak mencekik saya, tenaganya ketika itu seakan orang dewasa.
Bapa kedua beradik, Najli Yakob.
Perubahan yang berlaku kepada anak sulungnya menyebabkan Najli dan isteri mengambil keputusan untuk membiarkan anak mereka belajar di rumah buat sementara waktu sementara mendapatkan rawatan.
Ketika kejadian berlaku di kediaman mereka, Najli sedang berada di Terengganu atas urusan kerja, manakala isterinya sedang bertugas sebagai jururawat. Dia sempat menelefon anaknya itu bertanyakan jika sudah makan sebelum menerima berita kejadiaan tersebut.
Sebelum kejadian saya ada menelefon sama ada sudah makan atau belum, dia masih seperti biasa dan memberitahu sudah makan. Tidak sangka apa yang kami bimbangkan berlaku apabila menerusi rakaman CCTV melihat dia tiba-tiba mencekik adiknya yang ketika itu berada di sofa.
Bapa kedua beradik, Najli Yakob.
Susulan kejadian yang berlaku semalam, remaja 14 tahun yang juga suspek kejadian telah ditahan polis dan dijangka dibawa ke Kompleks Mahkamah Melaka di Ayer Keroh untuk direman hari ini (6 Julai).
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, dan Instagram.